a Kerajaan Negeri Akan Bincang Dengan Pusat Bantuan Kepada Pesawah ~ zambry.my

Monday, May 9, 2016

Kerajaan Negeri Akan Bincang Dengan Pusat Bantuan Kepada Pesawah


Kerajaan Negeri akan berunding dengan kerajaan Pusat bentuk bantuan yang sesuai untuk disalurkan segera kepada petani di daerah Kerian yang terjejas teruk akibat pengeringan kolam tadahan Bukit Merah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata petani juga akan mendapat bantuan daripada negeri tetapi bukanlah dalam jumlah yang besar disebabkan kemampuan kerajaan negeri yang amat terhad.   


Menurutnya terdapat 8,000 petani yang mengusahkan sawah padi di daerah Kerian dengan 1,800 daripadanya di kawasan Selinsing dan Semanggol terjejas teruk berikutan penanaman semula tertangguh disebabkan ketiadaan bekalan air.

Beliau sekali lagi menegaskan faktor penyusutan kolam Bukit Merah bukanlah disebabkan pencerobohan semata tetapi lebih kepada fenomena cuaca kering El-Nino.

Katanya penyusutan itu turut didorong faktor bahawa tadahan Bukit Merah menghadapi masalah mendapan serius kerana ia merupakan antara kolam buatan manusia tertua di negara ini.

“Kolam tadahan ini sudahpun berusia 110 tahun. Maka ia menghadapi masalah mendapan yang serius sehingga ia menjadi punca kepada dua keadaan ekstrim. Apabila hujan lebat, airnya akan melimpah menyebabkan kawasan sekitar banjir dan apabila cuaca kemarau panjang, airnya akan kering,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Dr Zambry berkata isu kolam tadahan ini bukan merupakan perkara baharu malah semasa dilantik menjadi Menteri Besar Perak beliau telah banyak kali membangkitkannya ke dalam mesyuarat diperingkat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri supaya satu pendekatan menyeluruh diambil bagi menyelesaikannya.

Katanya beliau amat bersyukur kerana akhirnya kerajaan Pusat telah meluluskan bantuan RM450 juta bagi melaksanakan projek tebatan banjir bagi menangani limpahan air Bukit Merah.

Katanya, kerajaan negeri juga akan mencadangkan supaya satu terowong sepanjang 15 kilometer dibina bagi menyalurkan air Sungai Perak ke Sungai Kurau seterusnya masuk ke Tasik Bukit Merah bagi mengatasi masalah kekeringan.

“Sumber air Tasik Bukit Merah perlu dikekalkan kerana ia penting bagi bekalan air kepada petani dan juga ia adalah sumber minuman bagi penduduk Kerian,’’ katanya.

Katanya, kolam tadahan Bukit Merah kini menunjukkan perkembangan positif dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 20.8 kaki berbanding 20.7 kaki semalam.

Dr Zambry turut mencadangkan LAP membuat kajian mengenai kesesuaian perlaksanaan telaga River Bank Filteration (RBF) atau telaga air tepi sungai untuk menampung kegunaan air domestik terutama pada musim kemarau ekstrem.

“Cadangan ini merupakan antara inisiatif jangka masa panjang bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air di kolam tadahan Bukit Merah untuk kegunaan domestik sekaligus mengelak masalah catuan air,’’ katanya.

Menurut Dr Zambry,  LAP sebelum ini telahpun  berjaya mewujudkan sebuah telaga air bawah tanah menerusi perlaksanaan RFB di Kuala Kangsar.

“Perlaksanaan telaga RBF ini bermakna apabila air disedut daripada bawah tanah, air itu akan ditadah ke dalam satu kolam khas sebelum dirawat LAP untuk penyaluran kegunaan domestik.

“Saya meminta LAP melaksanakan kajian menyeluruh bagi memastikan telaga RBF boleh dilaksanakan di kawasan terjejas bekalan air di negeri ini.’’ katanya.

Katanya, menerusi perlaksanaan telaga River Bank Filteration di Sungai Perak,  LAP berjaya menghasilkan kuantiti 25 juta liter air sehari.

0 comments:

Post a Comment