a PIDD Jadi Mercu Tanda Dialog Antarabangsa – Dr Zambry ~ zambry.my

Tuesday, September 8, 2015

PIDD Jadi Mercu Tanda Dialog Antarabangsa – Dr Zambry

Pangkor International Development Dialogue (PIDD) diyakini akan menjadi mercu tanda kepada dialog-dialog yang diadakan di serata dunia pada suatu hari nanti.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, matlamat itu akan tercapai dengan syarat ia memerlukan kesungguhan dan komitmen serta usaha yang konsistan daripada semua pihak.
“Harapan kita PIDD akan menjadi pusat pertemuan pemimpin di peringkat antarabangsa, khususnya melibatkan negara-negara membangun, negara Asia dan sekitar rantau Asean,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pra-Pelancaran dan sidang media PIDD 2015 di Pusat Konvensyen Perak Amanjaya, Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh pada Isnin.
Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr. Mazlan Kamis. Dr Zambry berkata, dalam konteks Perak, kerajaan negeri akan menjadikan negeri ini sebagai tapak untuk perbincangan di peringkat antarabangsa dan dunia berhubung pembangunan.
Beliau menambah, ini kerana pembangunan merupakan satu bidang yang tidak akan terhenti pada bila-bila masa dan golongan pemikir serta intelektual akan sentiasa memberikan idea-idea baru untuk mengubah dan memperbaiki kehidupan masyarakat dunia.
“Lantaran itu, kita melihat salah satu daripada bidang yang boleh kita kemukakan, cetuskan dalam bidang pembangunan dengan mengadakan seminar seperti ini.
“Paling penting dari segi ekonomi, kita akan melihat kehadiran lebih ramai peserta dan dengan sendirinya segi ekonomi termasuk sektor industri, perhotelan dan sebagainya akan berkembang,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Mazlan pula berkata, PIDD 2015 akan berlangsung selama tiga hari di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh pada 19 - 21 Oktober ini dengan menjemput beberapa tokoh dan intektual ternama dunia.
Beliau memberitahu, antara tokoh itu ialah Speaker dan Pengarang berhubung dasar kepimpinan Inovatif, Dr. Tommy Weir dan Profesor Matt R. Andrews dari Harvard Kennedy School dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abd Wahid Omar.
Menurutnya, IDR mensasarkan 600 peserta akan menghadiri dialog itu yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak manakala penutupnya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

0 comments:

Post a Comment