a January 2016 ~ zambry.my

Tuesday, January 26, 2016

Perak Cadang Kawasan NCER Diperluas

Perak mahu Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memperluaskan kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata cadangan tersebut telah dikemukakan semasa mesyuarat NCIA ke-15 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pada Khamis.

"Perak telah mengemukakan cadangan itu supaya pihak berkenaan dapat memikirkan bagi perluasan kawasan NCER dari Manjung sehingga ke kawasan lain khususnya di Hilir Perak.

"Perdana Menteri akan melihat cadangan ini dari segi analisis manfaat kos yang dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE)," katanya kepada pemberita selepas melakukan upacara pecah tanah projek pembinaan dewan tertutup Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai mesyuarat semalam, Zambry berkata kerajaan negeri memeterai beberapa perjanjian dengan NCIA antaranya berhubung pengumpulan durian dan hasil durian di sekitar daerah Larut Matang dan Selama, serta kawasan Bukit Gantang.

"Hasil berkenaan dapat digunakan untuk tujuan eksport, seperti diproses menjadi produk makanan berasaskan durian misalnya aiskrim, kek durian dan lain-lain.

"Ia telah mendapat tempahan dan permintaan yang mengalakkan di luar negara dengan dikendalikan oleh Syarikat Duria Manufacturing Sdn Bhd," katanya.

Berhubung pembinaan dewan tertutup sekolah berkenaan, Zambry berharap projek itu dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan bagi mengelak kos tambahan.

"Kita memperuntukkan sebanyak RM2.9 juta bagi membina dewan ini dan berdasarkan anggaran kita, kos yang disediakan telah mencukupi," katanya.

Pada majlis tersebut, Zambry turut mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi pembinaan sebuah surau terbuka berhampiran jeti sekitar TDLM untuk memudahkan anggota pasukan pertahanan itu menunaikan ibadat. - Bernama

Kes Penyelewengan Tanah Dikesan Di Perak

 "Beberapa kes penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah melibatkan tanah pertanian serta tanah lot bagi urusan pindah milik dikesan berlaku di Perak," kata Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Menyedari perkara itu, Zambry memberi amaran pihaknya akan memperketat pemantauan di semua pejabat kerajaan khususnya pejabat tanah dan daerah bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku.

"Apabila kerajaan negeri mahu menjalankan proses pemutihan di sesuatu kawasan atau 'membenarkan' sesuatu kawasan (diduduki), kita mahu penduduk yang telah lama menetap di situ mendapat keadilan.

"Tetapi...ada kawasan yang diberikan kepada orang yang bukan berada di kawasan itu dan mereka yang tinggal di sana tidak diberikan hak mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di sini hari ini.

Zambry memberi amaran pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas kakitangan kerajaan negeri atau mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam penyelewengan itu.

Menjelas lanjut, Zambry berkata kerajaan negeri melalui satu unit khas sedang menjalankan proses siasatan berhubungan isu terbabit dan ia dijangka siap tidak lama lagi.

"Kami telah melaksanakan proses siasatan.  Kami mempunyai unit khas sendiri yang turut melibatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Kita tidak boleh membiarkan perkara-perkara melibatkan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah dalam hal yang sebegini," katanya. - Bernama

Pertabalan 'Maharaja Kinta' Mengarut

Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir hari ini menyifatkan pertabalan seorang individu sebagai 'Maharaja Kinta' pada November lepas sebagai mengarut.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pingat atau darjah kebesaran oleh individu tidak bertanggungjawab dan tidak diiktiraf kerajaan.  

"Ini semua mengarut, di Perak cukup jelas, sistem di Perak hanya ada satu (Sultan) sahaja," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini.  

Ahad lepas, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai seorang individu yang ditabalkan sebagai 'Maharaja Kinta' dengan menggunakan gelaran 'Yang Mulia Datuk Seri Paduka Diraja' dalam satu majlis di Selangor hujung tahun lalu.

Upacara pertabalan mirip istiadat pertabalan raja-raja seperti istiadat bersiram serta istiadat penganugerahan darjah dan pingat yang membawa gelaran 'Datuk Seri' dan 'Datuk'.

Zambry berkata isu penganugerahan pingat dan darjah kebesaran oleh pihak tidak bertanggungjawab itu perlu segera ditangani oleh kerajaan Persekutuan sebelum ia menjadi lebih serius.

"Sebelum ini kita dengar macam-macam pingat yang dikeluarkan sama ada dari dalam negara atau luar negara dan ini memerlukan tindakan penguatkuasaan melalui peruntukan undang-undang," katanya.

Zambry berkata pihaknya pernah merujuk perkara tersebut kepada pihak Peguam Negara untuk tindakan lanjut terutama dari aspek undang-undang.

"Perkara ini melibatkan Perlembagaan, jadi saya mengharapkan pihak kerajaan Persekutuan dapat menyegerakannya kerana kalau tidak sesiapa sahaja boleh mengeluarkan sebarang bentuk pingat yang bermacam-macam gelaran ini," katanya.

Pada 14 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pindaan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414) akan dibentang pada persidangan Dewan Rakyat, Mac ini, setelah rang undang-undang berkenaan dikemukakan semula kepada Majlis Raja-Raja untuk persetujuan serta diluluskan Kabinet. - Bernama

Friday, January 8, 2016

MH Pinnacle Mercu Tanda Baru Ipoh

Sebanyak RM220 juta diperuntukkan bagi pembinaan projek berskala besar,  MH Pinnacle yang dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung 2018.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, MH Pinnacle merupakan bangunan  merangkumi pejabat, unit kediaman dan pusat membeli-belah.

Menurutnya, pembangunan MH Pinnacle yang akan menjadi bangunan tertinggi di Perak iaitu 49.5 meter, menjadi satu lagi projek mercu tanda untuk bandar raya Ipoh yang sebelum ini hanya dikenali sebagai pekan mati selepas waktu malam.

“Pembangunan berskala besar ini juga hasil daripada kerjasama pelbagai pihak termasuk sektor kerajaan dan swasta,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah MH Pinnacle di Jalan Medan Ipoh 3, semalam.

MH Pinnacle merupakan projek pembangunan  dimajukan Birchwood Sdn Bhd dan dimiliki sepenuhnya MH Avenue (MHAV) iaitu syarikat usahasama antara Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan Man Hoe Holdings.

Zambry berkata, selain MH Pinnacle, lebih 20 projek berskala besar yang lain juga  dalam proses pembinaan di bawah pemantauan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Ketika ini, ada lebih 20 projek berskala besar yang sedang dibina di bandar raya ini dan akan ada lebih lagi kelak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminuddin Hashim  berkata, MH Pinnacle merangkumi dua blok bangunan setinggi 29 tingkat dan menempatkan 72 unit bilik hotel serta 27 unit kediaman.

Katanya, blok kedua MH Pinnacle pula akan menempatkan 146 unit kediaman dengan menyasarkan golongan  berpendapatan tinggi, sederhana tinggi dan mereka yang mementingkan gaya hidup terkini.

“Pusat membeli-belah yang dikenali sebagai Pinnacle Mall juga akan dibina dan bakal menempatkan 36 unit ruangan membeli belah (SOVO) termasuk pusat makanan ikonik atau Perak Signature Food Outlet,” katanya

Thursday, January 7, 2016

Pemaju Diminta Ambil Kira Faktor Jalan

Pemaju perumahan di kawasan baharu di sini diminta menitik beratkan faktor keluasan jalan sebelum membuat sebarang projek pembangunan, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata perkara berkenaan penting bagi mengelak masalah kesesakan trafik di bandar raya itu bertambah teruk.

"Sekarang masalah baharu yang perlu diatasi adalah kesesakan di Ipoh akibat pertambahan kenderaan khususnya semasa cuti hujung minggu atau ketika cuti sekolah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek Mh Pinnacle di sini hari ini.

Zambry berharap pemaju dapat berbincang dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebelum membangunkan sesuatu projek selain mencari pendekatan terbaik bagi mengatasi kesesakan trafik.

"Bagi pembangunan baharu misalnya di tepi lebuh raya, kita minta pemaju lihat bagaimana kereta boleh terus masuk ke kawasan itu dengan membina susur jalan tanpa perlu memasuki kawasan bandar," katanya.  

Menjelas lanjut Zambry berkata, pihaknya telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang antara lain dianggotai Datuk Bandar MBI Datuk Zamri Man dan Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong bagi meneliti masalah itu.

Menurut Zambry, Keretapi Tanah Melayu Bhd juga telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri beberapa bulan lalu bagi kemungkinan menyediakan perkhidmatan untuk perjalanan jarak dekat di Ipoh.

Tuesday, January 5, 2016

Pesta Makanan Tradisi Lenggong Jadi Program Antarabangsa 2016

Pesta Makanan Tradisional Lenggong akan diangkat menjadi festival bertaraf dunia mulai tahun hadapan dalam usaha kerajaan negeri mengantarabangsakan daerah itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, festival yang semakin mendapat tempat di Perak itu wajar diberi peniktirafan dunia kerana keaslian dan tarikannya yang begitu unik dari segi sektor pelancongan.
“Daerah kecil Lenggong ini mempunyai banyak makanan-makanan tradisioal yang unik dan kita harapkan pendekatan kita ambil ini bukan sahaja akan mengantarabangsakan dari segi makanan tetapi turut menjadi pusat festival antarabangsa.
“Kita akan mulakan pra pelancarannya di Kuala Lumpur pada tahun hadapan dan selepas itu kita adakan pra pelancaran kedua di Singapura bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke festival ini nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pesta sehari itu di Lenggong pada Khamis.
Katanya, Kementerian Pelancongan telah pun memberi persetujuan dengan hasrat tersebut dan melihat ianya boleh menjadi acara tarikkan utama di negara ini.
“Menteri Pelancongan telah pun mengatakan persetujuan beliau dan kami mengucapkan terima kasih kepada menteri yang melihat idea ini sebagai salah stu idea yang boleh digunakan untuk menjadi antara acara tarikkan utama,” ujarnya lagi.
Selain itu, Dr Zambry memberitahu, langkah itu merupakan antara tiga langkah yang telah dikenal pasti oleh kerajaan negeri dalam mengatarabangsakan Daerah Kecil Lenggong.
Jelas beliau, antara langkah lain yang telah dikenal pasti ialah menganjurkan seminar bertaraf antarabangsa berkaitan arkeologi Lenggong dan menjadikan Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Lenggong sebagai pusat kajian besar mengenai kebaikan herba dan tanaman tumbuhan di daerah itu.
“Seminar itu akan dapat mengumpul pakar-pakar dunia di Lenggong ini bagi membincangkan mengenai arkeologi di peringkat Asia atau Asia Tenggara. Kita akan gunakan pendekatan melibatkan masyarakat di mana menyediakan “Homestay” sebagai penempatan wakil-wakil tersebut.
“Pusat kajian itu pula, ianya sekaligus akan mengalakkan penduduk tempatan untuk menanam pokok-pokok atau tumbuhan yang mempunyai ramuan besar dari segi nilai-nilai perubatan yang sekarang ini menjadi perhatian dunia,” jelasnya
Sepanjang pesta itu sebanyak 25 jenis masakan tradisional Lenggong, 300 jenis sambal belacan dan lebih 30,000 kuih muih daripada 15 jenis disediakan untuk dijamah kepada orang ramai.
Pesta itu yang masuk tahun kelima penganjurannya itu ternyata mendapat sambutan hangat oleh penduduk setempat di mana lebih 5,000 telah membanjiri Dataran Lenggong sejak awal pagi bagi menikmati aneka masakan dan makanan yang disediakan.

Sifat Amanah Penentu Kesejahteraan Ummah - Sultan Nazrin

Sifat amanah penentu kepada kesejahteraan sesuatu ummah dan kemakmuran sesebuah negara.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, perbuatan pecah amanah boleh mencetuskan kerosakan dalaman yang boleh melemahkan sesuatu pemerintahan lalu memudahkan kerja-kerja musuh dari luar.
Titah baginda, amanah bererti boleh dipercayai, jika sesuatu urusan dipertanggungjawabkan, urusan tersebut wajib dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
"Sifat benar dan sifat amanah berperanan utama dalam kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alai Wassallam," titah baginda ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Ipoh pada Khamis.
Sultan Nazrin bertitah, jika urus tadbir dilaksanakan dengan berpaksikan kejujuran serta keikhlasan dan setiap khazanah dikendalikan secara amanah serta telus, ummah dan para ulama akan terus berbahagia.
Titah baginda lagi, sifat amanah dan benar juga merupakan paksi utama mempastikan para pemimpin berupaya menunaikan tanggungjawab dengan jujur, ikhlas, adil dan saksama.
"Baginda (Nabi Muhammad S.AW) telah dipertanggungjawabkan dengan amanah dan berjaya menyempurnakan amanah dengan memiliki kekuatan dalaman, iman yang tidak tergoncang ketika menghadapi ujian; baik yang berbentuk ugutan ke atas nyawa Baginda.
"Begitu juga yang berbentuk imbuhan berbentuk tawaran pangkat, jawatan, kekayaan dan wanita cantik.
"Baginda adalah contoh kepimpinan yang berpegang teguh kepada prinsip kebenaran dan amanah," titah baginda.

Azlan Misron, Sin Li Jane Olahragawan, Olahragawati Perak

Bekas pemain hoki kebangsaan, Azlan Misron dan pemain boling negara, Sin Li Jane dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati 2013/2014 Perak.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan anugerah itu kepada kedua-dua tokoh tersebut dalam Majlis Anugerah Sukan Perak yang diadakan pada Selasa malam di Hotel Casuarina @ Meru.
Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat pada majlis itu.
Antara kejayaan yang pernah dicapai oleh Azlan ialah memenangi pingat emas dalam Sukan Sea 2013 di Myanmar, pingat gangsa di Kejohanan Hoki Liga Dunia 2013 di Johor serta pingat gangsa di Kejohanan Hoki Trofi Juara-juara Asia 2013 di Jepun.
Azlan yang ditemui ternyata bangga dan terharu dengan penghargaan yang telah diberikan oleh kerajaan negeri kepadanya selaku atlit berpasukan.
"Syukur dengan penghargaan yang diberikan ini, saya memang tidak menyangka akan menerima anugerah ini selaku atlit berpasukan. Ini amat bermakna kepada saya kerana sebagai seorang atlit memang saya dahagakan pencapaian individu.
"Ini akan membuat saya lebih bersemangat untuk terus berbakti kepada negeri walaupun saya telah bersara dari pasukan kebangsaan.
"Mungkin saya akan berikan khidmat saya dalam bentuk jurulatih atau sebagainya kepada negeri ini pula," ujarnya.
Bagi Sin pula, antara kejayaan yang pernah dicapainya ialah memenangi satu pingat gangsa dalam Kejohanan Dunia Tenpin Boling 2013 di Amerika Syarikat, dua pingat perak pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea dan satu pingat perak pada 50th Qubica AMF World Cup 2014.
Beliau memberitahu, anugerah itu akan dijadikan pembakar semangat untuk mengharungi kejuaraan asia di Kuwait pada 2016 dan Seagames di Malaysia pada 2017.
"Saya amat-amat gembira dan berterima kasih kerana dipilih menjadi olahragawati Perak. Ia sudah tentu akan beri semangat yang tinggi untuk saya berlatih lebih gigih untuk kejohanan-kejohanan yang akan datang," katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta isteri, Datin Seri Saripah Zulkefli dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahaya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola majlis tersebut.
Untuk anugerah khas pencapaian gemilang tahun 2013/2014 pula, ia diberikan kepada penerjun elit negara, Leong Mun Yee.
Mun Yee pernah mendapat tempat keempat dalam Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, satu pingat gangsa acara 10m synchro pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea serta satu pingat gangsa dalam Fina Diving World Cup 2014 di Beijing, China.
Low Khai Jee dari acara golf memenangi anugerah Olahragawan Harapan sementara Nor Nabila Natasha Mohd Nazri dari acara kapal layar memenangi anugerah Olahragawati Harapan.
Bagi anugerah keluarga sukan 2013/2014, ia diberikan kepada keluarga Sin Yew Kheong kerana memberi sokongan padu pada keluarganya untuk menceburi bidang sukan.
Ini terbukti dengan penglibatan isteri beliau, Ho Chee Ling yang merupakan bekas atlet bola tampar negeri Perak, manakala semua anak mereka Sin Ken Mun, Sin Kar Mun dan Sin Li Jane merupakan atlet negeri Perak dalam sukan tenpin boling.
Bagi anugerah pasukan terbaik 2013/2014, ia dimenangi oleh pasukan hoki Piala Tun Abdul Razak 2014 apabila menjadi johan pada Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak 2013 dan 2014.
Sementara itu, anugerah kepimpinan sukan telah diberikan kepada Datuk Abd Rahim Md Arif selaku Presiden Hoki Negeri Perak dan Anugerah Jurulatih Terbaik diberikan kepada Phuah Lai Hock selaku jurulatih Bola Baling.

Vape: Perak Serah Pada Persekutuan

Kerajaan negeri Perak mengambil pendirian menyerahkan keputusan penegasan bagi status penggunaan vape di negeri ini kepada kerajaan Persekutuan secara keseluruhan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebarang kata putus daripada pihak kerajaan Persekutuan akan digunapakai bagi penguatkuasaan penggunaan vape yang semakin mendapat perhatian di beberapa negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mengambil kira laporan rasmi serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Mufti Perak sendiri, Tan Sri Harussani Zakaria berhubung alatan wap air yang semakin menjadi trend tersebut.
“Apa yang kita lihat sekarang ini ialah isu vape menjadi kontroversi pelbagai pihak berikutan faktor sesetengah pihak yang mempunyai pendapat berbeza dari sudut kesihatan, ekonomi dan sebagainya.
“Justeru itu, saya menyeru kepada kerajaan Persekutuan untuk meletakkan peraturan ke atas perihal seperti vape, rokok dan lain-lain dan mengemukakan keputusan secara rasmi agar ianya boleh diselaraskan ke atas semua negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Tandatangan Perjanjian Persefahaman di antara Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNPk) dan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.
Dr Zambry berkata, terdapat banyak pihak yang cuba menimbulkan spekulasi sehingga melahirkan pandangan berbeza, seterusnya mengakibatkan perbahasan tidak bermanfaat di kalangan masyarakat.
Katanya, adalah lebih efisien sekiranya satu polisi dan keputusan jelas dilaksanakan segera agar pihaknya tidak mengambil pandangan pelbagai pihak yang berbeza serta disifatkan tidak adil.
“Saya percaya kepakaran dalam menentukan status penggunaan vape ini terletak di pihak kerajaan Persekutuan dan Perak akan menerima pakai semua keputusan yang diberikan kelak,” katanya lagi.