a Solat Hajat Untuk Pelajar Di Kediaman Menteri Besar ~ zambry.my

Saturday, September 6, 2014

Solat Hajat Untuk Pelajar Di Kediaman Menteri Besar

Satu majlis bacaan Yassin dan solat hajat telah diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh untuk pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberitahu, majlis itu bertujuan untuk mendoakan kejayaan bagi pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan tidak lama lagi.
Beliau turut berharap majlis itu dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim sesama umat Islam.
"Diharap Allah mempermudahkan perjalanan murid-murid ini nanti, dilapangkan dada mereka, diberikan kekuatan kepada mereka dan diberi nur di dalam jiwa mereka.
"Kita sebagai manusia kadang-kala ada berbalah sesama kita dengan perkara-perkara tidak sepatutnya, Insyaallah majlis seperti ini dapat menyatukan hati kita semula," katanya ketika memberi ucapan sambil menunggu waktu solat Isyak pada Khamis.
Kira-kira 500 orang menghadiri majlis tersebut, yang terdiri daripada pelajar maahad tahfiz, anak yatim, pengetua-pengetua sekolah daerah Kinta dan ketua-ketua jabatan.
Majlis tersebut telah dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan tahlil, Yassin, solat Isya dan solat hajat sebelum diakhiri dengan jamuan makan malam.
Menurut Nurul Izah Darmia Lasa, 15, dari sekolah Mahad Tahfiz Al-Quran dan Akademik BAKIP, majlis tersebut adalah sesuatu yang amat istimewa baginya.
Katanya, doa dari orang ramai, terutamanya dari pemimpin negeri itu akan dijadikannya sebagai semangat untuk lebih berusaha mendapatkan keputusan cemerlang bagi Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang bakal diambilnya pada 10 Oktober ini.

0 comments:

Post a Comment