a 30 Keluarga Sambut Raya Di Rumah Baharu ~ zambry.my

Monday, June 22, 2015

30 Keluarga Sambut Raya Di Rumah Baharu

Sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini sangat bermakna buat 30 keluarga apabila mereka menerima kunci kediaman Pangsapuri Damai, Teluk Dalam.
Pemberian kunci rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat( PPR) itu diserahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di dalam satu majlis di Teluk Dalam, Pangkor pada petang Jumaat.
Dr Zambry berkata, sebanyak RM2.1 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri bagi menampung keperluan subsidi projek perumahan yang disalurkan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
"Pangsapuri 3 bilik ini telah diberikan kepada belia generasi kedua di Telok Dalam yang sudah berkahwin dan sukar untuk mendapatkan kediaman sendiri.
"Diharap dengan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di bawah PKNP ini, mereka mampu tinggal di kediaman lebih selesa dan milik mereka sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci itu.
Menurut Dr Zambry, hasil subsidi kerajaan negeri, harga sebuah unit rumah adalah sebanyak RM42,000 berbanding harga jualan asal bernilai di antara RM55,000 hingga RM81,000 seunit.
Jelasnya, kos penyelenggaraan berjumlah RM 1.8 juta turut ditanggung oleh kerajaan negeri, justeru setiap penerima kediaman hanya perlu membayar ansuran sebanyak RM117 sebulan selama 30 tahun.
"Kerajaan negeri akan sentiasa bekerjasama dengan Bahagian Perumahan Awam, Yayasan Bina Upaya dan PPR dalam merealisasikan azam ,memacu hasrat dalam meningkatkan kadar pemilikan rumah di kalangan rakyat negeri ini menjelang tahun 2018," katanya lagi.
Salah seorang penerima, Sulizah Mat Zain,35 berkata, beliau amat bersyukur di atas pertolongan kerajaan negeri dalam mendapatkan sebuah kediaman untuk seisi keluarganya.
"Projek ini telah terbengkalai sejak sekian lama dan pada waktu itu memang amat risau, namun syukur saya telah mendapatkan kunci dan bakal masuk mendiami rumah pada 1 Julai ini.
"Memang tidak dapat digambarkan betapa gembiranya saya dan keluarga, bukan sahaja harga ansuran amat berpatutan malah keadaan rumah selesa dan ruang cukup untuk kami," katanya.

0 comments:

Post a Comment