a March 2015 ~ zambry.my

Tuesday, March 31, 2015

Pembangkang Tidak Hormat Sultan Perak Di Istiadat Pembukaan Sidang Dewan

Upacara istiadat pembukaan Dewan Undangan Negeri Perak hari ini dicemarkan dengan tindakan biadap wakil pembangkang yang memilih untuk tidak mengenakan pakaian istiadat bagi menghormati keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan sidang DUN ke-13.
Kesemua wakil pembangkang sepakat menghadiri upacara istidiat dengan suit serba hitam manakala baju Melayu serba hitam bagi kalangan pembangkang beragama Islam.
Ternyata tindakan wakil rakyat pembangkang ini merupakan satu perbuatan biadap dan tidak menghormati Sultan Nazrin yang berangkat hadir untuk merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri buat kali pertama sebagai Sultan Perak setelah dimasyhurkan pada 29 Mei, 2014.

Baginda dalam ucapan perasmiannya melahirkan hasrat untuk melihat Dewan Negeri Perak terus dijadikan kebanggaan rakyat negeri ini.
"Persidangan hari ini mencatat sejarah keberangkatan Beta atas nama Sultan Perak dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan sejak dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke-35 pada 29 Mei, 2014.
"Menjadi hasrat Beta Dewan Negeri ini dijadikan contoh rujukan dari segi prosiding, kualiti perbahasan serta tata kesopanan ahli Dewan," titah baginda.
Difahamkan tindakan mereka mengenakan baju serba hitam adalah sebagai tanda protest terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati Ketua Pakatan Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah atas tuduhan liwat dan sedang menjalani hukuman lima tahun penjara.

Thursday, March 26, 2015

Pengurusan Air Tanpa Campurtangan Politik Boleh Beri Pulangan Baik

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan pengurusan air di sesebuah negeri tanpa campurtangan politik boleh menghasilkan pulangan yang baik.
Menurut Menteri Besar, isu-isu atau mana-mana perkara yang berkaitan kepentingan rakyat tidak wajar dipolitikkan hanya untuk meraih sokongan dan kepentingan politik.
Beliau memberi contoh, pengurusan air yang dikendalikan oleh Lembaga Air Perak (LAP) telah menunjukkan prestasi yang baik dengan sentiasa merekodkan peningkatan keuntungan bersih.
"Ini menjadikan LAP sebagai satu-satunya lembaga air negeri yang mencatatkan keuntungan dan ditadbir oleh kerajaan negeri Perak.
“Jika pengurusan air ditadbir dengan sebaik-baiknya tanpa melibatkan soal politik yang keterlaluan, saya yakin ia dapat menghasilkan pulangan yang baik kepada negeri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Beliau diminta mengulas pengurusan air di Perak yang dilihat lebih baik dan mantap berbanding negeri Selangor yang dilanda krisis air sejak kebelakangan ini.
Semalam Dr Zambry mengumumkan LAP mencatat keuntungan bersih sehingga 31 Disember 2014 berjumlah RM114.57 juta, peningkatan sebanyak 26.8 peratus.
Katanya, keuntungan bersih itu diperolehi selepas mengambil kira cukai pendapatan sebanyak RM7.16 juta.

LAP Catat Keuntungan Bersih RM114.57 Juta

Lembaga Air Perak (LAP) mencatat keuntungan bersih sehingga 31 Disember 2014 berjumlah RM114.57 juta, peningkatan sebanyak 26.8 peratus.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, keuntungan bersih itu diperolehi selepas mengambil kira cukai pendapatan sebanyak RM7.16 juta.
Beliau yang juga Pengerusi LAP berkata, anggaran keuntungan bersih sebelum cukai meningkat sebanyak RM24.62 juta, dari RM97.12 juta sehingga 31 Disember 2013 kepada RM121.73 juta sehingga 31 Disember 2014 atau peningkatan sebanyak 25.3 peratus.
Menurut Dr Zambry, sehingga 31 Disember tahun lalu, LAP telah mencatat jualan air sebanyak RM309.84 juta, berbanding RM299.70 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya atau peningkatan 3.4 peratus.
"Kadar pertumbuhan penggunaan air telah meningkat iaitu daripada 304.79 juta meter padu sehingga 31 Disember 2013 kepada 313.21 juta meter padu sehingga 31 Disember 2014," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat LAP di Ipoh pada Selasa.
Menurut Menteri Besar, bilangan akaun pengguna juga telah meningkat dari 710,267 pada 31 Disember 2013 kepada 726,929 pada 31 Disember 2014, iaitu peningkatan sebanyak 16,662 atau 2.3 peratus.
Mengenai pemberian air untuk rakyat miskin di negeri Perak, beliau memberitahu, sepanjang lapan tahun pelaksanaannya, LAP telah membelanjakan sebanyak RM5,806,295.00.
Katanya, sehingga 12 Mac 2015, seramai 11,064 keluarga telah mendapat manfaat dari skim subsidi tersebut.
Di samping itu, Dr Zambry berkata, jumlah pemberian subsidi untuk rumah ibadat di negeri ini sehingga 12 Mac 2015 berjumlah RM23,303.10.
Menurutnya, bagi tahun 2014 pemberian subsidi untuk rumah ibadat berjumlah RM121,237.26 berbanding RM119,143.20 tahun 2013.
Beliau memberitahu, jumlah rumah ibadat yang menerima subsidi air di negeri Perak berjumlah 1,977 iaitu 1,699 masjid dan surau, 149 kuil, 95 tokong dan 34 gereja.

Kartunis Tempatan Diminta Berkarya Promosikan Produk Pelancongan

Pelukis kartunis dan karyawan seni tempatan diminta proaktif dalam mempromosikan produk pelancongan menarik yang terdapat di negeri ini sebagai salah satu usaha membantu meningkatkan industri pelancongan di Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry berkata, mereka perlu mengambil kesempatan dengan menjadikan Pusat Kegiatan Seni Orang Berbakat Terpendam (PORT) sebagai platform untuk mempromosikan produk-produk pelancongan menarik yang terdapat di Perak.
Beliau berkata, pembabitan golongan ini menerusi PORT sejak lima tahun lalu ternyata telah menunjukkan kemajuan sehingga berjaya menarik pembabitan para karyawan seni, pelukis dan kartunis dari luar negara.
''Penglibatan mereka ini bukan sahaja tertumpu di satu-satu kawasan malah mereka sentiasa berada di mana-mana diseluruh daerah di negeri Perak.'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Pekan Kartun Kellies 2015 di Kellie's Castle, Ipoh pada Sabtu.
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Dto' Nolee Ashilin Mohammad Radzi dan ikon kartunis negara, Dato' Lat.
Dr Zambry memberikan contoh umpamanya di kawasan Pulau Pangkor di mana terdapat kalangan pelukis dan jurugambar berkumpul untuk menunjukkan kelebihan tersendiri mereka dalam merakamkan tempat-tempat menarik yang terdapat di pulau terkenal itu.
Katanya, selain Pulau Pangkor mereka turut berada di Kuala Sepetang, Belum dan di Lenggong dengan menjalankan aktivit persatuan dan kesenian mereka sekaligus membantu memperkenalkan tempat-tempat menarik yang terdapat di kawasan berkenaan.
Pada majlis itu Dr Zambry telah merasmikan komik permainan tradisional Perak yang dihasilkan oleh kartunis-kartunis kelahiran Perak diikuti perasmian game online yang pertama di Malaysia yang mengadaptasi daripada sebuah komik pendekar Melayu.
Sementara itu Nolee berkata, Pekan Kartun kali ini menampilkan acara bertaraf dunia iaitu cabaran komik 24 jam yang bakal menjadi cabaran paling menyeramkan di dunia dan pertandingan cosplay pertama di Malaysia bertemakan Istana atau 'Cosplay in a Castle event'.
Menurut beliau dua acara ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan dapat menarik ramai pengunjung dan pelancong ke negeri Perak.
Beliau juga berkata, Pekan Kartun Kellie's 2015 telah dimasukkan sebagai acara Kelendar Pelancongan Negeri Perak.

India Berminat Majukan Industri Automotif Tanjung Malim

Pelabur dari negara India telah menunjukkan minat untuk terlibat dalam mengembangkan industri automotif di Tanjung Malim, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Katanya berikutan minat yang ditunjukkan pelabur India itu, satu kaji selidik akan dilaksanakan di bawah kerjasama kerajaan negeri dan pelabur asing itu.
Katanya, kaji selidik itu bertujuan mengenal pasti potensi perniagaan yang boleh mengembangkan pertumbuhan Tanjung Malim.
Sehubungan dengan itu beliau telah meminta Proton untuk membuat tindakan susulan berhubung perkara itu.
"Kita telah mengenegahkan Tanjung Malim sebagai salah satu sektor pelaburan yang berpotensi berkembang di Perak selain produk-produk pelancongan bagi memperkenalkan Perak sebagai destinasi pelaburan," katanya.

Dr Zambry berkata demikian keapada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.
Menurut Dr Zambry, lawatan kerja beliau selama empat hari ke India baru-baru ini telah membuahkan hasil apabila beberapa pengusaha dan pelabur berminat untuk menanam modal dalam bidang bioteknologi dan teknologi maklumat (IT) di Perak.
Katanya, pada perjumpaan itu beliau telah menemui hampir 80 komuniti perniagaan di Chennai dan 90 lagi komuniti peniaga di Hyderabad dalam sesi perbincangan serta dialog yang dianjurkan.
Dr Zambryr berkata, perbincangan tersebut adalah berdasarkan kepada kedudukan beberapa lokasi di India yang mempunyai kelebihan dalam IT dan bioteknologi.
Menurut Dr Zambry, Hyderabad merupakan pusat perkembangan IT dan bioteknologi dunia dan hasil perbincangan yang diatur, kebanyakan pelabur telah menunjukkan minat untuk menjalinkan usaha sama dengan negeri Perak.
Katanya, dalam perjumpaannya dengan Ketua Menteri India juga berjaya membuahkan hasil yang baik bagi memperkenalkan Perak kepada semua pihak yang berkepentingan di sana.
Dr Zambry berkata, salah satu strategi yang dicadangkan ialah meletakkan Perak sebagai lokasi operasi pemasaran yang secara langsung berupaya menggarap pasaran di Asia Tenggara.
''Saya telah mengemukakan statistik bahawa Asia mempunyai sekitar 150 juta penduduk dan kedatangan mereka ke Perak kelak adalah berdasarkan lokasinya yang cukup strategik bagi pasaran Asia," katanya.
Menurut beliau, penganjuran Asean Economic Comunity kelak berperanan khusus memasarkan seluruh barangan dan perkhidmatan dari negara Asia supaya lebih bebas.
Katanya, bidang pertanian juga turut dibincangkan berdasarkan kepada keperluan penawaran barangan daripada sumber pertanian yang dianggap penting bagi India.

Dr Zambry Mahu Ustaz Kazim Terus Berdakwah

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir berharap pendakwah terkenal tanah air, Datuk Mohd Kazim Elias dapat meneruskan tugasnya sebagai pendakwah dalam membantu memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Islam di negara ini.
Menurut Dr Zambry, beliau juga berharap isu Ustaz Kazim ini tidak dijadikan polimik besar dan ianya dapat diselesaikan dengan cara yang baik.
Katanya lagi, Ustaz Kazim juga telah mengambil maklum tentang teguran yang disuarakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan juga telah memaklumkan bahawa beliau menerima teguran itu dengan baik.
Namun begitu, Menteri Besar berkata, beliau tidak mahu melihat seolah-olah ada pula yang akan mengambil kesempatan untuk melihat Udtaz Kazim sebagai hanya pendakwah 'lawak jenaka'.
''Melihat dalam isu Ustaz Kazim ni apapun beliau merupakan seorang pendakwah yang telah memberikan sumbangan dalam kapasitinya dan tentunya sebagai jurudakwah masing-masing mempunyai pendekatan tersendiri," katanya.?
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat minggu Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.
Katanya lagi, Ustaz Kazim mempunyai tujuan dan matlamatnya dengan mempunyai sekolahnya dan sekolah-sekolah ini pula bukan sekolah yang dibantu oleh mana-mana pihak.
Menurut beliau, Ustaz Kazim merupakan antara pendakwah yang cukup besar peranannya dalam memberikan perkhidmatan kepada umat Islam bermula dari kanak-kanak sehinggalah ke orang tua.
Mohd. Kazim Elias sebelum ini membayangkan hasrat untuk berhenti daripada berceramah dalam tempoh terdekat, dipercayai ekoran beberapa isu membabitkan dirinya sejak kebelakangan ini.
Dalam program Ceramah Perdana Sempena Peringatan Hari Polis Ke-208 di Kem Pasukan Gerak Am (PGA) Ulu Kinta dekat sini kelmarin, beliau berkata, isu-isu yang dihadapinya sejak menjadi pendakwah menyebabkan beliau hilang semangat untuk terus berceramah.
Sebagai langkah awal ke arah itu, difahamkan beliau sudah mula menolak beberapa jemputan untuk menjadi tetamu beberapa program televisyen.
Begitupun, buat sementara waktu beliau masih terus menerima jemputan untuk mengadakan ceramah namun dikatakan akan berhenti setelah pembinaan bangunan tambahan di Pusat Pengajian Al-Barakah di Manjoi, dekat sini yang diasaskannya siap sepenuhnya.
Ini kerana, buat masa ini beliau mahu mencari dana untuk membiayai pembinaan bangunan tersebut yang menelan kos kira-kira RM500,000.
Minggu lalu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegur Mohd. Kazim kerana menggunakan pendekatan jenaka dalam ceramah yang disifatkan oleh beliau sebagai 'penglipur lara'.
Sebelum itu, Mohd. Kazim diselubungi isu penyebaran surat daripada Jabatan Mufti Perlis yang tidak bersetuju dengan pemilihan pendakwah terkenal itu untuk menjadi panel satu forum dengan alasan beliau membacakan riwayat-riwayat palsu.
Dalam ceramahnya, Mohd. Kazim menegaskan, jika beliau berhenti daripada berceramah, Pusat Pendidikan Al Barakah mungkin hanya mampu bertahan dalam tempoh dua tahun sahaja.
Menurut beliau, ini kerana pusat tersebut yang menempat pelajar, orang tua-tua serta anak yatim memerlukan kos besar yang selama ini ditampung hasil daripada sagu hati beliau berceramah, penjualan buku dan sumbangan orang ramai.
''Bil elektrik untuk satu blok asrama sahaja RM10,000 sebulan. Jika saya berhenti berceramah, bagaimana saya nak tampung kos keseluruhan pusat ini yang memerlukan sekurang-kurangnya RM150,000 sebulan.
''Pusat pendidikan ini tiada tajaan daripada sesiapa. Jika ditutup bermakna hilanglah sekolah pondok yang berjaya menaikkan nama negeri Perak,'' katanya.

30,000 Sertai Malam Cinta Rasul Kerian Berselawat


Malam Cinta Rasul Kerian Berselawat yang berlangsung di Mini Stadium Bagan Serai pada Khamis mendapat sambutan di luar jangkaan dengan kehadiran kira-kira 30,000 umat Islam.
Mereka yang terdiri daripada penduduk dalam daerah Kerian dan kawasan sekitar datang seawal jam 6 petang ke mini stadium itu untuk mendengar persembahan qasidah dan selawat nabi daripada tokoh nusantara, Habib Syech Abdul Qadir As-Seggaf bersama kumpulan anak-anak al-Barakah dan al-Ansori.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersama-sama pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal, ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat, Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali dan Pengerusi Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR), Datuk Azhar Ahmad turut hadir pada program itu.
Menurut Azhar, kehadiran umat Islam membanjiri Mini Stadium Bagan Serai itu adalah semata-mata kerana rasa cinta dan kasih sayang kepada Rasulullah S.A.W.
"Sambutan adalah diluar jangkaan dengan kehadiran 30,000 pengunjung dan ini jelas membuktikan mereka datang semata-mata kerana rasa cinta dan kasih saying kepada Rasulullah S.A.W," katanya ketika ditemui selepas program itu.
Beliau yakin, program itu juga merupakan hiburan alternatif yang tidak melanggari hukum Allah.
Selain program di sebelah malam, pelbagai aktiviti dianjurkan di sebelah siang, antaranya karnival jualan dan pertandingan nasyid.