a Liga Perak Amanjaya Cari Pemain Bola Sepak Berbakat ~ zambry.my

Thursday, September 11, 2014

Liga Perak Amanjaya Cari Pemain Bola Sepak Berbakat

Perak terus mengorak langkah untuk mencari pemain bola sepak yang berpotensi mewakili negeri dengan memperkenalkan Liga Perak Amanjaya (LPA) 2014 antara Parlimen merebut Perisai Amanjaya Menteri Besar Perak.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, liga itu diwujudkan bagi mencungkil bakat-bakat muda terutamanya di kalangan anak jati Perak untuk diketengahhkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Katanya, ia juga merupakan persediaan awal yang dibuat oleh PAFA bagi menghadapi musim 2015 akan datang untuk memperkuatkan skuad-skuad Piala Emas Raja-Raja, Piala Belia, Piala Presiden dan juga Liga Super negeri ini.
Menurut beliau, liga itu akan melibatkan 24 pasukan mewakili parlimen masing-masing, justeru memberi peluang kepada lebih ramai lagi pemain muda mempamerkan bakat mereka.
"Kita akan gunakan liga ini untuk mencari bakat-bakat baru bagi mewakili Perak untuk skuad-skuad yang perlu kita sediakan dalam pertandingan dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan juga Pesatuan Bola Sepak Melayu Malaysia," katanya ketika sidang media selepas pelancaran liga tersebut.
Pelancaran telah disempurnkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir di kediaman rasminya pada Rabu.
Pengerusi LPA 2014 dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Teknik dan Pertandingan PAFA, Datuk Shahrul Zaman Yahya pula memberitahu, setiap pasukan yang menyertai liga itu hanya dibenarkan mendaftar 20 pemain iaitu 15 berumur di bawah 20 tahun dengan maksimum lima pemain lebih 20 tahun.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia berkata, pegawai-pegawai daripada PAFA juga akan turut hadir pada kesemua perlawanan liga tersebut.
Jelas beliau, pegawai-pegawai itu nanti akan mengenal pasti pemain-pemain yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam akademi bola sepak Perak yang berpengkalan di Ipoh.
"Pemain-pemain yang berpotensi itu nanti akan berlatih di akademi Ipoh, jika sekiranya mereka dirasakan layak, mereka akan diserapkan ke dalam pasukan-pasukan negeri kita," katanya.
Selain Perisai Menteri Besar Perak, juara juga akan memenangi wang tunai RM30,000 manakala naib juara RM15,000 dan masing-masing RM5,000 bagi pemenang tempat ketiga dan keempat.
Liga tersebut akan bermula pada 13 hingga 16 September ini bagi pusingan liga, 20 hingga 21 September bagi pusingan suku akhir dan separuh akhir, manakala perlawanan akhir akan diadakan pada 1 Oktober.

0 comments:

Post a Comment