a Ibadah Puasa Diharap Semai Keinsafan - Sultan Nazrin ~ zambry.my

Tuesday, July 28, 2015

Ibadah Puasa Diharap Semai Keinsafan - Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ibadah puasa yang dilaksanakan sepanjang Ramadan diharapkan berjaya menyemai keinsafan mendalam di kalangan insan yang dilimpahkan kemewahan rezeki untuk menghargai makanan dan menghentikan pembaziran.
Titah baginda, puasa adalah satu daripada lima Rukun Islam dan antara lain tujuan peranannya adalah untuk menyemaikan keinsafan dalam diri insan.
"Wujudnya kumpulan manusia di dunia ini yang berada dalam keadaan susah untuk mendapatkan makanan; mereka 'hidup kais pagi makan pagi - kais petang makan petang'.
"Makanan pada masa ini semakin sukar didapati dan kos pengeluaran makanan semakin meningkat dan harga makanan di pasaran semakin tinggi.
"Bekalan makanan semakin kritikal dan semakin ramai penduduk dunia menghadapi situasi kekurangan bekalan makanan," titahnya sempena perutusan Aidilfitri 1436 Hijrah di sini, hari ini.
Titah baginda, Aidilfitri hendaklah disambut dalam semangat yang memenuhi tuntutan agama; banyakkanlah bersedekah; hulurkan bantuan kepada fakir miskin; limpahkan kasih sayang kepada anak-anak yatim; tunaikan zakat dan zakat fitrah.
Titahnya, Aidilfitri hendaklah disambut dalam semangat yang menyuburkan budaya bangsa; mengunjungi ahli keluarga, ziarah menziarahi, mengeratkan silaturahim, bermaaf-maafan.
"Sambutlah Aidilfitri dengan menghidupkan suasana riang gembira dalam semangat kesederhanaan yang tidak melakukan pembaziran.
"Sambutan Aidilfitri hendaklah dijadikan jambatan untuk meningkatkan hubungan muhibah antara warga Malaysia dari pelbagai agama dan pelbagai kaum," titahnya.
Baginda bertitah, ketika majoriti warga riang ria merayakan Aidilfitri, terdapat di kalangan mereka yang diperlukan bertugas dan mereka sesungguhnya melakukan pengorbanan tinggi, melaksanakan tugas dan tanggung jawab ketika orang lain sedang riang berhari raya bersama keluarga.
"Kepada mereka, Beta dan Raja Permaisuri menzahirkan penghargaan yang amat tinggi, demikian juga penghargaan Beta berdoa kepada anggota keluarga mereka yang turut melakukan pengorbanan menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran suami, isteri, ayah, ibu, abang, kakak, adik atau anak tersayang. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala merahmati anda semua," titahnya.

0 comments:

Post a Comment