a Sukan Lasak Produk Pelancongan Terbaharu Pangkor ~ zambry.my

Tuesday, April 28, 2015

Sukan Lasak Produk Pelancongan Terbaharu Pangkor

Kerajaan negeri dan jabatan Perhutanan akan bekerjasama dalam melaksanakan pelan pembangunan bersepadu aktiviti sukan lasak sekitar Pulau Pangkor.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan bersepadu itu adalah inisiatif terbaru untuk mewujudkan satu lagi produk eko-pelancongan bagi negeri Perak.
Menurut Dr Zambry, beliau telah mengesorkan pihak Jabatan Perhutanan untuk menjalankan kajian mengenai kawasan bukit-bukau yang sesuai dijadikan lokasi bagi aktiviti sukan lasak seperti 'mountain-bike challenge', 'orienteering' dan 'flying fox'.
"Selain itu, mereka juga akan mengenalpasti pakej pelancongan samada dalam jarak dekat, sederhana dan jauh untuk ditawarkan kepada pelancong," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menamatkan aktiviti Kembara Rimba sejauh 1.8 kilometer di Hutan Simpan Pangkor Selatan bersempena Hari Hutan Sedunia Peringkat Negeri Perak pada Ahad.
Jelasnya, pihak Jabatan Perhutanan akan mengendalikan pengurusan promosi pelancongan di kawasan bukit-bukau yang berpotensi dijadikan tarikan alternatif selain pantai-pantai di sekitar Pangkor yang memang dikenali ramai.
Dr Zambry berkata, pelan pembangunan bersepadu itu turut memberi peluang kepada pelancong untuk menikmati kesegaran udara dan keindahan flora dan fauna di sekitar Pangkor.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat setempat agar menghargai khazanah alam yang semakin dieksploitasi oleh pelbagai pihak pada hari ini.
"Inilah sumber alam kita yang tidak ternilai harganya, jadi janganlah menodainya dengan rakus dan tamak, kita kena memeliharanya untuk generasi akan datang" katanya.
Program yang dijalankan di Arena Square Pulau Pangkor itu disertai kira-kira 600 pengunjung dan pelajar yang terlibat juga berpeluang memenangi hadiah dalam pertandingan mewarna, "spelling-bee" serta kayuhan "Cyclo-Hunt" sekitar Pangkor.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengerusi Jawatankuasa Sukan,Belia, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Datuk Roslan Ariffin.

0 comments:

Post a Comment