a Pertelagahan PAS, Amanah Bukan Kelebihan Kepada BN – Dr Zambry ~ zambry.my

Sunday, June 5, 2016

Pertelagahan PAS, Amanah Bukan Kelebihan Kepada BN – Dr Zambry

 Barisan Nasional (BN) tidak akan memandang mudah terhadap cabaran pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar yang bakal berlangsung 18 Jun ini.

Pengarah Pilihan Raya BN PRK Kuala Kangsar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, berkata, pertelagahan PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang sama-sama bertanding di PRK itu, bukanlah satu kelebihan kepada calon BN.



Menurut beliau, perbalahan parti lain bukan tiket untuk BN yakin akan mendapat kemenangan mudah.

“Itu hal mereka dan kita tidak masuk campur, kita akan terus berusaha gigih dan bekerja kuat untuk memastikan BN akan terus menerajui Parlimen Kuala Kangsar," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon PRK Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak, di sini, pada Ahad.

PRK Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PAS, Amanah dan Bebas.

Calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid akan ditentang Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Naib Ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pengundi berdaftar terdiri 22,496 Melayu, Cina (7,757), India (2,287), Bumiputera Sarawak (16), Bumiputera Sabah (13) dan Orang Asli (330).

0 comments:

Post a Comment