a June 2016 ~ zambry.my

Saturday, June 25, 2016

Pemecatan Dibuat Ambil Kira Semua Aspek



Pengerusi Barisan Nasional Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, keputusan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah adil dan dilakukan setelah mengambil kira semua aspek untuk kepentingan parti.

Menurut beliau, tindakan itu dilaksanakan berikutan tindakan mereka melanggar sempadan dan perlembagaan parti.


"Bukan timbalan sahaja yang terkena tetapi siapa-siapa pun, mana-mana ahli parti yang merentasi peraturan, garis panduan dan disiplin yang ditetapkan parti.

""Walaupun dia dianggap pedih atau terlalu sukar untuk dibuat terutama terhadap mereka yang menjawat jawatan tertinggi, namun ini adalah keputusan parti dan kami di Perak menyokong tindakan yang dilakukan setelah penilaian pelbagai sudut diambil kira," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meraikan 191 orang anak angkat  Menteri Besar semasa Program Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Dan Shopping Raya di Mydin Meru, Jelapang pada petang Sabtu.

Menteri Besar berkata, pelbagai pihak mungkin akan memberi pendapat mereka berkenaan hal itu namun ianya merupakan keputusan Majlis Tertinggi setelah menilai beberapa perkara  yang didapati menjejaskan dan peraturan dan perlembangaan parti.

Tegasnya, beliau bersetuju dengan ulasan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan salah satu asas dalam pemecatan itu adalah kerana kedua-dua pemimpin UMNO itu telah berada sepentas bersama pemimpin pembangkang dan menyerang kepimpinan parti.

"Shafie Apdal digantung kerana penilaian terperinci telah dilakukan, MT UMNO juga telah memeriksa setiap kes yang dikenakan terhadap setiap seorang daripada mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Zambry memberitahu, majlis sambutan Hari Raya peringkat negeri bakal berlangsung di Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, kata beliau, ia tiada kaitan dengan kemenangan pilihan raya kecil  baru-baru ini.
"SPR memperuntukkan masa dua bulan selepas pilihan raya, dan kita pun tidak bercadang untuk mengadakan apa-apa aktiviti bersifat meraikan.

"Cuma kali ini, setiap daerah akan dipilih maka Kuala Kangsar mendapat giliran pada kali ini," ujarnya lagi.

Jangan Politikkan Program Anak Angkat MB

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kesal terhadap tindakan sesetengah pihak yang mempolitikkan niat baik dalam membantu anak-anak angkat Menteri Besar di negeri Perak.

Katanya, terdapat beberapa komen liar yang sengaja diutarakan untuk mempertikaikan sumber kewangan bagi membantu kebajikan 191 orang anak angkat dari 10 daerah di negeri ini.

"Suara-suara sumbang itu mengatakan ratusan ribu dibelanjakan untuk anak-anak Menteri Besar, sedangkan ini adalah hasil sumbangan orang ramai dan syarikat kepada mereka yang diuruskan sepenuhnya oleh Yayasan Bina Upaya (YBU).

"Mereka cuba mempermainkan niat baik sehingga disalahtafsirkan oleh masyarakat setempat, walhal kita melakukan perkara yang cukup baik untuk anak-anak yang benar-benar miskin dan daif di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meraikan 191 orang anak angkat semasa Program Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Dan Shopping Raya di Mydin Meru, Jelapang pada petang Sabtu.

Bagaimanapun, Dr Zambry berkata, beliau langsung tidak terkesan terhadap permainan politik itu kerana telah terbukti bahawa bantuan kepada anak-anak angkat MB Perak itu membawa hasil dan produk baik.

"Sejak 2010, program ini bermula daripada 101 orang sehingga kini bertambah ramai, dari segenap kaum dan agama di seluruh negeri.

"Malah yang membanggakan, ramai yang telah berjaya memasuki universiti dalam bidang kepakaran masing-masing, membuktikan bahawa objektif dan tujuan kita berada di landasan tepat," ujarnya.

Tuesday, June 21, 2016

Perak Rujuk Pusat Sebelum Pinda Enekmen Kengkang Penganugerahan Darjah Palsu

Kerajaan negeri akan merujuk kepada kerajaan Pusat berkaitan cadangan pembentangan pindaan Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) 1981 kepada kerajaan pusat sebelum membuat membawa perkara tersebut di Dewan Undangan Negeri bagi tujuan pindaan.


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata perkara tersebut perlulah mendapatkan kajian terperinci daripada pihak kerajaan pusat sebelum ianya dibawa ke peringkat yang seterusnya.

"Perak sebenarnya mempersetujui pindaan berkenaan namun kita perlu berbincang dengan kerajaan pusat bagi memperhalusi peruntukan enakmen tersebut.

"Kita juga akan mendapatkan pandangan daripada Peguam Negara di pelbagai peringkat termasuklah di tahap penyelarasan dan tindakan undang-undang yang sewajarnya,"katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bangunan SUK pada Selasa.

Beliau mengulas pindaan enekmen yang dibuat kerajaan negeri Melaka berkaitan penganugerahan darjat kebesaran bagi mengekang kes-kes penganugerahan darjah palsu.

Tambahnya,pihak kerajaan negeri juga akan merujuk kepada enakmen di Selangor dan menilai lanjut kandungan serta hukuman yang akan dikenakan kepada mereka yang menyalahgunakan penganugerahan darjah kebesaran secara berleluasa.

Semalam, Persidangan Dewan Undangan (DUN) Negeri Melaka meluluskan pindaan terhadap Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) 1981 yang antara lain memperuntukkan hukuman denda lebih berat, terhadap mereka yang disabitkan kesalahan.

Melalui pindaan enakmen berkenaan, denda bagi kesalahan penggunaan tidak betul pingat, bintang dan darjah kebesaran negeri Melaka dinaikkan daripada RM1,000 kepada antara RM250,000 dan RM500,000.

Jangan Anggap Rakyat Bodoh - Dr Zambry

"Jangan anggap rakyat murah.Rakyat masih bijak menilai.Kalau rakyat pilih calon mereka, rakyat bijak. Kalau pilih BN, mereka bodoh,”.

Itu reaksi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kepada pembangkang yang bertindak memperkecilkan pilihan pengundi Kuala Kangsar untuk terus memilih Barisan Nasional sebagai pimpinan teraju mereka dalam pilihan raya kecil baru-baru ini.


Menurutnya, tindakan pembangkang yang menyalahkan pilihan pengundi untuk meletakkan kepercayaan kepada Datin Mastura Yazid sebagai wakil rakyat adalah seperti meragui kebijaksanaan penduduk setempat dalam membuat pilihan mereka.

Katanya,beliau berasa amat kesal terhadap tindakan pembangkang yang mempersoalkan kemenangan Datin Mastura sebaliknya menyalahkan undian majoriti daripada penduduk yang masih memilih BN bagi pembangunan setempat.

"Kematangan mereka adalah berdasarkan penilaian terhadap kemampuan BN untuk terus membawa pembangunan dan perubahan di Kuala Kangsar.

"Tapi mereka (pembangkang) bersikap angkuh, mereka mahukan rakyat ikut cara mereka kononnya cara mereka yang terbaik.

"Kononnya dengan membawa isu nasional atau membuat aksi mengusung jet boleh mendapat simpati, tapi akhirnya dokongan itu menjadi kritikan kepada parti mereka sendiri,"katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bangunan SUK pada Selasa.

Dr Zambry mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang juga Naib Presiden Keadilan dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua yang juga Pengerusi DAP Selangor.

Kedua-dua ahli politik pembangkang itu telah memperlekeh pengundi dengan mengatakan mereka tidak bijak memilih berikutan kemenangan besar BN dalam dua RRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Dr Zambry juga menyelar tindakan pembangkang yang menghina kebijaksanaan dan mengekang kebebasan pengundi untuk memilih wakil rakyat yang akan menyelesaikan permasalahan mereka.

Katanya, rakyat kini menyedari mengenai taktik licik pembangkang yang gemar mempermainkan isu sentimen perkauman dan juga krisis dalaman tidak berkesudahan yang berlaku dalam parti mereka.

"Pengundi sudah biasa dengan gelagat menjengkelkan mereka, dan konflik dalaman dalam parti jadi inikah alternatif Pakatan dalam memegang amanah untuk mentadbir Kuala Kangsar?,"katanya.

Terima Kasih Mufti Kerana Panduan Kepada Mastura

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengucapkan terima kasih kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana memberi panduan kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid untuk terus berkhidmat walaupun masih di dalam tempoh iddah.

Menurut beliau, kenyataan  mufti itu merupakan satu panduan kepada Mastura yang baru sahaja memenangi kerusi Parlimen itu untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

Dr Zambry berkata, beliau telah berbincang dengan Harussani berkenaan perkara tersebut dan mendapatkan pandangan serta selok-belok mengenai khidmat Mastura sebagai wakil rakyat dalam tempoh iddahnya.

“Saya telah menghubungi Tan Sri (Harussani) dan beliau telah menjelaskan bahawa Datin Mastura mempunyai tugas yang perlu dilaksanakan sebagai wakil rakyat, amanah daripada mereka yang telah memberi kepercayaan dan mengundi beliau.

“Oleh sebab itu, Datin Mastura dibenarkan untuk keluar dan menyelesaikan masalah serta menjalankan tanggungjawab beliau, pada masa sama beringat bahawa beliau masih berada dalam tempoh iddah,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.

Menurut beliau, perkara tersebut sudah dijelaskan secara terperinci supaya tidak wujud ruang untuk sesetengah pihak mempertikaikan dan mempermainkan isu berkenaan khususnya untuk kepentingan sendiri.

Selain itu, Mastura juga boleh menghadiri Majlis Angkat Sumpah sebagai Ahli Parlimen apabila dipanggil kerana itu juga menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya yang perlu dipenuhi.

Mastura, 55, memperoleh majoriti 6,969 undi berbanding majority 1,082 yang diraih suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Sementara itu, Dr Zambry meluahkan rasa kesal terhadap tindakan pihak pembangkang yang cuba menyalahkan pengundi di sekitar Kuala Kangsar berikutan kekalahan undian pada PRK baru-baru ini.

Dr Zambry Rai Lebih 2,500 Pelajar Tahfiz, Anak Yatim

 Lebih 2,500 pelajar Maahad Tahfiz dan anak-anak yatim dari seluruh negeri Perak diraikan dalam satu majlis iftar yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Isnin.


Majlis anjuran Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR)8 dan Pejabat Menteri Besar itu merupakan program tahunan yang telah pun masuk tahun ketujuh.

Dalam program itu, kesemua jemaah berpeluang mengerjakan solat Magribh, Isyak dan Solat Terawih dipimpin oleh imam dari Masjidil Haram Mekah, Sheikh Osama Muhammad Iqbal.

Dalam majlis tersebut, Dr Zambry kelihatan tidak kekok untuk bersama-sama berbuka puasa dengan para pelajar tahfiz dan anak-anak yatim yang hadir.

Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan serta "goodies bag" sempena Ramadan dan Aidilfitri kepada kanak-kanak berkenaan.