a Dr Zambry Terima Kunjungan Hormat Pesuruhjaya Tinggi Britain ~ zambry.my

Friday, October 23, 2015

Dr Zambry Terima Kunjungan Hormat Pesuruhjaya Tinggi Britain

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell di Pejabat Menteri Besar, Ipoh pada Rabu.
Ketibaan Vicki disambut mesra oleh Dr Zambry bersama-sama barisan exco dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri S.K Devamany pada jam 10.30 pagi.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Puhat Mat Nayan. Dr Zambry dan Vicki kemudian mengadakan perbincangan tertutup selama kira-kira sejam setengah.
Vicki memberitahu, perbincangan tersebut telah menyentuh pelbagai perkara seperti pembangunan ekonomi, kepentingan memelihara alam semula jadi dan usaha kerajaan negeri dalam memelihara Hutan Simpan Belum.
"Kita turut berbincang bagaimana kita dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri dan juga rakyatnya.
"Banyak syarikat British telah melabur di negeri ini dan ia bukan soal apa yang kita boleh jual atau buat di negeri ini tetapi soalnya, bagaimana kita boleh melabur dan mencipta peluang pekerjaan bagi masyarakat di sini," katanya ketika ditemui selepas kunjungan hormat tersebut.
Beliau juga memuji pelbagai inisiatif kerajaan negeri dalam mengekalkan alam semula jadi di Perak khususnya Hutan Belum.
Vicki merupakan anak kelahiran Ipoh dan pernah bersekolah di Tarcisian Convent Ipoh. Beliau pernah bertugas sebagai Duta Britain di Islamabad, Pesuruhjaya Tinggi Britain di New Zealand & Samoa dan Mumbai sebelum bertugas di Malaysia.

0 comments:

Post a Comment