a Kartunis Tempatan Diminta Berkarya Promosikan Produk Pelancongan ~ zambry.my

Thursday, March 26, 2015

Kartunis Tempatan Diminta Berkarya Promosikan Produk Pelancongan

Pelukis kartunis dan karyawan seni tempatan diminta proaktif dalam mempromosikan produk pelancongan menarik yang terdapat di negeri ini sebagai salah satu usaha membantu meningkatkan industri pelancongan di Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry berkata, mereka perlu mengambil kesempatan dengan menjadikan Pusat Kegiatan Seni Orang Berbakat Terpendam (PORT) sebagai platform untuk mempromosikan produk-produk pelancongan menarik yang terdapat di Perak.
Beliau berkata, pembabitan golongan ini menerusi PORT sejak lima tahun lalu ternyata telah menunjukkan kemajuan sehingga berjaya menarik pembabitan para karyawan seni, pelukis dan kartunis dari luar negara.
''Penglibatan mereka ini bukan sahaja tertumpu di satu-satu kawasan malah mereka sentiasa berada di mana-mana diseluruh daerah di negeri Perak.'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Pekan Kartun Kellies 2015 di Kellie's Castle, Ipoh pada Sabtu.
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Dto' Nolee Ashilin Mohammad Radzi dan ikon kartunis negara, Dato' Lat.
Dr Zambry memberikan contoh umpamanya di kawasan Pulau Pangkor di mana terdapat kalangan pelukis dan jurugambar berkumpul untuk menunjukkan kelebihan tersendiri mereka dalam merakamkan tempat-tempat menarik yang terdapat di pulau terkenal itu.
Katanya, selain Pulau Pangkor mereka turut berada di Kuala Sepetang, Belum dan di Lenggong dengan menjalankan aktivit persatuan dan kesenian mereka sekaligus membantu memperkenalkan tempat-tempat menarik yang terdapat di kawasan berkenaan.
Pada majlis itu Dr Zambry telah merasmikan komik permainan tradisional Perak yang dihasilkan oleh kartunis-kartunis kelahiran Perak diikuti perasmian game online yang pertama di Malaysia yang mengadaptasi daripada sebuah komik pendekar Melayu.
Sementara itu Nolee berkata, Pekan Kartun kali ini menampilkan acara bertaraf dunia iaitu cabaran komik 24 jam yang bakal menjadi cabaran paling menyeramkan di dunia dan pertandingan cosplay pertama di Malaysia bertemakan Istana atau 'Cosplay in a Castle event'.
Menurut beliau dua acara ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan dapat menarik ramai pengunjung dan pelancong ke negeri Perak.
Beliau juga berkata, Pekan Kartun Kellie's 2015 telah dimasukkan sebagai acara Kelendar Pelancongan Negeri Perak.

0 comments:

Post a Comment