a Dr Zambry Dedah Kegiatan Syarikat Tipu Orang Ramai ~ zambry.my

Friday, October 23, 2015

Dr Zambry Dedah Kegiatan Syarikat Tipu Orang Ramai

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mendedahkan kegiatan sebuah syarikat dari luar Perak yang menipu orang ramai kononnya telah mendapat kelulusan tanah seluas 100,000 ekar daripada kerajaan negeri.
Menurut beliau, syarikat terbabit dikatakan telah berjumpa banyak pihak untuk menjual atau mencari peluang bersama dengan bakal-bakal rakan perkongsian mereka.
Katanya, siasatan yang dibuat kerajaan negeri mendapati syarikat berkenaan telah beroperasi sejak beberapa bulan lalu di banyak tempat, antaranya, Perak, Lembah Klang, Kedah dan Pulau Pinang untuk menipu mangsa mereka.
“Apabila siasatan dibuat, kami dapati kawasan yang dimaksudkan ialah kawasan Hutan Simpan Gerik seluas 35,000 ekar termasuk juga dikawasan Papulut dan kawasan Hutan Simpan Piah,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Dr Zambry berkata, beliau memandang serius perkara itu dan telah meminta pihak SPRM serta polis untuk membuat siasatan segera bagi mengheret pihak yang tidak bertanggungjawab itu ke muka pengadilan.
Beliau menegaskan bahawa tidak akan membenarkan sama sekali mana-mana pihak untuk bertindak menipu ataupun memburukkan pihak kerajaan negeri.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai supaya melaporkan kepada pihak berkuasa berkenaan sekiranya mereka didatangi oleh mana-mana pihak yang ingin mencari rakan kongsi yang membawa surat palsu atau pelan kelulusan tanah yang kononnya mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri.
“Ini merupakan satu pembohongan dan diharapkan pihak-pihak yang berkenaan dapat membantu kerajaan negeri bagi memastikan yang tidak bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.

0 comments:

Post a Comment