a Curi Kabel Dan Vandalisme Punca Talian Internet, Telefon Bimbit Di Perak Terjejas ~ zambry.my

Thursday, September 4, 2014

Curi Kabel Dan Vandalisme Punca Talian Internet, Telefon Bimbit Di Perak Terjejas

Kejadian kecurian kabel dan vandalisme pada menara telekomunikasi yang agak berleluasa di negeri ini dikenalpasti sebagai punca utama menyebabkan tahap penembusan talian internet dan telefon bimbit di Perak terjejas teruk.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika mendedahkan perkara ini berkata kerajaan negeri memandang serius kes kecurian kabel kerana ia telah menyebabkan Perak antara negeri yang menghadapi tahap penembusan internet serta perkhidmatan telefon bimbit paling teruk di Malaysia.

Katanya punca ini dikenalpasti setelah kerajaan negeri dimaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bahawa Perak diberikan peruntukan besar untuk tujuan kemudahan infrastruktur telekomunikasi namun pengguna tidak dapat menikmati manfaat tersebut berikutan aktiviti jenayah pihak tidak bertanggungjawab ini.

Menurutnya lagi kejadian kecurian kabel ini didalangi satu sindiket licik dan dilakukan dalam suasana yang professional bagi mengaburi mata orang ramai akan kegiatan jenayah mereka.

“Kerja mereka sangat profesional…tidak kira malam atau siang mereka datang dalam kumpulan lengkap  berpakaian seragam serta kenderaan syarikat kononnya seolah-olah melakukan kerja-kerja membaik pulih.

Saya menyeru orang ramai yang melihat apa-apa aktiviti di menara telekomunikasi cepat menghubungi pihak polis supaya siasatan dapat dibuat untuk memastikan sama ada mereka ini merupakan pekerja sahih yang melakukan kerja baikpulih ataupun sindiket mencuri kabel,” katanya.     

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Menteri Besar berkata Perak menduduki tempat kedua tertinggi selepas Selangor, dengan mencatatkan 2,014 kes curi kabel dan vandalism terhadap prasarana telekomunikasi yang melibatkan nilai kerugian berjumlah RM 7.23 juta pada tahun 2013.

Katanya, bagi tahun 2014 pula, setakat ini data menunjukkan peningkatan kes berbanding tahun lalu dengan jumlah kerugian telah mencecah RM 5 Juta.

Jelasnya lagi, kes kecurian dan vandalisme tersebut telah merencatkan usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan kadar penembusan internet kerana ia menganggu sistem telekomunikasi dan perkhidmatan di negeri ini.

Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan pihak Polis dan SKMM mempertingkatkan lagi usaha mereka membendung masalah tersebut daripada terus berlaku.

“Kerajaan negeri memandang serius kes sebegini dan telah mengkalsifikasikan ia dipantau Majlis Keselamatan Negeri kerana soal telekomunikasi ini ada hubungkait dengan isu keselamatan kerana ia boleh mengugat saluran-saluran penting khususnya komunikasi.

“Kita akan pastikan tindakan amat tegas diambil terhadap perbuatan-perbuatan yang cuba mengsabotaj kerajaan negeri,” tegasnya.

Menurut Dr. Zambry lagi, pihak kerajaan sendiri juga telah mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikan masalah tersebut seperti memasukkan perkara itu sebagai salah satu agenda di dalam Majlis Keselamatan Negeri.

Tambah beliau, Ahli majlis, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pihak kerajaan tempatan juga telah pun diminta untuk mempertingkatkan lagi pemantauan mereka.

Dr. Zambry juga meminta masyarakat di negeri ini melaporkan kepada pihak berkuasa secepat mungkin jika mereke mengesyaki terdapat kecurian kabel ataupun vandalism terhadap menara komunikasi di kawasan mereka.

0 comments:

Post a Comment