a February 2015 ~ zambry.my

Tuesday, February 17, 2015

Penjawat Awam Dilarang Dedah Dokumen Rasmi Kerajaan

Penjawat awam di negeri ini diingatkan supaya tidak mendedahkan dokumen rasmi kerajaan dengan orang lain kerana ia merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Menteri Besar, Datuk Seri Sr Zambry Abd Kadir ketika memberi peringatan itu berkata, beliau tidak akan berkompromi dalam hal ini dan sebagai penjawat awam, mereka perlu pertahankan dokumen rahsia rasmi kerajaan.
"Apabila ada dokumen itu mengatakan bahawa rahsia tidak boleh dikongsi, pastikan tuan-tuan dan puan-puan tidak berkongsi dengan orang lain," katanya semasa berucap di Majlis Executive Talk bersama Penjawat Awam Daerah Manjung, di Dewan Merdeka, Manjung pada Isnin.
Beliau juga mengharapkan supaya kakitangan awam bekerja sebagai satu pasukan berlandaskan gagasan yang disediakan.
"Kita telah memulakan tradisi ini bagi kakitangan awam membentuk satu pasukan yang berlandaskan gagasan yang disediakan," katanya.
Menteri Besar juga menarik perhatian mengenai kejayaan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) mendapat pengiktirafan sebagai antara majlis perbandaran terbaik pengurusan dan keselamatan di Malaysia yang harus dijadikan contoh terbaik buat semua kakitangan awam.
Katanya, itu merupakan pengiktirafan dan pencapaian buat kerajaan negeri yang seharusnya dibanggakan.

Kerajaan Hargai Pasukan Khas Bongkar Penyelewengan Royalti Balak


Kes penipuan royalti dan ses kayu balak bermutu tinggi di Hulu Perak berjaya dibongkar hasil penubuhan Pasukan Khas antara Jabatan Hutan Perak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri sedang menunggu laporan terperinci dan statistik jumlah kerugian sebenar berhubung kes tersebut yang kelihatan semakin menular sejak akhir-akhir ini.
Menurut beliau, tindakan bersepadu yang diambil Jabatan Perhutanan dan Suruhajaya Pencegahan Jenayah (SPRM) sangat dihargai oleh kerajaan negeri.
"Ia antara lain dapat mengekang sebarang penyalahgunaan lesen balak yang telah dikeluarkan,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan di majlis Executive Talk bersama Penjawat Awam Daerah Manjung di Dewan Merdeka Manjung pada Isnin.
Beliau diminta mengulas lanjut laporan sebuah akhbar tempatan berhubung pembongkaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kegiatan penipuan bayaran royalti dan ses kayu balak bermutu tinggi yang dikeluarkan dari kawasan hutan di daerah Hulu Perak.
Menurut Dr Zambry, isu tersebut perlu ditangani secara menyeluruh bagi mengelakkan berlakunya ketirisan yang tidak diingini.
Katanya lagi, siasatan meliputi kepada bilangan lori yang keluar dan jenis kayu balak yang telah diambil.
''Paling penting bagaimana kita mengatasinya dan kerugian sebenar akan diumumkan kelak oleh pihak Jabatan Perhutanan,'' katanya.
Akhber tersebut melapor bahawa kegiatan penyelewengan itu dikesan menerusi 'Ops Bersepadu' yang dilaksanakan sepasukan 30 pegawai dan anggota SPRM bersama Jabatan Perhutanan dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sekitar Gerik, berhampiran kawasan hutan yang aktif dengan pengeluaran hasil itu di negeri ini, Khamis lalu.

Lubuk Timah Hotspring Tarikan Terbaharu Pelancongan

Lubuk Timah Hotspring yang terletak di Simpang Pulai, Ipoh, mampu menjadi satu lagi tarikan pelancongan terbaharu di negeri Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kedudukannya yang strategik antara Ipoh dan Cameron Highlands mampu menjadi tumpuan pelancong yang berulang-alik antara kedua-dua tempat itu.
Sehubungan itu, beliau berharap syarikat yang menguruskan pusat rekreasi itu, Pusat Rekreasi Lubuk Timah Sdn Bhd dapat meningkatkan kemudahan yang disediakan, sekaligus menarik lebih ramai pengunjung.
"Bagi masyarakat kota, pusat rekreasi inilah yang menjadi tumpuan keluarga setiap hujung minggu, tambah-tambah lagi apabila pihak pengurusan menyediakan lebih banyak kemudahan seperti chalet, surau dan sebagainya, sudah tentu ia menarik lebih ramai pengunjung, termasuk dari luar Perak," katanya ketika merasmikan pusat rekreasi itu pada Ahad.
Hadir sama Pegawai Daerah Batu Gajah, Tarmidzi Abd Manap, Pengerusi Eksekutif Pusat Rekreasi Lubuk Timah Sdn Bhd, Datuk Wira Mohd Yusoff Kassim dan Pengarah Urusannya, Fadzil Datuk Wira Mohd Yusoff.
Tarmidzi memberitahu, pengurusan pusat peranginan seluas 3.095 hektar itu telah diserahkan kepada syarikat berkenaan pada tahun 2014.
Sementara itu, Mohd Yusoff memberitahu, program pembangunan Lubuk Timah Hotspring akan dilaksanakan dalam empat peringkat yang melibatkan kos antara RM15 juta dan RM20 juta dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
Menurut beliau, melalui pembangunan fasa pertama yang telah dirasmikan itu, pihaknya menyediakan enam chalet berharga antara RM113 dan RM313 semalam di samping kemudahan lain seperti surau, wakaf dan gerai.
Bagaimanapun, kata beliau, apabila siap sepenuhnya kelak, pusat rekreasi itu mungkin mempunyai 100 bilik dari pelbagai kategori termasuk dewan serbaguna, hostel dan bajet chalet berharga antara RM50 dan RM80 semalam.
Mohd Yusoff berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan pihak Felcra untuk menaik taraf jalan masuk sepanjang 800 meter dari jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands ke pusat rekreasi itu.
"Kami berharap pusat rekreasi ini juga dapat dimasukkan ke dalam peta pelancongan negeri Perak bagi menarik lebih ramai pelancong," katanya sambil memberitahu kira-kira 1,300 orang mengunjungi pusat itu pada hari-hari hujung minggu.
Beliau memberitahu, ketika lawatan ke empangan di kawasan itu, Dr Zambry telah meminta pihak Pejabat Daerah menjalankan kerja-kerja baik pulih empangan itu yang telah pecah di kedua-dua bahagian kiri dan kanannya.
Katanya, memandangkan beberapa kemudahan telah dinaiktaraf, pihaknya mengenakan bayaran masuk sebanyak RM3 untuk dewasa dan RM1.50 untuk kanak-kanak dan warga emas.
Mereka yang ingin membuat tempahan boleh melayari facebook PUSAT REKREASI LUBUK TIMAH atau laman sesawang www.pusatrekreasilubuktimah.com untuk keterangan lanjut.

Perpindahan Kediaman Rasmi Menteri Besar Untuk Masa Hadapan, Bukan Peribadi

Menteri Besar Perak, Datuk Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir berkata cadangan pembinaan Kediaman Rasmi Menteri Besar yang baru, difikirkan perlu, memandangkan lokasi sekarang yang terletak di tengah-tengah pusat bandar Ipoh sudah tidak lagi sesuai.
Menurutnya pembangunan pesat di sekeliling kawasan Kediaman Rasmi Menteri Besar sekarang yang terletak di Jalan Raja DiHilir, telah menimbulkan beberapa isu termasuk faktor keselamatan. Tambah Dr Zambry, meskipun pembangunan sedemikian tidak dapat dielakkan, ianya menjadikan lokasi tersebut tidak lagi sesuai untuk Kediaman Rasmi Menteri Besar.

"Yang paling penting, cadangan perpindahan ini bukan untuk saya, Dr Zambry, tapi untuk Menteri Besar di masa hadapan.

"Kita telah menerima pendapat dan cadangan daripada pelbagai pihak yang bersetuju kedudukan sekarang tidak lagi sesuai. Kita juga telah menerima pandangan daripada pihak keselamatan malah pihak pembangkang.
"Namun kita harus meneliti cadangan-cadangan ini terlebih dahulu agar ianya tidak membebankan kewangan Kerajaan Negeri," katanya.
Malah beliau berkata, Kerajaan Negeri sedang memikirkan jika perlu, untuk menukar (swap) tanah tapak Kediaman Rasmi Menteri Besar sekarang yang seluas 14 ekar, sebagai salah satu cara untuk menampung kos pembiayaan pembangunan Kediaman Rasmi yang baru kelak.
Apabila ditanya mengenai lokasi baru untuk tujuan itu, beliau berkata ianya masih dalam perbincangan.

Menurutnya, pihak Kerajaan Negeri akan melihat semua faktor berkaitan dalam menentukan lokasi yang sesuai untuk tujuan ini terutamanya dari segi keselamatan.
Katanya Kerajaan Negeri masih lagi mempertimbangkan beberapa lokasi yang telah dikenalpasti sebelum ini, termasuk di Meru, Ipoh.

Monday, February 9, 2015

Projek Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) Lewat Dari Jadual

Sebentar tadi saya mengadakan lawatan mengejut ke tapak pembinaan Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) 
Saya kecewa kerana kemajuan projek itu lewat daripada jadual. Projek itu yang sepatutnya siap dalam masa terdekat, tetapi hanya 50 peratus siap setakat ini.
Saya telah pun memanggil pihak yang bertanggungjawab iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan pemaju untuk mengetahui permasalahan sebenar berhubung projek tersebut.
Ia merupakan salah satu daripada mercu tanda daripada apa yang telah kita rancang bagi menjadikan negeri Perak sebagai pusat untuk konvensyen pameran yang bersifat kebangsaan dan antarabangsa. Pembinaan itu penting dalam usaha memajukan negeri ini memandangkan ICC nanti mampu menarik minat orang ramai dari serata pelusuk negeri.
Sepatutnya projek ini sudah hampir siap dalam beberapa bulan lagi dan harapan saya supaya ia disiapkan penghujung tahun ini, apabila siap sahaja tentunya negeri Perak akan menjadi lokasi pilihan mana-mana pihak untuk adakan program mereka
Sebab itu saya nyatakan kita panggil pihak pemaju dan MBI untuk duduk berbincang mengenai masalah yang mereka hadapi , kita mahu masalah teknikal melibatkan kedua belah pihak diselesaikan dengan kadar segera.

Kerajaan Jadikan Sektor Penerbangan Sumber Pendapatan

Kerajaan negeri akan terus mempergiatkan usaha untuk menjadikan sektor penerbangan sebagai salah satu sumber pendapatan dan ekonomi negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, antara langkah yang sedang diambil ialah cadangan kerajaan untuk menjadikan Perak sebagai pusat penyelenggaraan, pembaikkan dan baik pulih (MRO) pesawat.
Selain itu, katanya, kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan pusat simulasi penerbangan di negeri ini
"Perancangan ini tidak hanya tertakluk kepada industri pelancongan semata-mata tetapi satu lagi aspek termasuk perbincangan awal sebagai pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih dan latihan simulasi penerbangan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perjanjian persefahaman antara Harmony Harvest Investment Holdings Ltd. dari China dengan sebuah syarikat penerbangan baharu dari Perak, Kestrel Air di Hotel Syuen, Ipoh pada Isnin.
Dr Zambry berkata, perancangan awal berhubung kedua cadangan itu telah dilaksanakan dan kerajaan negeri sentiasa mengkaji peluang dan ruang untuk melaksanakannya mengikut kaedah tersebut kelak.
Mengenai usahasama itu, katanya, ia mampu menarik lebih ramai pelancong dari China, Macau dan Hong Kong ke Perak dalam jangka masa terdekat.
Menurut beliau, kerjasama dengan syarikat China itu bakal merancakkan sektor penerbangan di peringkat Asia Pasifik melibatkan 36 pesawat jenis gabungan antara Airbus, Boeing A320 dan B737.
Dr Zambry berkata, kerajaan negeri telah mengunakan strategi untuk membawa pelancong melalui jalan udara dengan menggunakan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah," katanya.
"Kapal terbang jenis Airbus 319 sesuai dengan kapasiti lapangan terbang sedia ada di Ipoh," katanya.
Setakat ini tiga buah syarikat penerbangan iaitu Firefly, Malindo Air dan New Wings (Sriwijaya) kini menawarkan khidmat penerbangan melalui Ipoh ke destinasi terpilih.
KestrelAir dijangka membuat penerbangan dari Ipoh ke Hong Kong, Ipoh-Guangzhou-Ipoh, Ipoh–Shanghai –Ipoh dan beberapa laluan yang dibenarkan kelak.

Saturday, February 7, 2015

Kerugian Akibat Banjir Di Perak Lebih RM379 Juta

Keseluruhan kerosakan infrastruktur dan aset awam akibat bencana banjir di negeri Perak setakat ini berjumlah RM379,536,960.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri telah membuat penilaian terhadap jumlah kerosakan bagi infrastruktur dan aset awam yang menjangkau sebanyak RM269,517,204.
Menurut beliau, kerosakan rumah dan eset persendirian adalah sebanyak RM63,335,304 manakala kehilangan pendapatan pula sebanyak RM46,648,452.
"Ini bermakna keseluruhan kerosakkan akibat bencana banjir di Perak adalah berjumlah RM379,536,960," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan ehsan RM1,000 kepada setiap 515 keluarga mangsa banjir Daerah Kuala Kangsar dan Daerah Kecil Sungai Siput (U) di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar pada Sabtu.
Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khai-ril Anuar Wan Ahmad, ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman dan ADuN Manong, Mohamed Kamil Shafie.
Dr Zambry berkata, nilai keseluruhan kerosakan rumah akibat bencana itu setakat ini berjumlah RM11,651,991.
Katanya, ia melibatkan 94 rumah di Daerah Kuala Kangsar, 20 rumah di Daerah Hulu Perak, 3,453 rumah di Daerah Perak Tengah dan 22 rumah di Daerah Hilir Perak.
Mengenai bantuan ehsan, Dr Zambry berharap, penerima bantuan yang belum menerima bantuan itu supaya bersabar kerana kerajaan sedang berusaha bagi mempercepatkan proses pemberian bantuan tersebut.
Menurutnya, berlaku sedikit masalah teknikal, umpamanya dari segi alamat yang digunakan di mana terdapat kampung-kampung tertentu menggunakan alamat satu tempat sedangkan rumah itu rumah yang berlainan kerana tidak ada nombor rumah serta rumah di sepanjang sungai yang tidak didaftar.

Tiada Tolak Ansur Guna Nama Menteri Besar

Kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak dan individu, termasuk kakitangan pejabat Menteri Besar dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang terbabit menyalahgunakan nama Menteri Besar untuk tujuan menipu dan memanipulasi melalui kutipan wang atau dana.

Tindakan individu dan pihak-pihak yang menjual nama MB untuk tujuan menipu, boleh merosakkan imej kerajaan negeri.
Kerajaan negeri mendapat laporan pihak-pihak yang menggunakan modes operandi itu untuk memperdaya orang ramai kononnya mereka boleh menjadi penghubung kepada pihak Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) bagi mendapatkan sesuatu.
Saya tidak akan bertolak ansur dalam perkara ini, walaupun mereka daripada kakitangan pejabat Menteri Besar dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Sedih kerana masih ada di kalangan orang ramai yang percaya seolah-olah kerajaan negeri bergerak menggunakan orang-orang tertentu untuk mengutip wang dari kalangan orang tertentu sedangkan perkara itu tidak benar.
Sehubangan itu, saya menyeru orang ramai yang didatangi oleh individu ini agar membuat semakan terlebih dahulu di Pejabat Menteri Besar atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan pentadbiran, bagi kesahihan dokumen, fail, surat atau apa-apa maklumat yang dikemukakan.

Monday, February 2, 2015

BN Perak Buat Semakan Hadapi PRU14

Barisan Nasional (BN) Negeri Perak mengadakan perbincangan dalam bentuk retreate bagi membincangkan perkara-perkara yang berkiatan dengan pengukuhan perancangan program dan persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14)
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perbincangan hari ini hanya melibatkan pimpinan utama parti komponen yang dihadiri oleh pengerusi komponen bersama-sama ketua sayap peringkat negeri.
Menurut beliau, tujuan utama sesi perbincangan gerak kerja itu adalah untuk membuat semakan mengenai perancangan yang perlu BN lakukan dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi kedudukan, memperbaiki kelemahan serta kekurangan dan merancang ke hadapan.
"Kita juga melihat tentang perkara-perkara yang pelu kita bekerjasama dan juga mendengar sebarang permasalahan, sekiranya ada, bagi kita menyelesaikan perkara-perkara tersebut," katanya kepada pemberita di Wisma UMNO Perak di Ipoh pada Sabtu.
Dr Zambry berkata, perbincangan tertutup itu telah membincangkan beberapa perkara yang berkaitan dengan kedudukan parti masing-masing dan perberbicangan diadakan secara terbuka, dari hati ke hati atas semangat BN.
"Semangat inilah yang sebenarnya telah memberikan ransangan untuk pihak kami semua melakukan yang terbaik untuk rakyat negeri Perak kita," ujar beliau.
Beliau memberitahu, perbincangan telah dengar pembentangan daripada setiap parti, usaha-usaha mereka bagi memperkemaskan lagi perancangan yang perlu dilakukan di peringkat parti dan juga di peringkat kawasan.
Ditanya mengenai isu yang berlaku di dalam pucuk pimpinan MIC, beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata, perbincangan lebih menekankan lebih kepada aspek perancangan di peringkat negeri dan bukan hanya melibatkan MIC sahaja, tetapi juga semua parti.
"Bila kita merancang untuk BN Perak, ia melibatkan semua komponen parti dalam BN dan tidak tertumpu kepada satu-satu parti.
"Setiap parti mempunyai kelebihan dan kekurangan dan juga peluang-peluang yang perlu digarap, jadi setiap kelemahan itu diperincikan serta dicari jalan penyelesaiannya dan dalam hal ini, ia tidak hanya mengkhususkan kepada MIC semata-mata," tambah beliau.
Dr Zambry berkata, dalam soal itu tidak ada kelemahan-kelemahan utama tetapi mereka melihat secara keseluruhannya, baik daripada sudut demografi politik, perkhidmatan dan juga bagaimana ia perlu diperbaiki.
"Kita perlu perbaiki dan menambah lagi perkhidmatan yang sedia ada, sebab kita tidak boleh berdiri pada kedudukan yang sama, kita perlu merancang dan merencanakan dengan lebih baik bagi mencapai kejayaan yang lebih baik pada pilhan raya umum akan datang," kata beliau.