a Dr Zambry Mahu Ustaz Kazim Terus Berdakwah ~ zambry.my

Thursday, March 26, 2015

Dr Zambry Mahu Ustaz Kazim Terus Berdakwah

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir berharap pendakwah terkenal tanah air, Datuk Mohd Kazim Elias dapat meneruskan tugasnya sebagai pendakwah dalam membantu memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Islam di negara ini.
Menurut Dr Zambry, beliau juga berharap isu Ustaz Kazim ini tidak dijadikan polimik besar dan ianya dapat diselesaikan dengan cara yang baik.
Katanya lagi, Ustaz Kazim juga telah mengambil maklum tentang teguran yang disuarakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan juga telah memaklumkan bahawa beliau menerima teguran itu dengan baik.
Namun begitu, Menteri Besar berkata, beliau tidak mahu melihat seolah-olah ada pula yang akan mengambil kesempatan untuk melihat Udtaz Kazim sebagai hanya pendakwah 'lawak jenaka'.
''Melihat dalam isu Ustaz Kazim ni apapun beliau merupakan seorang pendakwah yang telah memberikan sumbangan dalam kapasitinya dan tentunya sebagai jurudakwah masing-masing mempunyai pendekatan tersendiri," katanya.?
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat minggu Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.
Katanya lagi, Ustaz Kazim mempunyai tujuan dan matlamatnya dengan mempunyai sekolahnya dan sekolah-sekolah ini pula bukan sekolah yang dibantu oleh mana-mana pihak.
Menurut beliau, Ustaz Kazim merupakan antara pendakwah yang cukup besar peranannya dalam memberikan perkhidmatan kepada umat Islam bermula dari kanak-kanak sehinggalah ke orang tua.
Mohd. Kazim Elias sebelum ini membayangkan hasrat untuk berhenti daripada berceramah dalam tempoh terdekat, dipercayai ekoran beberapa isu membabitkan dirinya sejak kebelakangan ini.
Dalam program Ceramah Perdana Sempena Peringatan Hari Polis Ke-208 di Kem Pasukan Gerak Am (PGA) Ulu Kinta dekat sini kelmarin, beliau berkata, isu-isu yang dihadapinya sejak menjadi pendakwah menyebabkan beliau hilang semangat untuk terus berceramah.
Sebagai langkah awal ke arah itu, difahamkan beliau sudah mula menolak beberapa jemputan untuk menjadi tetamu beberapa program televisyen.
Begitupun, buat sementara waktu beliau masih terus menerima jemputan untuk mengadakan ceramah namun dikatakan akan berhenti setelah pembinaan bangunan tambahan di Pusat Pengajian Al-Barakah di Manjoi, dekat sini yang diasaskannya siap sepenuhnya.
Ini kerana, buat masa ini beliau mahu mencari dana untuk membiayai pembinaan bangunan tersebut yang menelan kos kira-kira RM500,000.
Minggu lalu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegur Mohd. Kazim kerana menggunakan pendekatan jenaka dalam ceramah yang disifatkan oleh beliau sebagai 'penglipur lara'.
Sebelum itu, Mohd. Kazim diselubungi isu penyebaran surat daripada Jabatan Mufti Perlis yang tidak bersetuju dengan pemilihan pendakwah terkenal itu untuk menjadi panel satu forum dengan alasan beliau membacakan riwayat-riwayat palsu.
Dalam ceramahnya, Mohd. Kazim menegaskan, jika beliau berhenti daripada berceramah, Pusat Pendidikan Al Barakah mungkin hanya mampu bertahan dalam tempoh dua tahun sahaja.
Menurut beliau, ini kerana pusat tersebut yang menempat pelajar, orang tua-tua serta anak yatim memerlukan kos besar yang selama ini ditampung hasil daripada sagu hati beliau berceramah, penjualan buku dan sumbangan orang ramai.
''Bil elektrik untuk satu blok asrama sahaja RM10,000 sebulan. Jika saya berhenti berceramah, bagaimana saya nak tampung kos keseluruhan pusat ini yang memerlukan sekurang-kurangnya RM150,000 sebulan.
''Pusat pendidikan ini tiada tajaan daripada sesiapa. Jika ditutup bermakna hilanglah sekolah pondok yang berjaya menaikkan nama negeri Perak,'' katanya.

0 comments:

Post a Comment