a KUISAS Jadi Universiti Awam Berkuat Kuasa Serta-merta ~ zambry.my

Friday, June 10, 2016

KUISAS Jadi Universiti Awam Berkuat Kuasa Serta-merta

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) diberikan status universiti awam penuh, berkuat kuasa serta-merta.

Najib yang juga Presiden UMNO mengumumkan perkara berkenaan dalam ucapannya sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid KUISAS di sini. 


"Bagi kesinambungan bandar Kuala Kangsar yang merupakan bandar pendidikan Melayu tertua di Malaysia, maka sukacita saya umumkan KUISAS sebagai sebuah universiti penuh.

"Dengan ini KUISAS akan menerima geran kerajaan pusat berkuat kuasa serta merta," katanya.

Sehubungan itu Najib berkata, KUISAS akan menggunakan nama Universiti Azlan Shah Malaysia (USAS) dan akan menerima geran tahunan kerajaan.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut jumlah geran tahunan berkenaan.

Hadir sama menunaikan solat Jumaat bersama Najib ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta empat orang anak-anak calon Barisan Nasional (BN), Wan Emir Astar, Wan Imar, Wan Iskandar dan Wan Amar bersama-sama kira-kira 500 jemaah yang terdiri daripada warga KUISAS dan penduduk setempat.

KUISAS mula beroperasi pada tahun 1999 yang dikenali sebagai Kolej Islam Darul Ridzuan sebelum dinaik taraf menjadi kolej universiti pada 2013.

Menaik taraf KUISAS kepada universiti awam merupakan satu daripada lima agenda yang dijanjikan calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid kepada pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar.

0 comments:

Post a Comment