a Pergolakan Pembangkang: UMNO/BN Sedia Hadapi Pilihan Raya Kecil ~ zambry.my

Tuesday, July 28, 2015

Pergolakan Pembangkang: UMNO/BN Sedia Hadapi Pilihan Raya Kecil

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak sentiasa bersedia termasuk menghadapi pilihan raya kecil berikutan pergolakan yang berlaku dalam parti pembangkang berkaitan penubuhan parti baharu Gerakan Harapan Baharu (GHB).
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagaimanapun berkata, sejarah telah membuktikan serpihan-serpihan daripada pelbagai parti ini tidak dapat bertahan lama dan akhirnya berkubur.
Justeru itu, katanya, UMNO dan BN tidak hanya tunggu dan lihat, sebalik segera membuat analisa dan merangka strategi yang baik untuk memantapkan parti.
Beliau berkata, sejarah perkembangan politik tanah air sentiasa berubah apabila sesebuah parti yang dominan telah pun berada di persada politik tanah air atau dalam landskap politik dalam satu jangka masa yang lama.
"Perpecahan yang berlaku biasanya terjadi disebabkan oleh serpihan-sepihan komponen yang tidak berpuas hati dengan cara perjalanan parti itu.
“Ini pernah berlaku sendiri dalam UMNO, MIC, MCA dan sebagainya dan kumpulan-kumpulan ini akan berhadapan dengan suasana yang mencabar bagi mengharunginya,” katanya kepada pemberita di majlis Ramah Mesra Aidilfitri Pesara-pesara kerajaan peringkat negeri Perak di kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh pada Jumaat.
Beliau diminta mengulas mengenai penubuhan parti baharu Gerakan Harapan Baharu yang diwar-war akan menggantikan PAS.
Mengenai pesara-pesara kerajaan, Dr Zambry berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen dalam membantu mereka kerana pesara-pesara kerajaan sentiasa taat setia menyokong kepimpinan BN.
Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, usaha menyatukan pesara-pesara kerajaan perlu dipergiatkan bagi mendapatkan pelbagai idea dan pandangan membina dalam membantu kerajaan membangunkan negeri Perak.

0 comments:

Post a Comment