a Terima Kasih Mufti Kerana Panduan Kepada Mastura ~ zambry.my

Tuesday, June 21, 2016

Terima Kasih Mufti Kerana Panduan Kepada Mastura

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengucapkan terima kasih kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana memberi panduan kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid untuk terus berkhidmat walaupun masih di dalam tempoh iddah.

Menurut beliau, kenyataan  mufti itu merupakan satu panduan kepada Mastura yang baru sahaja memenangi kerusi Parlimen itu untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

Dr Zambry berkata, beliau telah berbincang dengan Harussani berkenaan perkara tersebut dan mendapatkan pandangan serta selok-belok mengenai khidmat Mastura sebagai wakil rakyat dalam tempoh iddahnya.

“Saya telah menghubungi Tan Sri (Harussani) dan beliau telah menjelaskan bahawa Datin Mastura mempunyai tugas yang perlu dilaksanakan sebagai wakil rakyat, amanah daripada mereka yang telah memberi kepercayaan dan mengundi beliau.

“Oleh sebab itu, Datin Mastura dibenarkan untuk keluar dan menyelesaikan masalah serta menjalankan tanggungjawab beliau, pada masa sama beringat bahawa beliau masih berada dalam tempoh iddah,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.

Menurut beliau, perkara tersebut sudah dijelaskan secara terperinci supaya tidak wujud ruang untuk sesetengah pihak mempertikaikan dan mempermainkan isu berkenaan khususnya untuk kepentingan sendiri.

Selain itu, Mastura juga boleh menghadiri Majlis Angkat Sumpah sebagai Ahli Parlimen apabila dipanggil kerana itu juga menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya yang perlu dipenuhi.

Mastura, 55, memperoleh majoriti 6,969 undi berbanding majority 1,082 yang diraih suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Sementara itu, Dr Zambry meluahkan rasa kesal terhadap tindakan pihak pembangkang yang cuba menyalahkan pengundi di sekitar Kuala Kangsar berikutan kekalahan undian pada PRK baru-baru ini.

0 comments:

Post a Comment