a Pemimpin Disaran Tunjuk Teladan Baik Wujudkan Suasana Harmoni Dan Aman ~ zambry.my

Tuesday, July 28, 2015

Pemimpin Disaran Tunjuk Teladan Baik Wujudkan Suasana Harmoni Dan Aman

Pemimpin di seluruh negeri disaran menunjukkan teladan baik dalam menerajui kepimpinan khususnya kepada perkara yang menyatu padukan rakyat ke arah suasana aman dan harmoni.
Menteri Besar Perak,Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata hanya dengan keamanan Perak terus berkembang maju menjadi negeri contoh dan disegani.
"Dulu sukar untuk kita melihat bangunan tinggi pencakar langit sekitar Ipoh tetapi kini dengan pertumbuhan pesat pelbagai pelbagai sektor Ipoh kini telah berubah.
"Semua ini adalah hasil kerjasama erat di antara sektor awam dan swasta yang tak putus memberikan sokongan dan penambahbaikan kepada pembangunan negeri," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan persembahan dan bermesra dengan dalam Majlis Rumah Terbuka yang turut berkenan dihadiri oleh Sultan Nazrin Muizzudin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di kediaman rasmi Menteri Besar Perak pada petang Jumaat.
Dr Zambry dalam pada itu turut tidak menafikan wujudnya permasalahan di dalam pentadbiran dan susun atur sesebuah negeri namun cara yang terbaik mengatasi perkara ini adalah melalui perbincangan.
"Respons daripada rakyat mengenai perubahan positif yang berlaku di Perak merupakan rangsangan kepada kami untuk terus membangunkan negeri ini. Perkara paling penting buat masa ini adalah untuk kita mengekalkan keamanan yang sedia ada.
"Ketika masa ambil alih pentadbiran negeri berada dalam krisis namun ianya berjaya dikawal. Dan lama kelamaan saya semuanya berjaya dipulihkan. Semua ini tidak dapat saya lakukan tanpa sokongan padu rakyat. Saya ucapkan ribuan terima kasih," katanya.
Menurutnya adalah tidak wajar sekiranya ada pihak yang suka mempermainkan sentimen-sentimen tertentu semata-mata bagi kepentingan pulangan politik masing-masing.
"Jangan kita mempersoalkan sesuatu perkara dengan menggunakan pendekatan negatif seperti melemparkan tuduhan itu, tuduhan ini kepada pelbagai pihak atau melabelkan mana-mana parti sebagai ektremis. Ini semua langsung tidak membawa apa-apa kebaikan", katanya lagi.
Jelasnya tidak seharusnya wujud sebarang perasaan takut mahupun syak wasangka di kalangan rakyat dan mengesa rakyat supaya menggunakan kesempatan musim perayaan Hari Raya ini untuk mengeratkan perpaduan.
"Contohnya rumah terbuka saya hari ini. Saya lihat pelbagai kaum datang walaupun ada isu-isu yang tidak berapa enak kita dengar di media-media sosial. Ini jelas menunjukkan bahawa masih wujud perpaduan utuh dan walaupun ini merupakan hari pertama Syawal, ramai yang datang ke kediaman saya justeru keadaan inilah yang memberikan semangat kepada pentadbiran negeri untuk terus memberikan yang terbaik buat negeri Perak pada masa depan," katanya lagi.
Jelasnya,sebagai seorang pemimpin, adalah amat penting untuk sentiasa memohon maaf kepada rakyat sekiranya mereka melakukan kesilapan. Katanya memohon maaf menunjukkan seorang pemimpin itu bersifat merendah diri.
"Pemimpin juga harus berani menerima terhadap kelebihan dan kekurangan yang ada dalam dirinya . Dengan cara ini kita dapat memimpin serta memajukan negeri dengan lebih baik dan holistik, " katanya lagi.
Beliau juga mengambil semangat Hari Raya Aidilfitri untuk memohon maaf kepada rakyat Perak terhadap sebarang kekurangan memimpin dan mentadbir negeri Perak sejak 6 tahun lalu

0 comments:

Post a Comment