a Perak Guna Unit Air Bergerak Hungary Selesai Masalah Bekalan Terputus ~ zambry.my

Tuesday, April 28, 2015

Perak Guna Unit Air Bergerak Hungary Selesai Masalah Bekalan Terputus

Perak akan menggunakan Unit Air Bergerak daripada negara Hungary bagi menyelesaikan masalah bekalan air terawat khususnya ketika waktu bencana, kata Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata berdasarkan pengalaman semasa menguruskan bencana banjir pada Disember tahun lalu, kewujudan unit bergerak tersebut dapat membantu menyelesaikan masalah bekalan air dengan kadar segera ketika ianya mengalami gangguan.
"Teknologi tersebut menggunakan tiga peringkat penapisan untuk memastikan air dapat dirawat dengan sebaiknya dan selamat untuk diminum," katanya selepas melawat fasiliti kilang pembetungan Budapest Water Works di Budapest, Hungary.
Dr Zambry turut berkata proses tersebut dapat menghasilkan air terawat yang bersih dan berkualiti tinggi.
"Kedua-dua pihak- iaitu Lembaga Air Perak dan Budapest Water Works juga telah bersetuju untuk saling bertukar pendapat berkenaan dengan bekalan dan rawatan air dalam masa terdekat," katanya.
Dalam banjir yang lepas, Lembaga Air Perak terpaksa menggunakan lori tangki untuk mengedarkan air terawat dan bersih kepada mangsa banjir.
Dengan menggunakan teknologi baharu ini, unit tersebut boleh menggunakan air di kawasan persekitaran sebagai sumber air sekaligus dapat menyelesaikan masalah bekalan air dengan lebih segera.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Eksekutif Budapest Water Works, Csaba Haranghy berkata unit bergerak tersebut dapat memproses sebanyak lima meter padu dalam masa sejam, dan juga boleh digunakan untuk merawat air laut.
"Kami lebih senang menggunakan beg plastik berbanding botol kerana ianya adalah lebih ringan dan mudah dibawa," katanya.
Dr Zambry sebelum itu menghadiri taklimat mengenai rawatan sisa air oleh agensi tersebut dan meluangkan masa selama sejam melawat sekitar kawasan fasiliti.
Dr Zambry kemudian menghadiri mesyuarat bersama ahli Suruhanjaya Danube(DC) berpusat di Budapest pada sebelah tengahari.
Suruhanjaya tersebut telah ditubuhkan pada 1815 sebagai platform untuk menguruskan Sungai Danube. Sungai Danube adalah sepanjang 2,850 kilometer dan merentasi 10 negara termasuk Hungary dan Austria.
Dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden DC, Rade Drobac itu, kedua-dua pihak telah berbincang mengenai jalinan usahasama yang lebih mampan.

0 comments:

Post a Comment