a 70 Peratus Penagih Dadah Di Perak Melayu ~ zambry.my

Wednesday, June 24, 2015

70 Peratus Penagih Dadah Di Perak Melayu

Statistik menunjukkan 70 peratus daripada keseluruhan jumlah penagih dadah di Perak adalah daripada bangsa Melayu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, daripada jumlah itu, kebanyakkannya juga terdiri daripada belia.
“Apa jadi masyarakat umat Islam kalau kita bariskan anak muda dalam kampung daripada 10 orang, tujuh orang itu adalah pengguna dadah.
“Jika kita biarkan ia berlarutan, apa jadi masa depan kita, maka pupus lah satu hari nanti akan umat islam ini, akan hilang kekuatan umat kita ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua-ketua Kampung & JKKK di kediaman rasmi beliau pada Selasa.
Justeru itu, Dr Zambry menyeru semua ketua kampung dan JKKK menjalankan tanggungjawab mereka sebagai ketua komuniti dengan komited dan memerangi najis dadah itu secara habis-habisan.
“Saya nak ambil kesempatan ini dan ingatkan peranan sebagai ketua masyarakat, kita perlu ingatkan diri sejauh mana kita buat tanggungjawab yang diamanahkan?
"Ini adalah antara sebab mengapa kita minta ketua kampung perlu membuat laporan berkala dalam sesi mesyuarat dimasukkan agenda pembasmian najis dadah, kerana statistik itu membimbangkan kita. Apa akan jadi kalau kita tidak bertindak?
“Biarlah tuan-tuan tak suka dan makin hamun saya bila anak-anak kampung kita ditangkap, tetapi mengapa kita buat macam itu?
"Kerana kita sayangkan mereka, kita tidak mahu kehilangan kekuatan umat kita di masa akan datang,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Dr Zambry juga menyeru ketua kampung serta JKKK tidak mengira fahaman politik untuk berusaha memastikan jumlah pegundi di kalangan bangsa melayu meningkat.
Katanya, pada Pilihanraya Umum lalu daripada 57 peratus pengundi Melayu, hanya 48% peratus sahaja yang telah keluar mengundi.
“Ini bukan lagi soal bendera apa yang dibawa tetapi ini adalah soal umat, tuan-tuan perlu berusaha memastikan mereka semua turun mengundi,” ujarnya.
Dalam majlis itu, hampir 300 ketua kampung dan JKKK seluruh Perak telah hadir untuk berbuka bersama Menteri Besar.
Selepas selesai solat terawih yang diimamkan oleh Syeikh Osama Mohamad Ikbal, Dr Zambry telah menyampaikan sumbangan kepada kesemua ketua kampung serta JKKK yang hadir.

0 comments:

Post a Comment