a Eko Rimba Kledang Jadi Produk Pelancongan Utama Perak ~ zambry.my

Monday, April 25, 2016

Eko Rimba Kledang Jadi Produk Pelancongan Utama Perak

Taman Eko Rimba Kledang Saiong akan dijadikan salah satu pakej tarikan pelancongan di kawasan Meru, bersama-sama Movie Animation Park Studio (MAPS) yang sedang dibangunkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah berbincang dengan Jabatan Perhutanan Perak dan akan mencadangkannya kepada pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).



Menurut beliau, cadangan itu bermakna, selain taman tema dan taman air yang disediakan, pelancong juga akan ditawarkan `natural park’ yang mempunyai keindahan semula jadi.

Beliau berkata, ia juga sangat sesuai untuk keluarga, di samping menikmati keindahan, mereka dapat belajar mengenai tumbuhan hutan.


“Ini merupakan satu pakej yang akan kita syorkan kepada PKNP dan dapat pekerjasama dengan Jabatan Hutan,” katanya kepada pemberita ketika sempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2016 & Kembara Rimba Bersama YAB Menteri Besar Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Meru dekat sini pada Khamis.


Hadir sama Pengerusi Lanskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Abd Rahim dan barisan exco kerajaan negeri.

Sempena program itu, Dr Zambry menyusuri denai hutan digital (digital forest trail) sepanjang hampir dua kilometer di samping melawat Taman Nepenthes (periuk kera) yang pertama di dunia yang menghimpunkan 55 spesis periuk kera dari Kepulauan Borneo, Indonesia, Thailand, Sri Lanka dan Myanmar.

Taman Eko Rimba Kledang Saiong terletak dalam Hutan Simpan Kledang Saiong merupakan pusat eko – pelancongan yang terletak di Bandar Meru Raya, 4.5 kilometer dari persimpangan Plaza Tol Jelapang atau 14.2 kilometer dari Bandaraya Ipoh.

Sejenis spesis resak baharu telah ditemui di hutan simpan itu yang dinamakan Resak Abdulrahman (Vatica Abdulrahmaniana) yang disahkan sebagai spesis endemik di Semenanjung Malaysia yang setakat ini hanya ditemui di Hutan Simpan Kledang Saiong.

Dalam hubungan ini, Dr Zambry memberitahu, Jabatan Perhutanan akan berusaha memelihara spesis pokok hutan itu di samping menambah anak benih untuk ditanam di seluruh negeri.

Menteri Besar turut menghargai kehadiran Tun Jeanne yang disifatkannya sebagai bermakna kepada negeri Perak sering berkunjung ke negeri ini bersama-sama Tun Abdullah Badawi untuk menikmati keindahan alam semula jadi.

“Kerajaan negeri sentiasa mendapat khidmat nasihat daripada Tun Jeanne tentang bagaimana kita dapat memakmurkan lagi alam, khususnya kawasan hutan di negeri Perak ini,” kata beliau.

0 comments:

Post a Comment