a Vape: Perak Serah Pada Persekutuan ~ zambry.my

Tuesday, January 5, 2016

Vape: Perak Serah Pada Persekutuan

Kerajaan negeri Perak mengambil pendirian menyerahkan keputusan penegasan bagi status penggunaan vape di negeri ini kepada kerajaan Persekutuan secara keseluruhan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebarang kata putus daripada pihak kerajaan Persekutuan akan digunapakai bagi penguatkuasaan penggunaan vape yang semakin mendapat perhatian di beberapa negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mengambil kira laporan rasmi serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Mufti Perak sendiri, Tan Sri Harussani Zakaria berhubung alatan wap air yang semakin menjadi trend tersebut.
“Apa yang kita lihat sekarang ini ialah isu vape menjadi kontroversi pelbagai pihak berikutan faktor sesetengah pihak yang mempunyai pendapat berbeza dari sudut kesihatan, ekonomi dan sebagainya.
“Justeru itu, saya menyeru kepada kerajaan Persekutuan untuk meletakkan peraturan ke atas perihal seperti vape, rokok dan lain-lain dan mengemukakan keputusan secara rasmi agar ianya boleh diselaraskan ke atas semua negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Tandatangan Perjanjian Persefahaman di antara Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNPk) dan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.
Dr Zambry berkata, terdapat banyak pihak yang cuba menimbulkan spekulasi sehingga melahirkan pandangan berbeza, seterusnya mengakibatkan perbahasan tidak bermanfaat di kalangan masyarakat.
Katanya, adalah lebih efisien sekiranya satu polisi dan keputusan jelas dilaksanakan segera agar pihaknya tidak mengambil pandangan pelbagai pihak yang berbeza serta disifatkan tidak adil.
“Saya percaya kepakaran dalam menentukan status penggunaan vape ini terletak di pihak kerajaan Persekutuan dan Perak akan menerima pakai semua keputusan yang diberikan kelak,” katanya lagi.

0 comments:

Post a Comment