a Sultan Perak Berkenan Berangkat Saksi MSAM ~ zambry.my

Monday, April 25, 2016

Sultan Perak Berkenan Berangkat Saksi MSAM

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat menyaksikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2016 di Stadium Tun Ahmad Sarji, di sini pada Ahad.

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.


Turut hadir barisan Exco kerajaan negeri, Pengerusi  Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Sebaik tiba kira-kira jam 11 pagi,  Sultan Nazrin dan Tuanku Zara Salim berkenan menghadiri sesi bergambar bersama Ahli Lembaga Pengarah PNB di khemah utama MSAM.


Sultan Nazrin kemudian melawat booth utama PNB dan 11 booth rakan-rakan MSAM, antaranya Maybank, Sime Darby, I & P Group, SP Setia, UMW Holdings Berhad, CCM dan MIDF.

Baginda meluangkan masa hampir dua jam melawat booth pameran sambil beramah mesra dengan pengunjung dan mereka yang terbabit dengan MSAM.

Sultan Nazrin kemudian berangkat ke majlis santapan DiRaja  di khemah VIP sebelum berangkat pulang.


MSAM 2016 yang bertemakan ‘Pelaburan 360 PNB’ berlangsung selama lebih seminggu bermula 20 hingga 28 April memuatkan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan untuk pelbagai lapisan masyarakat.

MSAM 2016 dijayakan dengan sokongan 11 syarikat kumpulan PNB yang berperanan sebagai Rakan Premier iaitu Malayan Banking Bhd, Sime Darby Bhd, I&P Setia Berhad dan UMW Holdings Berhad.

Rakan utama terdiri daripada Chemical Company of Malaysia Bhd, Malaysian Industrial Development Finance Bhd, MNRB Holdings Bhd, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd, Takaful Ikhlas Berhad sebagai Rakan Program Keagamaan.


MSAM bermatlamat mendidik masyarakat mengenai pelaburan dan kepentingan merancang kewangan selain berperanan sebagai medium mempromosikan PNB dan syarikat kumpulannya .
Antara pengisian tahun ini adalah Jejak Pelabur Bijak yang dibawa oleh Maybank, Jejak pelabur Cilik oleh I&P Group, CCM Interschool Showdown, Simposium Usahawan PNB-MIDF dan Seminar Khas Kewangan ASNB, Santai Labur dan Hibur Labur Bersama PNB.

0 comments:

Post a Comment