a Bukit Merah Mungkin Diistihar Kawasan Bencana ~ zambry.my

Monday, April 25, 2016

Bukit Merah Mungkin Diistihar Kawasan Bencana



Perak mungkin akan memohon kerajaan Persekutuan mengistiharkan kawasan Bukit Merah sebagai kawasan bencana susulan daripada paras air kritikal di Empangan Bukit Merah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, permohonan itu akan dibuat sekiranya paras air di empangan itu terus kekal kritikal dalam tempoh dua hari ini.


Menurut beliau, setakat ini keadaan paras air di empangan berkenaan mencatatkan peningkatan sedikit sejak malam semalam akibat taburan hujan di beberapa kawasan berdekatan.

“Kita akan ikuti perkembangannya dahulu dalam masa dua hari ini  bagi mempastikan taburan hujan yang mulai turun di beberapa kawasan sekitar sejak satu dua hari ini masuk atau tidak ke kawasan ini.

“Kita sedang mengkaji kemungkinan untuk dibawa ke dalam Majlis Keselamatan Negeri dan mengistiharkannya, tetapi ia akan diperhalusi dalam beberapa hari ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Hari Vasakhi 2016 di Ipoh pada Ahad.  

Menurut Dr Zambry, pemantauan secara teliti paras air di tasik tertua negara itu amat penting kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada pesawah-pesawah di sekitar 5,000 hektar kawasan berkenaan.

“Tentunya ia akan memberi impak kepada pesawah-pesawah, saya juga berharap Kementerian Pertanian khususnya melihat perkara ini secara serius kerana ianya melibatkan kesan kepada jelapang padi Perak dan negara,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, sekiranya kawasan itu diistiharkan sebagai kawasan bencana, kerajana Persekutuan akan mengambil langkah sepatutnya termasuk membuat penilaian kerugian kepada pesawah-pesawah terlibat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, paras air kritikal itu hanya melibatkan Empangan Bukit Merah dan tidak melibatkan empangan-empangan lain di negeri ini.

“Tasik itu merupakan antara tertua di Malaysia, jadi dia punya kesan daripada pemendapan dari tanah itu begitu tinggi sekali menyebabkan ia pantas kering apabila cuaca macam ini,” katanya. 

0 comments:

Post a Comment