a Perpindahan Kediaman Rasmi Menteri Besar Untuk Masa Hadapan, Bukan Peribadi ~ zambry.my

Tuesday, February 17, 2015

Perpindahan Kediaman Rasmi Menteri Besar Untuk Masa Hadapan, Bukan Peribadi

Menteri Besar Perak, Datuk Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir berkata cadangan pembinaan Kediaman Rasmi Menteri Besar yang baru, difikirkan perlu, memandangkan lokasi sekarang yang terletak di tengah-tengah pusat bandar Ipoh sudah tidak lagi sesuai.
Menurutnya pembangunan pesat di sekeliling kawasan Kediaman Rasmi Menteri Besar sekarang yang terletak di Jalan Raja DiHilir, telah menimbulkan beberapa isu termasuk faktor keselamatan. Tambah Dr Zambry, meskipun pembangunan sedemikian tidak dapat dielakkan, ianya menjadikan lokasi tersebut tidak lagi sesuai untuk Kediaman Rasmi Menteri Besar.

"Yang paling penting, cadangan perpindahan ini bukan untuk saya, Dr Zambry, tapi untuk Menteri Besar di masa hadapan.

"Kita telah menerima pendapat dan cadangan daripada pelbagai pihak yang bersetuju kedudukan sekarang tidak lagi sesuai. Kita juga telah menerima pandangan daripada pihak keselamatan malah pihak pembangkang.
"Namun kita harus meneliti cadangan-cadangan ini terlebih dahulu agar ianya tidak membebankan kewangan Kerajaan Negeri," katanya.
Malah beliau berkata, Kerajaan Negeri sedang memikirkan jika perlu, untuk menukar (swap) tanah tapak Kediaman Rasmi Menteri Besar sekarang yang seluas 14 ekar, sebagai salah satu cara untuk menampung kos pembiayaan pembangunan Kediaman Rasmi yang baru kelak.
Apabila ditanya mengenai lokasi baru untuk tujuan itu, beliau berkata ianya masih dalam perbincangan.

Menurutnya, pihak Kerajaan Negeri akan melihat semua faktor berkaitan dalam menentukan lokasi yang sesuai untuk tujuan ini terutamanya dari segi keselamatan.
Katanya Kerajaan Negeri masih lagi mempertimbangkan beberapa lokasi yang telah dikenalpasti sebelum ini, termasuk di Meru, Ipoh.

0 comments:

Post a Comment