a Dr Zambry Berbuka Bersama Insan Istimewa ~ zambry.my

Friday, July 3, 2015

Dr Zambry Berbuka Bersama Insan Istimewa

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir terus melakukan pelbagai kelainan sempena Ramadan tahun ini, untuk mendekati seramai mungkin rakyat di negeri Perak.
Jika sebelum ini, beliau berbuka puasa bersama-sama pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan beragama Islam, terbaharu, Dr Zambry berbuka puasa bersama-sama anggota dan warga Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK).
Sambil menyifatkan kumpulan itu sebagai insan-insan istimewa, beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah melupakan golongan tersebut.
"Kita tidak pernah meminggirkan mereka kerana mereka juga adalah sebahagian daripada kita," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Dewan HBUK, Tanjung Rambutan pada Khamis.
Majlis itu yang diatur oleh Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) turut dihadiri ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie, Pengarah HBUK, Dr Raba'iah Mohd Salleh dan Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad.
Dr Zambry memberitahu, walaupun majlis itu merupakan lawatan rasmi pertamanya ke HBUK tetapi sebelum ini pihaknya beberapa kali telah menghantar sumbangan dalam bentuk makanan dan pakaian.
Di samping meminta wakil rakyat Hulu Kinta sering melihat kebajikan warga HBUK, beliau berharap masyarakat luar juga akan tampil untuk menghulur sumbangan dalam apa jua bentuk.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada doktor, jururawat serta petugas di hospital itu yang telah mendambakan sebahagian kehidupan mereka untuk menjaga kebajikan warga di situ.
Sementara itu, Azhar pula memberitahu, pihaknya menyediakan juadah berbuka puasa untuk 1,800 anggota dan warga hospital tersebut.
Bagaimanapun, katanya, hanya 250 orang sahaja dapat berbuka puasa bersama-sama Menteri Besar kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.
Selain sumbangan kain pelikat, batik, tamar dan rock mellon, Dr Zambry turut meluluskan sebuah van untuk kegunaan pengangkutan pergi balik warga HBUK ke tempat kerja di luar kawasan Tanjung Rambutan.

0 comments:

Post a Comment