a Nelayan Kena Guna Jeti Baharu Ganti Yang Uzur ~ zambry.my

Monday, April 4, 2016

Nelayan Kena Guna Jeti Baharu Ganti Yang Uzur



Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta anggota Persatuan Nelayan Pulau Pangkor supaya menggunakan jeti di Sungai Pinang Kecil bagi menggantikan jeti perikanan di Sungai Pinang Besar yang telah uzur.

Beliau berkata, jeti yang terdapat di Sungai Pinang Kecil telah dibina sejak lebih 10 tahun yang lalu oleh Jabatan Laut Malaysia tetapi tidak digunakan kerana faktor kedudukan yang tidak sesuai untuk dijadikan sebagai jeti penumpang.

"Saya telah beberapa kali mengesyorkan supaya pihak persatuan nelayan menggunakan jeti berkenaan kerana ia dibina dengan kos sebanyak RM3 juta lebih tetapi ia terbiar bertahun-tahun lamanya.

"Adalah lebih baik sekiranya mereka berpindah ke sana sebab di sana lebih cantik dan konkrit, manakala jeti perikanan yang digunakan sekarang diperbuat daripada kayu. Jadi tentunya selepas beberapa tahun ia akan dimakan usia dan reput dengan sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Pulau Pangkor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Zambry yang juga Adun Pangkor merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Pulau Pangkor kali ke-37 di Dewan Orang Ramai, Kampung Telok Kechil, di sini. - Bernama

0 comments:

Post a Comment