a Perak Komited Merealisasikan CFS ~ zambry.my

Wednesday, September 23, 2015

Perak Komited Merealisasikan CFS

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi jaminan bahawa kerajaan negeri amat komited untuk merealisasikan projek Central Forest Spine (CFS) di Gerik.
Menurut beliau, sebagai buktinya, seluas 18,866 hektar kawasan tanah kerajaan telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Amanjaya pada 9 Mei 2013.
Katanya, Hutan Simpan Amanjaya itu terletak di kiri dan kanan Lebuhraya Timur-Barat Gerak termasuklah kawasan Pembangunan Koridor Ekologi .
"Central Forest Spine adalah satu projek penting dan strategik, ia bukan sahaja satu platform untuk mewujudkan koridor ekologi untuk pergerakan mamalia besar malah berfungsi sebagai pemangkin bagi melindungi biodiversiti," katanya.
Dr Zambry berkata demikian semasa berucap di majlis perasmian Viaduct Koridor Ekologi CFS Hutan Amanjaya dan Tapak projek Tropical Rainforest Living Collection Banun (TRLC-Banun) di Hutan Simpan Amanjaya KM147, Lebuhraya Timur Barat, Gerik pada Selasa.
Katanya, pelaksanaan projek CFS itu amat penting untuk menonjolkan usaha kerajaan dalam memelihara hutan demi kepentingan rakyat dan alam sekitar.
Beliau berkata, bagi tujuan menghutankan semula kawasan itu, kerajaan negeri Perak telah menandatangani perjanjian dengan The Tropical Rainforest Conservation &Research Center Berhad di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri , Gerik semalam.
Katanya, majlis itu telah disempurnakan oleh Tun Jeanne Abdullah sebagai Penasihat Tropical Rainforest Conservation and Research Centre bagi pengoperasian Projek TRLC-Banun selama 30 tahun yang meliputi kawasan seluas 500 hektar.
Dr Zambry berkata, itu merupakan satu usaha kreatif bagi memelihara, memulihara dan menanam semula kawasan CFS dengan pelbagai spesies pokok.
"Projek ini juga menggalakkan penyelidikan saintifik serta program pendidikan alam sekitar serta dapat dijadikan tarikan pelancongan secara amnya," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment