a July 2015 ~ zambry.my

Wednesday, July 29, 2015

Pengiktirafan Besar Kepada Perak - Dr Zambry

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir menyifatkan Kabinet baru kerajaan sebagai pengiktirafan besar kepada negeri Perak.

Menurut beliau, selain pemilihan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, tujuh lagi pemimpin Perak menggotai kabinet sebagai menteri penuh dan timbalan menteri. 

``Saya fikir ia adalah pengiktifaran kepada Perak dan saya percaya mereka mempunyai kemampuan untuk memikul tugas dengan baik,'' katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Ipoh pada Rabu.

Diminta mengulas mengenai pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri, Dr Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, sudah menjadi tradisi UMNO untuk menghormati pemimpin dalam apa jua keadaan.

“Buat ketika ini Muhyiddin masih lagi Timbalan Presiden parti jadi sudah tentu ahli-ahli terus menghormati beliau. Memang tradisi kita sejak dari dahulu lagi begitu.

“Kini ia terserah kepada kepimpinan parti untuk menentukan nasib beliau kerana jawatan yang dipegangnya adalah pilihan parti,” katanya.

Ditanya mengenai pendirian UMNO negeri bagi majlis perasmian mesyuarat bahagian yang menjemput Muhyiddin, beliau menjelaskan, tiada halangan untuk berbuat demikian kerana ia bergantung kepada pimpinan di peringkat bahagian.

"Ada (bahagian) yang telah menjemput, itu terpulang. Kita tidak dapat apa-apa arahan daripada UMNO Pusat,” jelas beliau.

Tuesday, July 28, 2015

Perak Sambut Baik Pelantikan Zahid Hamidi

Perak menyambut baik pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, rakyat Perak gembira dan berbangga kerana Zahid menjadi anak Perak pertama yang dilantik memegang jawatan tersebut.
Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Hamzah Zainuddin di atas kenaikan pangkat sebagai menteri penuh. Beliau sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Luar.
“Ini adalah satu lagi pengiktirafan kepada kebolehan dan kemampuan anak Perak,” katanya melalui satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada petang Rabu.
Dalam pada itu, Dr. Zambry juga mengulas rombakan semula kabinet itu sebagai prerogatif Najib sebagai Perdana Menteri untuk berbuat demikian.
Najib dalam satu sidang media pada jam 1.50 petang tadi telah melakukan rombakan ke atas beberapa portfolio.

Pergolakan Pembangkang: UMNO/BN Sedia Hadapi Pilihan Raya Kecil

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak sentiasa bersedia termasuk menghadapi pilihan raya kecil berikutan pergolakan yang berlaku dalam parti pembangkang berkaitan penubuhan parti baharu Gerakan Harapan Baharu (GHB).
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagaimanapun berkata, sejarah telah membuktikan serpihan-serpihan daripada pelbagai parti ini tidak dapat bertahan lama dan akhirnya berkubur.
Justeru itu, katanya, UMNO dan BN tidak hanya tunggu dan lihat, sebalik segera membuat analisa dan merangka strategi yang baik untuk memantapkan parti.
Beliau berkata, sejarah perkembangan politik tanah air sentiasa berubah apabila sesebuah parti yang dominan telah pun berada di persada politik tanah air atau dalam landskap politik dalam satu jangka masa yang lama.
"Perpecahan yang berlaku biasanya terjadi disebabkan oleh serpihan-sepihan komponen yang tidak berpuas hati dengan cara perjalanan parti itu.
“Ini pernah berlaku sendiri dalam UMNO, MIC, MCA dan sebagainya dan kumpulan-kumpulan ini akan berhadapan dengan suasana yang mencabar bagi mengharunginya,” katanya kepada pemberita di majlis Ramah Mesra Aidilfitri Pesara-pesara kerajaan peringkat negeri Perak di kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh pada Jumaat.
Beliau diminta mengulas mengenai penubuhan parti baharu Gerakan Harapan Baharu yang diwar-war akan menggantikan PAS.
Mengenai pesara-pesara kerajaan, Dr Zambry berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen dalam membantu mereka kerana pesara-pesara kerajaan sentiasa taat setia menyokong kepimpinan BN.
Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, usaha menyatukan pesara-pesara kerajaan perlu dipergiatkan bagi mendapatkan pelbagai idea dan pandangan membina dalam membantu kerajaan membangunkan negeri Perak.

Rumah Terbuka Dr Zambry di Pangkor Meriah

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry menghabiskan hari raya keduanya pulang ke kampung halaman untuk beraya bersama orang-orang kampungnya di Pulau Pangkor.
Lebih 5,000 masyarakat kampung tidak mahu melepaskan peluang berkunjung ke rumah ibunya di Kampung Masjid untuk beraya bersamanya.
Uniknya rumah terbukanya di Pangkor ini turut dibanjiri orang kampung berbilang bangsa ? termasuklah rakan sepermanian beliau ketika membesar di pulau
Kemeriahan syawal begitu dirasai apabila ramai yang menunggu ketibaannya di perkarangan kediaman ibunaya yang terletak Kampung Masjid seawal pukul 7 pagi Sabtu.
Ketika berucap ringkas, Dr Zambry yang juga ADUN Pangkor berkata sambutan Aidilfitri di kampung halamannya itu sudah menjadi satu perkara yang sentiasa dinantikan saban tahun kerana ia adalah peluang untuknya bertemu dengan rakan-rakannya yang pulang ke kampung untuk beraya.?
"Ini adalah antara yang mengembirakan saya bertemu dengan rakan-rakan yang saya kenali.
Syukur masih ada sudi bertandang ke rumah pada Raya kedua ini dan bersama meraikannya bersama saya dan seisi keluarga, saya harap semangat perpaduan dan nilai kesepakatan ini dapat dipupuk dan diterjemah dalam tanggungjawab sosial kita dalam memastikan Pangkor sentiasa terpelihara dengan baik.
"Jaga Pangkor baik-baik, kerana tiada siapa lagi yang boleh memeliharanya selain warganya sendiri, baik dari segi pembangunan, kebersihan dan kewajipan sosial,"katanya. ?
Turut hadir, isterinya Datin Seri Saripah Zulkifli yang juga anak Pangkor dan seisi keluarga.
Pengunjung yang hadir dihidangkan dengan pelbagai menu termasuk beberapa juadah tradisi Pangkor seperti laksa Mee Pangkor dan Cucur Udang Pangkor, kuih cakui,dan lemang.
Penduduk Pangkor Chang Yoo Chin,68 berkata saban tahun beliau pasti tidak akan melepaskan peluang bertandang ke rumah ADUN Pangkor tersebut bagi meraikan Syawal bersama semua warga kampung.
"Saya pun memang kenal mak Dr Zambry biasalah orang kampung tidak lupa kunjung mengunjungi terutama pada hari raya. Kali ini saya bawa anak dan cucu untuk memeriahkan majlis.
"Di Pangkor, pulau ini kecil jadi tiada beza sangat kaum, Cina, India atau Melayu. Hubungan kami memang rapat antara satu sama lain, saya rasa ini sangat bagus dan orang muda mesti ikut jadi nanti mereka boleh ajar anak-anak pula," katanya ketika ditemui.

Pemimpin Disaran Tunjuk Teladan Baik Wujudkan Suasana Harmoni Dan Aman

Pemimpin di seluruh negeri disaran menunjukkan teladan baik dalam menerajui kepimpinan khususnya kepada perkara yang menyatu padukan rakyat ke arah suasana aman dan harmoni.
Menteri Besar Perak,Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata hanya dengan keamanan Perak terus berkembang maju menjadi negeri contoh dan disegani.
"Dulu sukar untuk kita melihat bangunan tinggi pencakar langit sekitar Ipoh tetapi kini dengan pertumbuhan pesat pelbagai pelbagai sektor Ipoh kini telah berubah.
"Semua ini adalah hasil kerjasama erat di antara sektor awam dan swasta yang tak putus memberikan sokongan dan penambahbaikan kepada pembangunan negeri," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan persembahan dan bermesra dengan dalam Majlis Rumah Terbuka yang turut berkenan dihadiri oleh Sultan Nazrin Muizzudin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di kediaman rasmi Menteri Besar Perak pada petang Jumaat.
Dr Zambry dalam pada itu turut tidak menafikan wujudnya permasalahan di dalam pentadbiran dan susun atur sesebuah negeri namun cara yang terbaik mengatasi perkara ini adalah melalui perbincangan.
"Respons daripada rakyat mengenai perubahan positif yang berlaku di Perak merupakan rangsangan kepada kami untuk terus membangunkan negeri ini. Perkara paling penting buat masa ini adalah untuk kita mengekalkan keamanan yang sedia ada.
"Ketika masa ambil alih pentadbiran negeri berada dalam krisis namun ianya berjaya dikawal. Dan lama kelamaan saya semuanya berjaya dipulihkan. Semua ini tidak dapat saya lakukan tanpa sokongan padu rakyat. Saya ucapkan ribuan terima kasih," katanya.
Menurutnya adalah tidak wajar sekiranya ada pihak yang suka mempermainkan sentimen-sentimen tertentu semata-mata bagi kepentingan pulangan politik masing-masing.
"Jangan kita mempersoalkan sesuatu perkara dengan menggunakan pendekatan negatif seperti melemparkan tuduhan itu, tuduhan ini kepada pelbagai pihak atau melabelkan mana-mana parti sebagai ektremis. Ini semua langsung tidak membawa apa-apa kebaikan", katanya lagi.
Jelasnya tidak seharusnya wujud sebarang perasaan takut mahupun syak wasangka di kalangan rakyat dan mengesa rakyat supaya menggunakan kesempatan musim perayaan Hari Raya ini untuk mengeratkan perpaduan.
"Contohnya rumah terbuka saya hari ini. Saya lihat pelbagai kaum datang walaupun ada isu-isu yang tidak berapa enak kita dengar di media-media sosial. Ini jelas menunjukkan bahawa masih wujud perpaduan utuh dan walaupun ini merupakan hari pertama Syawal, ramai yang datang ke kediaman saya justeru keadaan inilah yang memberikan semangat kepada pentadbiran negeri untuk terus memberikan yang terbaik buat negeri Perak pada masa depan," katanya lagi.
Jelasnya,sebagai seorang pemimpin, adalah amat penting untuk sentiasa memohon maaf kepada rakyat sekiranya mereka melakukan kesilapan. Katanya memohon maaf menunjukkan seorang pemimpin itu bersifat merendah diri.
"Pemimpin juga harus berani menerima terhadap kelebihan dan kekurangan yang ada dalam dirinya . Dengan cara ini kita dapat memimpin serta memajukan negeri dengan lebih baik dan holistik, " katanya lagi.
Beliau juga mengambil semangat Hari Raya Aidilfitri untuk memohon maaf kepada rakyat Perak terhadap sebarang kekurangan memimpin dan mentadbir negeri Perak sejak 6 tahun lalu

Ibadah Puasa Diharap Semai Keinsafan - Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ibadah puasa yang dilaksanakan sepanjang Ramadan diharapkan berjaya menyemai keinsafan mendalam di kalangan insan yang dilimpahkan kemewahan rezeki untuk menghargai makanan dan menghentikan pembaziran.
Titah baginda, puasa adalah satu daripada lima Rukun Islam dan antara lain tujuan peranannya adalah untuk menyemaikan keinsafan dalam diri insan.
"Wujudnya kumpulan manusia di dunia ini yang berada dalam keadaan susah untuk mendapatkan makanan; mereka 'hidup kais pagi makan pagi - kais petang makan petang'.
"Makanan pada masa ini semakin sukar didapati dan kos pengeluaran makanan semakin meningkat dan harga makanan di pasaran semakin tinggi.
"Bekalan makanan semakin kritikal dan semakin ramai penduduk dunia menghadapi situasi kekurangan bekalan makanan," titahnya sempena perutusan Aidilfitri 1436 Hijrah di sini, hari ini.
Titah baginda, Aidilfitri hendaklah disambut dalam semangat yang memenuhi tuntutan agama; banyakkanlah bersedekah; hulurkan bantuan kepada fakir miskin; limpahkan kasih sayang kepada anak-anak yatim; tunaikan zakat dan zakat fitrah.
Titahnya, Aidilfitri hendaklah disambut dalam semangat yang menyuburkan budaya bangsa; mengunjungi ahli keluarga, ziarah menziarahi, mengeratkan silaturahim, bermaaf-maafan.
"Sambutlah Aidilfitri dengan menghidupkan suasana riang gembira dalam semangat kesederhanaan yang tidak melakukan pembaziran.
"Sambutan Aidilfitri hendaklah dijadikan jambatan untuk meningkatkan hubungan muhibah antara warga Malaysia dari pelbagai agama dan pelbagai kaum," titahnya.
Baginda bertitah, ketika majoriti warga riang ria merayakan Aidilfitri, terdapat di kalangan mereka yang diperlukan bertugas dan mereka sesungguhnya melakukan pengorbanan tinggi, melaksanakan tugas dan tanggung jawab ketika orang lain sedang riang berhari raya bersama keluarga.
"Kepada mereka, Beta dan Raja Permaisuri menzahirkan penghargaan yang amat tinggi, demikian juga penghargaan Beta berdoa kepada anggota keluarga mereka yang turut melakukan pengorbanan menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran suami, isteri, ayah, ibu, abang, kakak, adik atau anak tersayang. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala merahmati anda semua," titahnya.

Friday, July 3, 2015

Dr Zambry Berbuka Bersama Insan Istimewa

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir terus melakukan pelbagai kelainan sempena Ramadan tahun ini, untuk mendekati seramai mungkin rakyat di negeri Perak.
Jika sebelum ini, beliau berbuka puasa bersama-sama pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan beragama Islam, terbaharu, Dr Zambry berbuka puasa bersama-sama anggota dan warga Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK).
Sambil menyifatkan kumpulan itu sebagai insan-insan istimewa, beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah melupakan golongan tersebut.
"Kita tidak pernah meminggirkan mereka kerana mereka juga adalah sebahagian daripada kita," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Dewan HBUK, Tanjung Rambutan pada Khamis.
Majlis itu yang diatur oleh Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) turut dihadiri ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie, Pengarah HBUK, Dr Raba'iah Mohd Salleh dan Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad.
Dr Zambry memberitahu, walaupun majlis itu merupakan lawatan rasmi pertamanya ke HBUK tetapi sebelum ini pihaknya beberapa kali telah menghantar sumbangan dalam bentuk makanan dan pakaian.
Di samping meminta wakil rakyat Hulu Kinta sering melihat kebajikan warga HBUK, beliau berharap masyarakat luar juga akan tampil untuk menghulur sumbangan dalam apa jua bentuk.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada doktor, jururawat serta petugas di hospital itu yang telah mendambakan sebahagian kehidupan mereka untuk menjaga kebajikan warga di situ.
Sementara itu, Azhar pula memberitahu, pihaknya menyediakan juadah berbuka puasa untuk 1,800 anggota dan warga hospital tersebut.
Bagaimanapun, katanya, hanya 250 orang sahaja dapat berbuka puasa bersama-sama Menteri Besar kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.
Selain sumbangan kain pelikat, batik, tamar dan rock mellon, Dr Zambry turut meluluskan sebuah van untuk kegunaan pengangkutan pergi balik warga HBUK ke tempat kerja di luar kawasan Tanjung Rambutan.

Wednesday, July 1, 2015

Zamri Man Dilantik Datuk Bandar Ipoh

Datuk Zamri Man dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh yang baharu menggantikan Datuk Harun Rawi yang bersara mulai 1 Julai 2015.
Zamri, 48, telah memulakan khidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1994 sebagai Penolong Pengarah (Bahagian Personal) di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Beliau berkhidmat di negeri Perak mulai 2000 sebagai Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Kerian dan dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah (CADO) (Pembangunan) di jabatan yang sama pada 2003.
Beliau kemudiannya bertukar sebagai CADO Pengkalan Hulu merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Pengkalan Hulu.pada 2005 hingga 2007.
Pada 2007, beliau dinaikkan pangkat menjadi CADO (Tanah) di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak.
Pada tahun yang sama, beliau dilantik menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sehingga diberi tanggungjawab sebagai Datuk Bandar Ipoh mulai 1 Julai 2015.
Sepanjang hampir lapan tahun di MPM, Zamri berjaya membawa majlis perbandaran itu memenangi pelbagai anugerah, termasuk menjadi pihak berkuasa tempatan ketiga terbaik di Malaysia tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berharap, dengan pengalaman yang ada, Zamri dapat membantu memberi impak lebih mantap kepada pembangunan dan pengurusan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
"Saya harap Datuk Bandar baru ini akan bekerja lebih keras untuk membangunkan Ipoh menjadi bandaraya terbaik di negara ini, dengan sokongan pasukannya," katanya pada sidang media selepas menyerahkan watikah pelantikan kepada Zamri di pejabatnya di Ipoh pada Rabu.
Tugasan pertama yang diberikan Menteri Besar kepada Datuk Bandar Ipoh yang baharu ialah meneliti aduan warga bandaraya mengenai kenaikan cukai taksiran yang dikatakan meningkat sehingga 200 peratus.
Dr Zambry turut merakamkan penghargaan kepada Harun yang telah memberi sumbangan sepanjang khidmatnya selama setahun enam bulan mulai 1 Januari 2014.
Sementara itu, Menteri Besar turut mengumumkan pelantikan Mohamed Nasser Abdul Razak, 45, sebagai Timbalan Pengarah UPEN menggantikan Meor Ismail Meor Akim yang dilantik sebagai Pengarah KPDNKK Perak, baru-baru ini.