a Persimpangan Alor Pongsu Hadiah Ramadan ~ zambry.my

Tuesday, June 7, 2016

Persimpangan Alor Pongsu Hadiah Ramadan

Penantian selama empat tahun penduduk Alor Pongsu dan Bagan Serai untuk mendapatkan sebuah persimpangan bertingkat bagi memudahkan mereka keluar masuk Lebuh Raya Utara-Selatan akhirnya tercapai apabila ia dibuka secara rasmi pada Selasa.

Mereka menyifatkan projek persimpangan bertingkat itu sebagai hadiah `Ramadan’ yang banyak memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.


Beberapa orang penduduk yang ditemui menyatakan kelegaan mereka kerana projek yang menelan kos RM100 juta itu bukan sahaja dapat memudahkan urusan harian mereka berulang alik ke selatan dan utara tanah air, malah merancakkan proses pembangunan di kawasan Lembah Beriah.

Ketua Kampung Parit Haji Ali, Mohd Noor Ali, 60, berkata, sudah lama penduduk kampung menunggu projek persimpangan bertingkat itu yang akhirnya terlaksana hari ini.

“Dengan adanya persimpangan bertingkat ini, saya menjangkakan ia dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat khususnya di kawasan Lembah Beriah,” katanya.

Bagi seorang penduduk Kampung Batu 38, Jalan Keretapi, Rashadah Baharom, 63, pula projek itu umpama hadiah Ramadan dan pembukaannya secara rasmi kena pada masanya, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri.

“Saya amat lega kerana dengan  adanya Tol persimpangan ini maka anak-anak saya yang bekerja di Kuala Lumpur dapat pulang ke kampung menyambut Aidilfitri dengan lebih mudah,” ujarnya.

Sementara itu ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berpendapat, dengan adanya persimbangan bertingkat berkenaan, boleh merancakkan lagi proses pembangunan di kawasan Lembah Beriah selain mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Saya menjangkakan ramai pelabur akan datang ke sini untuk membuka kilang perusahaan mereka kerana persimpangan ini memudahkan mereka membuat penghantaran produk keluaran ke selatan dan utara tanahair tanpa masalah.

“Dengan adanya kilang-kilang perusahaan nanti, maka golongan muda dapat terus bekerja membina keluarga mereka tanpa perlu berhijrah ke bandar,” katanya.

0 comments:

Post a Comment