a September 2015 ~ zambry.my

Wednesday, September 23, 2015

Perak Komited Merealisasikan CFS

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi jaminan bahawa kerajaan negeri amat komited untuk merealisasikan projek Central Forest Spine (CFS) di Gerik.
Menurut beliau, sebagai buktinya, seluas 18,866 hektar kawasan tanah kerajaan telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Amanjaya pada 9 Mei 2013.
Katanya, Hutan Simpan Amanjaya itu terletak di kiri dan kanan Lebuhraya Timur-Barat Gerak termasuklah kawasan Pembangunan Koridor Ekologi .
"Central Forest Spine adalah satu projek penting dan strategik, ia bukan sahaja satu platform untuk mewujudkan koridor ekologi untuk pergerakan mamalia besar malah berfungsi sebagai pemangkin bagi melindungi biodiversiti," katanya.
Dr Zambry berkata demikian semasa berucap di majlis perasmian Viaduct Koridor Ekologi CFS Hutan Amanjaya dan Tapak projek Tropical Rainforest Living Collection Banun (TRLC-Banun) di Hutan Simpan Amanjaya KM147, Lebuhraya Timur Barat, Gerik pada Selasa.
Katanya, pelaksanaan projek CFS itu amat penting untuk menonjolkan usaha kerajaan dalam memelihara hutan demi kepentingan rakyat dan alam sekitar.
Beliau berkata, bagi tujuan menghutankan semula kawasan itu, kerajaan negeri Perak telah menandatangani perjanjian dengan The Tropical Rainforest Conservation &Research Center Berhad di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri , Gerik semalam.
Katanya, majlis itu telah disempurnakan oleh Tun Jeanne Abdullah sebagai Penasihat Tropical Rainforest Conservation and Research Centre bagi pengoperasian Projek TRLC-Banun selama 30 tahun yang meliputi kawasan seluas 500 hektar.
Dr Zambry berkata, itu merupakan satu usaha kreatif bagi memelihara, memulihara dan menanam semula kawasan CFS dengan pelbagai spesies pokok.
"Projek ini juga menggalakkan penyelidikan saintifik serta program pendidikan alam sekitar serta dapat dijadikan tarikan pelancongan secara amnya," ujarnya.

Sultan Nazrin Berkenan Rasmi Viaduct CFS Hutan Simpan Amanjaya

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli merasmikan Viaduct Koridor Ekologi Central Forest Spine (CFS) Hutan Simpan Amanjaya dan Tapak Projek Tropical Rainforest Living Collection Banun (TRLC-Banun), Gerik pada Selasa.
Hadir sama pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hanim Samuri, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Jeanne Abdullah.
Menurut Ir Hanim, pembinaan jambatan vinduct di Gerik merupakan contoh pertama kejayaan pelaksanan Pelan Induk Koridor Central Forest Spine (CFS).
Katanya, jambatan bernilai RM25.9 juta itu menyediakan laluan khusus buat haiwan yang pertama dibina di Malaysia dalam rangkaian CFS tersebut.
Beliau berkata, CFS telah mengenal pasti 36 jambatan seumpama itu yang akan dibina bagi memulihara alam sekitar dalam konteks CFS.
"Bagaimanapun ia bergantung kepada peruntukan yang diperolehi oleh pihak kerajaan dan pihak kementerian sentiasa meletakkan projek ini antara program utama bagi memulihara alam dalam konteks CFS," katanya kepada pemberita di majlis itu.
Beliau memuji kerajaan negeri Perak kerana mengambil insiatif melaksanakan projek pemuliharaan hutan.
Menurut Ir Hanim, pembinaan viaduct merupakan salah satu tindakan menyediakan ruang supaya hidupan liar terutamanya mamalia besar seperti gajah, seladang, harimau dan sebagainya dapat melentasi jalan raya dengan selamat.
Menurutnya, CFS menerusi pelan induk rangkaian dalam koridor ekologi hutan telah mengenal pasti 17 rangkaian primer dan 20 rangkaian sekunder melibatkan 8 negeri iaitu Perak, Kedah, Pahang, Johor, kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.

Kerajaan Perak Rakam Takziah Kepada Keluarga Rusiah

Kerajaan negeri Perak merakamkan takziah kepada keluarga jemaah Haji Malaysia, Allahyarhamah Rusiah Suar, 56, yang terkorban di kota suci Makkah akibat kejadian kren tumbang Jumaat lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri melahirkan rasa simpati dan sedih kepada keluarga allahyarhamah berhubung insiden itu.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga sedang menimbang untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka.
“Kita melahirkan simpati dan sedih kepada keluarga Puan Rusiah Suar dari Felda Gunung Besout 2, Sungkai dan kerajan negeri juga sedang menimbangkan untuk memberikan bantuan kepada keluarga mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jasamu Dikenang di Hotel Riverfront, Ipoh pada Isnin.
Menurut Dr Zambry, beliau juga telah mengarahkan Exco Pembangunan Wanita, yang juga ADUN Behrang, Datuk Rusnah Kassim bagi mewakili kerajaan negeri dan ADUN Slim, Datuk Khusairi Talib supaya menziarahi keluarga mangsa.
Beliau diminta mengulas insiden kren tumbang di Kota Suci Makkah Jumaat lalu yang mengorbankan 107 jemaah haji dari beberapa negara, termasuk Allahyarhamah Rusiah.
Terdahulu pada majlis itu Dr Zambry telah menyampaikan sijil penghargaan dan sijil amanah saham Bank Simpanan Nasional bernilai RM2,000 kepada 275 pesara pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.

35,000 Sertai Fit Malaysia Di Ipoh

Seramai 35,000 rakyat di negeri ini membanjiri Program Jom Fit Malaysia peringkat negeri Perak di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh pada Ahad.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan penyertaan rakyat negeri ini pada program Jom Fit Malaysia sebagai sangat-sangat berjaya.
“Sangat-sangat berjaya, kita jangkakan daftar larian dan basikal sahaja 15,000 tetapi yang datang untuk program-program dan aktiviti kecergasan lain kita jangkakan dalam 20,000 lagi.
“Saya melihat sambutan yang luar biasa dan baik, ini menunjukkan Perak antara negeri paling fit dan bersukan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program tersebut.
Dalam program itu, Khairy telah menyampaikan cek Sambutan Hari Sukan Negara berjumlah RM1.4 juta kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya. Dr Zambry bagi pihak kerajaan negeri turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat negeri ini di atas sambutan yang amat menggalakkan.
Tambah beliau lagi, kerajaan negeri juga amat menghargai sokongan yang diberikan oleh Menteri Belia dan Sukan itu dalam membangunkan sukan di Perak.
“Sokongan yang diberikan terhadap perkembangan sukan begitu baik sekali dalam beberapa bantuan kewangan, termasuk peruntukan RM7 juta untuk Velodrome Rakyat.
“Pengumuman Perak selaku tuan rumah SUKMA 2018 juga tentunya akan memberi impak yang besar kepada pembangunan dan penyediaan fasiliti sukan di negeri ini,” katanya pada sidang media yang sama.
Terdahulu Khairy dan Dr Zambry telah menyertai aktiviti kayuhan basikal sejauh 30KM mengelilingi Ipoh.
Terdapat pelbagai aktiviti kecerdasan yang menarik disediakan kepada pengunjung sepanjang program itu berlangsung.
Antara aktiviti yang disediakan ialah tarian Zumba, cabaran kecergasan, Muay Thai, silat, pertunjukan kecerdasan dan pelbagai lagi.

Tuesday, September 8, 2015

PIDD Jadi Mercu Tanda Dialog Antarabangsa – Dr Zambry

Pangkor International Development Dialogue (PIDD) diyakini akan menjadi mercu tanda kepada dialog-dialog yang diadakan di serata dunia pada suatu hari nanti.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, matlamat itu akan tercapai dengan syarat ia memerlukan kesungguhan dan komitmen serta usaha yang konsistan daripada semua pihak.
“Harapan kita PIDD akan menjadi pusat pertemuan pemimpin di peringkat antarabangsa, khususnya melibatkan negara-negara membangun, negara Asia dan sekitar rantau Asean,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pra-Pelancaran dan sidang media PIDD 2015 di Pusat Konvensyen Perak Amanjaya, Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh pada Isnin.
Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr. Mazlan Kamis. Dr Zambry berkata, dalam konteks Perak, kerajaan negeri akan menjadikan negeri ini sebagai tapak untuk perbincangan di peringkat antarabangsa dan dunia berhubung pembangunan.
Beliau menambah, ini kerana pembangunan merupakan satu bidang yang tidak akan terhenti pada bila-bila masa dan golongan pemikir serta intelektual akan sentiasa memberikan idea-idea baru untuk mengubah dan memperbaiki kehidupan masyarakat dunia.
“Lantaran itu, kita melihat salah satu daripada bidang yang boleh kita kemukakan, cetuskan dalam bidang pembangunan dengan mengadakan seminar seperti ini.
“Paling penting dari segi ekonomi, kita akan melihat kehadiran lebih ramai peserta dan dengan sendirinya segi ekonomi termasuk sektor industri, perhotelan dan sebagainya akan berkembang,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Mazlan pula berkata, PIDD 2015 akan berlangsung selama tiga hari di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh pada 19 - 21 Oktober ini dengan menjemput beberapa tokoh dan intektual ternama dunia.
Beliau memberitahu, antara tokoh itu ialah Speaker dan Pengarang berhubung dasar kepimpinan Inovatif, Dr. Tommy Weir dan Profesor Matt R. Andrews dari Harvard Kennedy School dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abd Wahid Omar.
Menurutnya, IDR mensasarkan 600 peserta akan menghadiri dialog itu yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak manakala penutupnya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sunday, September 6, 2015

PM Tolak Tanggapan Gen Y Anti-Kerajaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak tanggapan bahawa generasi muda Gen Y adalah golongan anti kerajaan (establishment).
Beliau berkata, tanggapan bahawa kerajaan selama ini tidak menilai golongan Gen Y juga adalah tidak benar.
Menurut Najib, kerajaan mengiktiraf golongan muda Gen Y ini dan sentiasa komited bersama-sama mereka dalam membangunkan negara.
"Dakwaan kononnya Gen Y golongan anti establishment menampakkan seolah-olah kerajaan tidak menilai dan melihat potensi mereka tetapi sebenarnya kerajaan mengiktiraf mereka.
"Kerajaan bersedia melakukan apa sahaja buat generasi muda berdasarkan kehendak dan citarasa mereka kerana generasi muda adalah pahlawan negara, harapan masa depan dan hari ini.'' katanya.
Datuk Seri Najib berkata demikian semasa berucap mjelancarkan Program Silv er Youth Fest @ PTIWRBNM dan Kayuhan Bersama Perdana Menteri di Taman DR. Seenivasagam,Ipoh pada Ahad.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor yan g juga isteri Perdana Menteri, Menteri-Menteri Besar dan Ketua Ketua Menteri dan Timbalan Menteri.
Menurut N ajib dalam memastikan generasi belia terus berperanan bersama kerajaan, maka kerajaan telah membuat keputusan untuk mewujudkan Bandar Belia di Tanjung Malim.
Katanya, Bandar Belia ini khusus kpada golongan Gen Y dari segi pekerjaan rekreasi, perumahan mampu milik dengan mencerminkan kerajaan yang ada pada hari ini memahami menghayati dan melakukan yang terbaik kepada Gen Y.
Najib berkata, bagi menentukan masa depan Gen Y ini kerajaan akan melakukan apa sahaja supaya golongan belia ini dapat mengukuhkan nilai kesantunan, murni dan keupayaan mereka untuk bersaing dalam mencapai kejayaan.
Beliau menganggap Program Silver Youth Fest 2015 ini merupakan satu program yang cukup baik dan kena pada masanya dengan memperlihatkan usaha kerajaan negeri Perak untuk membangunkan golon gan belia selaras dengan citarasa dan hati nurani mereka.