a August 2016 ~ zambry.my

Thursday, August 11, 2016

Parti Baharu Tidak Gugat UMNO, BN

Penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menggugat  UMNO dan Barisan Nasional malah sebaliknya memperkukuhkan BN untuk terus berdepan parti lawan.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, apa yang lebih penting dan perlu diberi fokus ialah ahli parti perlu sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi asakan daripada parti-parti lawan seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia.


Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, semua ahli UMNO dan BN tidak harus leka malah perlu sentiasa mempersiapkan diri untuk menghadapi parti lawan dalam pilihan raya umum ke 14 nanti.

"Saya percaya ianya akan mengukuhkan lagi BN daripada segi kesatuan dalam kalangan ahli-ahli untuk memastikan BN dan UMNO tidak akan tumbang disebabkan oleh asakan-asakan daripada parti-parti seperti parti baharu yang ditubuhkan ini.

``Paling penting adalah memperkukuhkan barisan kita kerana yang jelas mereka (parti Bersatu) ditubuhkan untuk menentang BN,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan Ipoh pada Rabu.

Dr Zambry berkata, beliau percaya penubuhan parti baharu itu juga akan membuka  kesedaran dan komitmen tinggi bagi setiap ahli BN untuk terus bergerak mempertahankan parti dan memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat.

"Jadi tidak perlulah  kita fikirkan sangat soal bimbang atau tidak, ini memberikan suntikan semangat yang besar kepada BN, ahli-ahlinya dan juga di peringkat parti-parti dalam BN untuk kukuh dan bersatu bagi menghadapi cabaran tersebut,” katanya.

Dr Zambry diminta mengulas mengenai penubuhan parti Bersatu yang didaftarkan semalam.

Semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyerahkan permohonan untuk mendaftar parti baharu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS)

Pelantikan Speaker Thangasvari Bersejarah – Dr Zambry

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan pelantikan S. Thangasvari menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang baharu, sebagai peristiwa bersejarah.

Menurut beliau, Thangascvari merupakan Speaker wanita pertama negeri itu sejak 1959 dan juga wanita pertama yang menjadi Speaker bagi Barisan Nasional (BN).


“Ini adalah perlantikan bersejarah, walaupun beliau bukan wanita pertama di Malaysia tetapi beliau yang pertama di negeri ini.

“Ini kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional, kita sentiasa memberi peluang serta memperkasakan wanita,” katanya pada sidang media selepas tamat sidang DUN Perak di sini pada Selasa.

Mengenai perjalanan sidang DUN itu, Dr Zambry berkata, ia berjalan dengan lancar di mana kedua-dua belah pihak telah memberi ruang kepada Speaker yang baharu menjalankan tugas.

“Saya lihat kedua-dua belah pihak telah memberi peluang dan ruang serta tidak terlalu menekan dalam urusan beliau menjalankan tugas sebenar tadi.

“Saya juga telah memberi sedikit sebanyak panduan kepada Speaker, kita faham ini merupakan kali pertama beliau, dari segi teknikalnya, beliau akan menjadi biasa selepas proses sidang berjalan nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita BN Perak, Datuk Rusnah Kassim berkata, pelantikan itu merupakan satu lagi kejayaan negeri itu dalam mengupayakan wanita.

“Kalau kita lihat dalam tempoh setahun setengah ini, begitu ramai wanita berkelayakan telah diletakkan di tempat-tempat membuat keputusan.

“Ini membuktikan BN di bawah kepimpinan Dr Zambry memberi peluang kepada wanita berkelayakan dan diberi tempat yang sepatutnya,” ujarnya.

Tuesday, August 9, 2016

Pelantikan Speaker Beri Inspirasi Kepada Kaum Wanita

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang baharu, Thangasvari Suppiah berharap pelantikan beliau sebagai Speaker wanita pertama negeri ini memberi inspirasi kepada wanita seluruh negara, khususnya kaum India.

Beliau berkata, pelantikan itu telah memperlihatkan komitmen kerajaan negeri serta pusat dalam agenda pemerkasaan wanita dalam segala bidang dan ianya seharusnya dijadikan sebagai pembakar semangat.


“Saya amat berbangga dengan hakikat iaitu seorang wanita telah dilantik menjadi Speaker oleh kerajaan memerintah (Barisan Nasional), ini akan memberi lebih keyakinan kepada saya serta wanita di tempat lain.

“Saya telah mulakan satu trend dan saya rasakan ini hanya titik permulaan di mana lebih banyak tempat serta bidang lain akan memberi peluang serta memperkasakan wanita,” katanya pada sidang media sejurus selesai mempengerusikan persidangan DUN pertamanya pada Selasa.

Menurut Thangasvari, pelantikan beliau selaku Speaker wanita pertama Perak sejak 1959 itu merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bagi dirinya serta kaum wanita India seluruh negara.

Dalam pada itu, Thangasvari turut yakin pengalamannya sebagai peguam sebelum ini akan membantu beliau menjalankan tugas mengurus sidang DUN yang dianggapnya sebagai mencabar.

“Secara jujurnya ianya seakan sama seperti di bilik mahkamah, hakim akan duduk di tengah-tengah manakala peguam dari berlainan pihak akan menyampaikan kes masing-masing.

“Cumanya di sidang DUN ini cara penyampaian itu lebih berbeza, lebih lantang dan tegang tetapi itulah yang memeriahkan Sidang DUN Perak ini, jadi saya harap akan dapat mengawalnya,” ujarnya.

Pelantikan Thangasvari dibuat selepas beliau mendapat lebih banyak undi dari calon Pakatan Harapan V. Sivakumar ketika Persidangan DUN Perak yang berlangsung pada Selasa.

Dalam proses undi bagi menentukan jawatan itu, Thangasvari memperolehi 30 undi manakala V. Sivakumar mendapat 24 undi, sekaligus menjadikan beliau sebagai Speaker DUN wanita pertama dalam Barisan Nasional (BN).

Daerah Bagan Datoh Merangkumi Empat Mukim

Daerah baharu Bagan Datoh yang merupakan daerah penuh ke 12 di Perak merangkumi empat mukim iaitu Bagan Datoh, Rungkup, Hutan Melintang dan Teluk Baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, daerah baharu itu meliputi kawasan seluas 94,969,892 hektar.


Menurut beliau, penubuhan daerah Bagan Datoh juga membuktikan kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk mencapai taraf pembangunan seimbang bagi semua daerah dan wilayah di negeri ini.

Di samping itu, kata beliau, ia bersesuaian dengan hasrat untuk mencapai taraf negeri maju dan juga Gagasan Amanjaya.

“Bagi mancapai hasrat itu, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menaiktaraf Bagan Datoh kepada status daerah penuh dan melalui Warta Kerajaan Negeri Perak Bil 1570 bertarikh 15 Jun 2016,” katanya.

Dr Zambry berkata demikian semasa menjawab soalan lisan S. Kesavan (PKR - Hutan Melintang) yang bertanyakan mengenai skop kawasan yang terlibat dan jumlah penduduk pentadbiran Daerah Bagan Datoh.

Menurut beliau, berdasarkan sumber daripada Jabatan Perangkaan Tahun 2014 dan draf Rancangan Tempatan Daerah Hilir Perak 2020, jumlah penduduk di Daerah Bagan Datoh adalah seramai 70,300 orang.

Katanya, adala diharapkan menjelang Tahun 2020, Daerah Bagan Datoh akan mengalami pembangunan yang pesat dengan kewujudan Perak Heavy Industrial Park, Hab Logistik dan Rungkup Waterfront City.

“Pertumbuhan tersebut akan menjadi realiti apabila Lebuhraya Pantai Barat siap pada tahun 2019 kelak,’’ katanya.

Monday, August 8, 2016

Perak Lantik Tujuh Ketua Kampung India

Perak mencatat sejarah apabila melantik tujuh ketua kampung dari kalangan kaum India untuk melancarkan lagi pentadbiran negeri di peringkat akar umbi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pelantikan itu adalah satu lagi pendekatan inklusif kerajaan negeri, tanpa meminggirkan mana-mana kaum dan kawasan.


Menurut beliau, seperti juga ketua-ketua kampung tradisional Melayu, kampung baru cina dan tok-tok batin Orang Asli, ketua kampung India juga mesti memberi pekhidmatan yang terbaik.

Ujarnya, mereka juga perlu mencapai indeks prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan dan sekiranya gagal,  mereka akan digugurkan.

“Apabila mereka dilantik, mereka akan menjadi anggota pentadbiran di peringkat akar umbi yang akan memastikan perkhidmatan yang terbaik kerana mereka adalah merupakan cerminan kepada dasar kerajaan negeri.


“Sekiranya mereka tidak menunjukkan contoh yang baik, maka masyarakat atau rakyat akan melihat itu adalah dasar kerajaan Barisan Nasional yang tidak baik.

“Maka mereka perlu bertanggungjawab dalam menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya,” katanya kepada pemberita selepas majlis majlis penyerahan watikah pelantikan kepada ketua-ketua kampung itu di pejabatnya di sini pada Isnin.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Intergrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Penasihat Menteri Besar merangkap Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango.

Ketua-ketua kampung itu dilantik di kawasan majoriti kaum India bagi tempoh dua tahun mulai tahun ini.


Mereka ialah S. Rajasekhanan (Kg Hendra), S. Sargunan (Kg Soon Lee), A. Jeganathan (Kg Tun Sambanthan), S. Rajendra (Kg Kamatchi), JK Kanayya (Kg Sungai Sumun), M. Rajamanikan (Kg Kinta Valley) dan P. Thinakaran (Kg Pundut).

Dr Zambry berkata, antara tangungjawab utama ketua-ketua kampung itu ialah berusaha untuk mengurangkan indeks jenayah di kawasan masing-masing, khususnya penyalahgunaan dadah.

Beliau berharap mereka dapat bekerjasama dengan Elango yang mewakili masyarakat India di dalam pentadbiran negeri Perak di samping Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, C Sivarraajh yang juga pegawai khas Menteri Besar.

Sementara itu, Elango menyifatkannya pelantikan itu sebagai pengiktirafan kepada masyarakat India di negeri ini.

“Saya menyeru mereka supaya memberi perkhidmatan yang terbaik di kawasan masing-masing.

“KPI juga telah ditentukan kepada setiap daripada mereka bagi tempuh pelantikan ini dan saya harap mereka akan memainkan peranan yang sepatutnya mereka perlu jalankan,” ujarnya.