a Kerajaan Perak Rakam Takziah Kepada Keluarga Rusiah ~ zambry.my

Wednesday, September 23, 2015

Kerajaan Perak Rakam Takziah Kepada Keluarga Rusiah

Kerajaan negeri Perak merakamkan takziah kepada keluarga jemaah Haji Malaysia, Allahyarhamah Rusiah Suar, 56, yang terkorban di kota suci Makkah akibat kejadian kren tumbang Jumaat lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri melahirkan rasa simpati dan sedih kepada keluarga allahyarhamah berhubung insiden itu.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga sedang menimbang untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka.
“Kita melahirkan simpati dan sedih kepada keluarga Puan Rusiah Suar dari Felda Gunung Besout 2, Sungkai dan kerajan negeri juga sedang menimbangkan untuk memberikan bantuan kepada keluarga mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jasamu Dikenang di Hotel Riverfront, Ipoh pada Isnin.
Menurut Dr Zambry, beliau juga telah mengarahkan Exco Pembangunan Wanita, yang juga ADUN Behrang, Datuk Rusnah Kassim bagi mewakili kerajaan negeri dan ADUN Slim, Datuk Khusairi Talib supaya menziarahi keluarga mangsa.
Beliau diminta mengulas insiden kren tumbang di Kota Suci Makkah Jumaat lalu yang mengorbankan 107 jemaah haji dari beberapa negara, termasuk Allahyarhamah Rusiah.
Terdahulu pada majlis itu Dr Zambry telah menyampaikan sijil penghargaan dan sijil amanah saham Bank Simpanan Nasional bernilai RM2,000 kepada 275 pesara pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.

0 comments:

Post a Comment