a LAP Catat Keuntungan Bersih RM114.57 Juta ~ zambry.my

Thursday, March 26, 2015

LAP Catat Keuntungan Bersih RM114.57 Juta

Lembaga Air Perak (LAP) mencatat keuntungan bersih sehingga 31 Disember 2014 berjumlah RM114.57 juta, peningkatan sebanyak 26.8 peratus.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, keuntungan bersih itu diperolehi selepas mengambil kira cukai pendapatan sebanyak RM7.16 juta.
Beliau yang juga Pengerusi LAP berkata, anggaran keuntungan bersih sebelum cukai meningkat sebanyak RM24.62 juta, dari RM97.12 juta sehingga 31 Disember 2013 kepada RM121.73 juta sehingga 31 Disember 2014 atau peningkatan sebanyak 25.3 peratus.
Menurut Dr Zambry, sehingga 31 Disember tahun lalu, LAP telah mencatat jualan air sebanyak RM309.84 juta, berbanding RM299.70 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya atau peningkatan 3.4 peratus.
"Kadar pertumbuhan penggunaan air telah meningkat iaitu daripada 304.79 juta meter padu sehingga 31 Disember 2013 kepada 313.21 juta meter padu sehingga 31 Disember 2014," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat LAP di Ipoh pada Selasa.
Menurut Menteri Besar, bilangan akaun pengguna juga telah meningkat dari 710,267 pada 31 Disember 2013 kepada 726,929 pada 31 Disember 2014, iaitu peningkatan sebanyak 16,662 atau 2.3 peratus.
Mengenai pemberian air untuk rakyat miskin di negeri Perak, beliau memberitahu, sepanjang lapan tahun pelaksanaannya, LAP telah membelanjakan sebanyak RM5,806,295.00.
Katanya, sehingga 12 Mac 2015, seramai 11,064 keluarga telah mendapat manfaat dari skim subsidi tersebut.
Di samping itu, Dr Zambry berkata, jumlah pemberian subsidi untuk rumah ibadat di negeri ini sehingga 12 Mac 2015 berjumlah RM23,303.10.
Menurutnya, bagi tahun 2014 pemberian subsidi untuk rumah ibadat berjumlah RM121,237.26 berbanding RM119,143.20 tahun 2013.
Beliau memberitahu, jumlah rumah ibadat yang menerima subsidi air di negeri Perak berjumlah 1,977 iaitu 1,699 masjid dan surau, 149 kuil, 95 tokong dan 34 gereja.

0 comments:

Post a Comment