a PBT Disaran Adakan Hari Tanpa Kereta ~ zambry.my

Monday, April 25, 2016

PBT Disaran Adakan Hari Tanpa Kereta

Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri Perak disaran turut mengadakan hari tanpa kereta (car free day) seperti yang dianjurkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, program yang dianjurkan MBI sejak tujuh bulan lalu mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada warga Ipoh.

Menurut beliau, walaupun ada sedikit rungutan daripada segelintir kecil pihak mengenai program itu, tetapi majoriti warga Ipoh mahukannya.

"Oleh itu, saya berharap Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah memikirkan untuk mengadakan program ini," katanya kepada pemberita semasa mengambil bahagian dalam program hari tanpa kereta MBI di sini pada Ahad.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak, Datuk Yahya Madis.

Dr Zambry berkata, walaupun ada cadangan supaya program itu diperluaskan lagi ke beberapa jalan lain, tetapi buat masa ini ia sudah memadai.

"Buat masa ini, sudah memadai kerana kita tidak mahu ia menimbulkan masalah lain seperti kesesakan," ujarnya.

Kira-kira 3,000 warga Ipoh mengambil bahagian di dalam program itu, yang diadakan pada hari Ahad terakhir setiap bulan, dari jam 7 - 10 pagi di sepanjang Jalan Raja DiHilir.

Pelabagai acara diadakan dalam program itu, antaranya berbasikal, eco wheel, senamrobik dan pemeriksaan kesihatan.

Sempena program kali ini, MBI turut menganjurkan 'Funwalk' yang disertai lebih 400 peserta yang menawarkan hadiah wang tunai dan cabutan bertuah keseluruhan kira-kira RM5,000.

0 comments:

Post a Comment