a 15,000 Hadiri Rumah Terbuka Vasakhi ~ zambry.my

Tuesday, April 28, 2015

15,000 Hadiri Rumah Terbuka Vasakhi

Lebih 15,000 rakyat berbilang kaum mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Hari Vasakhi Peringkat Negeri Perak yang diadakan di perkarangan Stadium Indera Mulia pada petang Ahad.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sambutan itu adalah medium utama kebudayaan kaum Punjabi dan berjaya membuktikan kesepakatan dan perpaduan kaum di negeri Perak.
Menurut beliau, keistimewaan Perak terletak pada masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama, namun masih dapat hidup dalam toleransi; malah merayakan sambutan sesama kaum dalam suasana penuh harmoni.
"Inilah yang kita hendak kekalkan di negeri ini dan nilai-nilai ini akan membentuk kita menjadi masyarakat yang berfikiran terbuka di samping menghargai dan menghormati kebudayaan dan adat resam kaum lain'" katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Menurut Dr Zambry, kerajaan negeri akan sentiasa menyokong sebarang program dan menyumbangkan bantuan yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan insan kaum Punjabi di negeri ini kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada ahli masyarakat.
Katanya, terdapat sesetengah pihak akan cuba memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian kaum di negeri ini namun kesemuanya tidak akan berjaya jika rakyat Perak dapat bersatu dan menangkis pandangan tersebut.
"Memang terdapat perbezaan di antara kita dari segi amalan budaya dan agama, namun itulah yang menjadikan negeri ini amat unik.
"Justeru hargailah ia dan hidup melalui moto dan prinsip kita, Perak Aman Jaya yang saya ketengahkan sewaktu mula memimpin Perak dulu," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Penyelaras Unit Hal Bukan Islam Negeri Perak, Keshvinder Singh berkata, penyertaan daripada masyarakat setempat adalah amat mengalakkan tahun ini dan disertai oleh komuniti berbilang kaum berbanding pada tahun lepas.
Jelasnya, antara aktiviti dalam majlis rumah terbuka meriah tersebut adalah persembahan dari dalam dan luar negara yang disajikan kepada pengunjung di samping pemberian sumbangan kepada 80 orang kanak-kanak kurang berkemampuan dari sekitar Ipoh.
Turut hadir, Penasihat kepada Menteri Besar, Datuk V. Elango, Pengerusi PPP Perak, Ong Chee Keng dan Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Insan Sikh Perak (PPIS), Datuk Dr. Jasvinder Singh.

0 comments:

Post a Comment