a Kerajaan Hargai Pasukan Khas Bongkar Penyelewengan Royalti Balak ~ zambry.my

Tuesday, February 17, 2015

Kerajaan Hargai Pasukan Khas Bongkar Penyelewengan Royalti Balak


Kes penipuan royalti dan ses kayu balak bermutu tinggi di Hulu Perak berjaya dibongkar hasil penubuhan Pasukan Khas antara Jabatan Hutan Perak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri sedang menunggu laporan terperinci dan statistik jumlah kerugian sebenar berhubung kes tersebut yang kelihatan semakin menular sejak akhir-akhir ini.
Menurut beliau, tindakan bersepadu yang diambil Jabatan Perhutanan dan Suruhajaya Pencegahan Jenayah (SPRM) sangat dihargai oleh kerajaan negeri.
"Ia antara lain dapat mengekang sebarang penyalahgunaan lesen balak yang telah dikeluarkan,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan di majlis Executive Talk bersama Penjawat Awam Daerah Manjung di Dewan Merdeka Manjung pada Isnin.
Beliau diminta mengulas lanjut laporan sebuah akhbar tempatan berhubung pembongkaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kegiatan penipuan bayaran royalti dan ses kayu balak bermutu tinggi yang dikeluarkan dari kawasan hutan di daerah Hulu Perak.
Menurut Dr Zambry, isu tersebut perlu ditangani secara menyeluruh bagi mengelakkan berlakunya ketirisan yang tidak diingini.
Katanya lagi, siasatan meliputi kepada bilangan lori yang keluar dan jenis kayu balak yang telah diambil.
''Paling penting bagaimana kita mengatasinya dan kerugian sebenar akan diumumkan kelak oleh pihak Jabatan Perhutanan,'' katanya.
Akhber tersebut melapor bahawa kegiatan penyelewengan itu dikesan menerusi 'Ops Bersepadu' yang dilaksanakan sepasukan 30 pegawai dan anggota SPRM bersama Jabatan Perhutanan dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sekitar Gerik, berhampiran kawasan hutan yang aktif dengan pengeluaran hasil itu di negeri ini, Khamis lalu.

0 comments:

Post a Comment