a Perak Cadang Kawasan NCER Diperluas ~ zambry.my

Tuesday, January 26, 2016

Perak Cadang Kawasan NCER Diperluas

Perak mahu Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memperluaskan kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata cadangan tersebut telah dikemukakan semasa mesyuarat NCIA ke-15 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pada Khamis.

"Perak telah mengemukakan cadangan itu supaya pihak berkenaan dapat memikirkan bagi perluasan kawasan NCER dari Manjung sehingga ke kawasan lain khususnya di Hilir Perak.

"Perdana Menteri akan melihat cadangan ini dari segi analisis manfaat kos yang dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE)," katanya kepada pemberita selepas melakukan upacara pecah tanah projek pembinaan dewan tertutup Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai mesyuarat semalam, Zambry berkata kerajaan negeri memeterai beberapa perjanjian dengan NCIA antaranya berhubung pengumpulan durian dan hasil durian di sekitar daerah Larut Matang dan Selama, serta kawasan Bukit Gantang.

"Hasil berkenaan dapat digunakan untuk tujuan eksport, seperti diproses menjadi produk makanan berasaskan durian misalnya aiskrim, kek durian dan lain-lain.

"Ia telah mendapat tempahan dan permintaan yang mengalakkan di luar negara dengan dikendalikan oleh Syarikat Duria Manufacturing Sdn Bhd," katanya.

Berhubung pembinaan dewan tertutup sekolah berkenaan, Zambry berharap projek itu dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan bagi mengelak kos tambahan.

"Kita memperuntukkan sebanyak RM2.9 juta bagi membina dewan ini dan berdasarkan anggaran kita, kos yang disediakan telah mencukupi," katanya.

Pada majlis tersebut, Zambry turut mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi pembinaan sebuah surau terbuka berhampiran jeti sekitar TDLM untuk memudahkan anggota pasukan pertahanan itu menunaikan ibadat. - Bernama

0 comments:

Post a Comment