a April 2015 ~ zambry.my

Thursday, April 30, 2015

Selamat Hari Pekerja


“Tidaklah seseorang makan makanan sedikitpun lebih baik dari makan yang dihasilkan dari pekerjaannya sendiri, Bahawa Nabi Allah Daud AS makan dari hasil pekerjaannya sendiri,” (hadis Nabi SAW, sahih Bukhari)
Selamat Menyambut Hari Pekerja Ikhlas Daripada Kerajaan Negeri Perak

Tuesday, April 28, 2015

Konsep Wasatiyyah Elak Salah Faham Terhadap Islam

Konsep dan pemahaman Wasatiyyah penting dalam kehidupan masyarakat terutamanya dalam konteks kehidupan masyarakat Islam khususnya bagi memastikan negara ini berada dalam keadaan aman serta mengelakkan perpecahan.
Pelaksanaan konsep Wasatiyyah sebagai dasar negara juga dapat mengelakkan salah faham dan kekeliruan terhadap agama Islam berikutan semakin banyak pihak yang cuba menggunakan Islam untuk kepentingan individu atau pihak tertentu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri sentiasa menekankan aspek tersebut melalui prinsip kasih sayang dan perpaduan, memandangkan tindakan dan hukuman keras tidak menggambarkan kehidupan yang berprinsipkan Wasatiyyah.
"Dalam agama Islam sendiri, terasnya adalah kepada ajaran agama, pertembungan dan kekeliruan terhadap Islam boleh membawa kepada perpecahan dalam masyarakat kita.
"Kerajaan telahpun laksanakan program Wasatiyyah ini yang telah terungkap di dalam al-Quran itu sendiri, yang menganjurkan umat Islam supaya menjaga dan membawa kehidupan mereka kepada konsep Wasatiyyah.
"Oleh itu kita sentiasa mengekalkan suasana aman dan stabil berdasarkan kepada pemahaman Wasatiyyah yang kita pegang sendiri," katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Pendekatan Wasatiyyah: Sebagai Dasar Negara di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.
Kira-kira 1,500 peserta dari pelbagai agensi dan jabatan hadir di program itu dengan kehadiran beberapa panel jemputan seperti Profesor Ulung ISTAC, Tan Sri Profesor Dr Mohd Kamal Hassan, Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Yusof Din, Profesor Datuk Mohamad Naser Disa dan Profesor Datuk Dr Sidek Baba.
Antara topik yang dibincangkan adalah "Pendekatan Wasatiyyah Sebagai Dasar Negara" dan "Pendekatan Wasatiyyah: Dalam Menuju Ummah Yang Cemerlang".
Sementara itu, Mohd Yusof dalam ucapan aluannya berkata, Perak menjadi negeri ke-6 dalam melaksanakan dasar tersebut dan merupakan penyertaan paling ramai berbanding lima negeri sebelumnya.
"Tujuan kita untuk promosikan pendekatan Wasatiyyah sebagai cara hidup, dengan mengamalkan kesederhanaan dan keadilan yang sesuai ketika ini, selaras dengan wahyu Allah.
"Ia juga ada hubung kait dengan Maqasid Syariah dan dapat dicapai dalam meletakkan Wasatiyyah sebagai dasar negara'" katanya.

15,000 Hadiri Rumah Terbuka Vasakhi

Lebih 15,000 rakyat berbilang kaum mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Hari Vasakhi Peringkat Negeri Perak yang diadakan di perkarangan Stadium Indera Mulia pada petang Ahad.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sambutan itu adalah medium utama kebudayaan kaum Punjabi dan berjaya membuktikan kesepakatan dan perpaduan kaum di negeri Perak.
Menurut beliau, keistimewaan Perak terletak pada masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama, namun masih dapat hidup dalam toleransi; malah merayakan sambutan sesama kaum dalam suasana penuh harmoni.
"Inilah yang kita hendak kekalkan di negeri ini dan nilai-nilai ini akan membentuk kita menjadi masyarakat yang berfikiran terbuka di samping menghargai dan menghormati kebudayaan dan adat resam kaum lain'" katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Menurut Dr Zambry, kerajaan negeri akan sentiasa menyokong sebarang program dan menyumbangkan bantuan yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan insan kaum Punjabi di negeri ini kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada ahli masyarakat.
Katanya, terdapat sesetengah pihak akan cuba memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian kaum di negeri ini namun kesemuanya tidak akan berjaya jika rakyat Perak dapat bersatu dan menangkis pandangan tersebut.
"Memang terdapat perbezaan di antara kita dari segi amalan budaya dan agama, namun itulah yang menjadikan negeri ini amat unik.
"Justeru hargailah ia dan hidup melalui moto dan prinsip kita, Perak Aman Jaya yang saya ketengahkan sewaktu mula memimpin Perak dulu," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Penyelaras Unit Hal Bukan Islam Negeri Perak, Keshvinder Singh berkata, penyertaan daripada masyarakat setempat adalah amat mengalakkan tahun ini dan disertai oleh komuniti berbilang kaum berbanding pada tahun lepas.
Jelasnya, antara aktiviti dalam majlis rumah terbuka meriah tersebut adalah persembahan dari dalam dan luar negara yang disajikan kepada pengunjung di samping pemberian sumbangan kepada 80 orang kanak-kanak kurang berkemampuan dari sekitar Ipoh.
Turut hadir, Penasihat kepada Menteri Besar, Datuk V. Elango, Pengerusi PPP Perak, Ong Chee Keng dan Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Insan Sikh Perak (PPIS), Datuk Dr. Jasvinder Singh.

Perak Dalam Proses Wujud DUN Belia Negeri

Kerajaan negeri Perak kini dalam proses membuat kaji selidik tentang pewujudan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Negeri Perak.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, pewujudan DUN Belia Negeri Perak mengambil iktibar daripada Parlimen Belia Malaysia yang telah ditubuhkan baru-baru ini.
Beliau mahukan supaya DUN Belia itu nanti akan mewakili semua peringkat belia mengikut agama dan etnik termasuk golongan orang asli, pemimpin pelajar dan golongan profesional.
"Saya mengharapkan ia akan menjadi satu kumpulan pemikir belia sebagaimana yang diaspirasikan dalam Gagasan Perak Amanjaya," katanya semasa berucap merasmikan Festival Belia Perak di Kompleks Belia dan Sukan Negeri di Ipoh pada Sabtu.
Dr Zambry juga mahukan supaya Festival Belia Perak 2015 itu dijadikan festival penyerlahan bakat (Festival of Talent) yang dimulakan pada tahun ini.
Beliau juga mahukan supaya ianya dikembangkan lagi memandangkan Perak mempunyai ramai golongan belia yang berbakat yang perlu diketengahkan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya ketika diminta mengulas isu DUN Belia Perak berkata, beliau tidak mahu isu DUN Belia ini dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
"Buat masa ini kita berfikiran tidak perlu mengadakan proses pilihan raya untuk memilih ahli-ahli DUN Belia ini tetapi cukup sekadar majlis-majlis belia daerah menamakan wakil ataupun calon yang difikirkan sesuai dan kita akan membuat sesi temuduga dan sebagainya," ujarnya.
Katanya, pihaknya akan meminta persatuan-persatuan belia OKU dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mengemukakan calon-calon yang sesuai menjadi ahli DUN Belia Negeri Perak.
"Kita turut akan memilih calon-calon belia yang tidak berpersatuan tetapi mereka mempunyai kumpulan dan minat yang tertentu yang perlu diwakili menjadi ahli DUN Belia Negeri Perak," tambahnya.
Shahrul Zaman juga berkata, sidang DUN Belia Negeri ini akan bersidang pada tahun ini dengan diwakili seramai 63 orang ahli Dewan.
Pada majlis itu Dr Zambry telah menyampaikan mok cek RM500,000 kepada Majlis Belia Negeri Perak untuk tujuan pengupayaan generasi muda.

Perak Guna Unit Air Bergerak Hungary Selesai Masalah Bekalan Terputus

Perak akan menggunakan Unit Air Bergerak daripada negara Hungary bagi menyelesaikan masalah bekalan air terawat khususnya ketika waktu bencana, kata Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata berdasarkan pengalaman semasa menguruskan bencana banjir pada Disember tahun lalu, kewujudan unit bergerak tersebut dapat membantu menyelesaikan masalah bekalan air dengan kadar segera ketika ianya mengalami gangguan.
"Teknologi tersebut menggunakan tiga peringkat penapisan untuk memastikan air dapat dirawat dengan sebaiknya dan selamat untuk diminum," katanya selepas melawat fasiliti kilang pembetungan Budapest Water Works di Budapest, Hungary.
Dr Zambry turut berkata proses tersebut dapat menghasilkan air terawat yang bersih dan berkualiti tinggi.
"Kedua-dua pihak- iaitu Lembaga Air Perak dan Budapest Water Works juga telah bersetuju untuk saling bertukar pendapat berkenaan dengan bekalan dan rawatan air dalam masa terdekat," katanya.
Dalam banjir yang lepas, Lembaga Air Perak terpaksa menggunakan lori tangki untuk mengedarkan air terawat dan bersih kepada mangsa banjir.
Dengan menggunakan teknologi baharu ini, unit tersebut boleh menggunakan air di kawasan persekitaran sebagai sumber air sekaligus dapat menyelesaikan masalah bekalan air dengan lebih segera.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Eksekutif Budapest Water Works, Csaba Haranghy berkata unit bergerak tersebut dapat memproses sebanyak lima meter padu dalam masa sejam, dan juga boleh digunakan untuk merawat air laut.
"Kami lebih senang menggunakan beg plastik berbanding botol kerana ianya adalah lebih ringan dan mudah dibawa," katanya.
Dr Zambry sebelum itu menghadiri taklimat mengenai rawatan sisa air oleh agensi tersebut dan meluangkan masa selama sejam melawat sekitar kawasan fasiliti.
Dr Zambry kemudian menghadiri mesyuarat bersama ahli Suruhanjaya Danube(DC) berpusat di Budapest pada sebelah tengahari.
Suruhanjaya tersebut telah ditubuhkan pada 1815 sebagai platform untuk menguruskan Sungai Danube. Sungai Danube adalah sepanjang 2,850 kilometer dan merentasi 10 negara termasuk Hungary dan Austria.
Dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden DC, Rade Drobac itu, kedua-dua pihak telah berbincang mengenai jalinan usahasama yang lebih mampan.

Perak Mahu Laksana Pelan Tebatan Banjir Jangka Panjang Berdasarkan Modul Austria

Perak bakal dapat atasi bencana banjir di masa hadapan berikutan satu pelan jangka panjang yang lebih efektif berkaitan pengurusan tebatan berdasarkan modul daripada negara Austria, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Bercakap selepas menghadiri beberapa siri perbincangan dengan pihak pengurusan Austria’s Water Management Authority (WMA) dan International Commission for the Protection of the Danube River (ICPDR) di Vienna, beliau berkata, pelan jangka panjang itu perlu bagi memastikan kerajaan negeri dapat mengelak daripada menanggung kerugian akibat bencana banjir.
ICPDR merupakan satu badan dunia terbesar beroperasi di Pusat Antarabangsa Vienna yang bertanggungjawab dalam pengurusan lembangan sungai di Eropah dengan misi utamanya untuk menggalak serta menyelaras air yang mampan bagi penduduk manakala WMA berperanan menambahbaik pengurusan dan memelihara bekalan air bagi negara itu.
Dr Zambry berkata walaupun kerajaan Pusat memperuntukan RM450 juta bagi projek tebatan banjir di Utara Perak, masih banyak perlu dilakukan bagi mengelak bencana itu terus berulang.
“Austria mempunyai rancangan tebatan banjir 100 tahun dan 5,000 tahun, dan pelan itu dinilai semula setiap 10 tahun bagi memastikan ianya sentiasa efektif dan memenuhi keperluan semasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat Pengarah WMA dari Austria Wilfreid Schimon.
Badan itu yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian, Perhutanan, Alam Sekitar dan Pengurusan Air Austria, bukan sahaja bertanggungjawab untuk pengurusan bekalan air malah pengurusan tebatan banjir.
Dr Zambry berkata Perak juga akan melihat kemungkinan untuk mempelbagaikan sumber airnya dengan mendapatkan air daripada bawah tanah supaya ia tidak hanya bergantung dengan air sungai semata-mata.
Katanya sumber utama bekalan air Austria adalah daripada bawah tanah dan Negara itu juga telah berjaya mengatasi sebarang kesan negatif alam sekitar berhubung perlaksanaan itu.
“Kita juga ada mencadangkan perkara sama sebelum ini tetapi ada maklum balas negatif yang kita terima mengatakan pendekatan itu akan menyebabkan mendapan tanah,” katanya.
Dengan pengalaman Negara Austria itu, beliau berkata Lembaga Air Perak akan mengkaji semula pelan air bawah tanah.
Bercakap mengenai Non-Revenue water (NRW), Menteri Besar berkata walaupun Perak dan Vienna menggunakan dua modul berbeza dalam pembekalan air namun kejayaan badan pengurusan air Negara itu dalam menurunkan kadar NRW ke 11 peratus haruslah dikaji.
Sementara itu, Pengerus Besar Lembagai Air Perak Yusof Mohd Isa berkata ketika ini kadar NRW adalah pada 30 peratus namun kadar itu sentiasa menunjukkan penurunan sejak lima tahun kebelakangan ini.
Katanya kejayaan negara itu mengurangkan kadar NRW adalah kerana adanya penyelidikan dan kajian yang mendalam mengenainya.
“Kita masih menggunakan paip daripada bahan yang sama dalam membekalkan air, tetapi mereka telah membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi melaksanakan penyelidikan dan kajian bagi memantau NRW dan usaha ini ternyata berkesan sehingga mereka berjaya menurunkan kadar NRW kepada 11 peratus,” katanya.

Perak Rancang Rombak Sistem Perpustakaan

Perak merancang untuk merombak sistem perpustakaan di negeri ini bagi memastikan ia menjadi hub penyaluran ilmu yang lebih berkesan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perancangan itu dibuat bagi memastikan misi menjadikan Perak sebagai negeri berteraskan ilmu pengetahuan (K-State) dapat dicapai.
Menurut beliau, di negara-negara maju, perpustakaan dianggap sebagai nadi yang mengukur kemajuan sesebuah masyarakat.
"Kita mempunyai 108 perpustakaan dan dengan jumlah ini, kita mengharapkan setiap satu dapat dilengkapkan dengan sistem penyampaian selaras dengan perkembangan ilmu dan masa," katanya ketika satu sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Sudut Koleksi Dr Zambry di Perpustakaan Negeri di Ipoh pada Isnin.
Menurut beliau, antara peracangan yang akan dibuat ialah dengan mewujudkan satu kawasan interaktif untuk semua golongan, termasuk para penyelidik.
Selain itu, beliau juga mencadangkan beberapa sudut koleksi buku tokoh-tokoh yang berasal daripada negeri ini dapat diwujudkan.
"Mereka yang ternama dari negeri ini juga boleh memberi sumbangan kepada perpustakaan dengan buku-buku pilihan, sebagai contoh mewujudkan sudut Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
"Perpustakaan perlu memainkan peranan dalam sistem penyampaian ilmu yang lebih berkesan termasuk perkhidmatan terbaik bagi mencapai misi kita," ujarnya lagi.

Sukan Lasak Produk Pelancongan Terbaharu Pangkor

Kerajaan negeri dan jabatan Perhutanan akan bekerjasama dalam melaksanakan pelan pembangunan bersepadu aktiviti sukan lasak sekitar Pulau Pangkor.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan bersepadu itu adalah inisiatif terbaru untuk mewujudkan satu lagi produk eko-pelancongan bagi negeri Perak.
Menurut Dr Zambry, beliau telah mengesorkan pihak Jabatan Perhutanan untuk menjalankan kajian mengenai kawasan bukit-bukau yang sesuai dijadikan lokasi bagi aktiviti sukan lasak seperti 'mountain-bike challenge', 'orienteering' dan 'flying fox'.
"Selain itu, mereka juga akan mengenalpasti pakej pelancongan samada dalam jarak dekat, sederhana dan jauh untuk ditawarkan kepada pelancong," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menamatkan aktiviti Kembara Rimba sejauh 1.8 kilometer di Hutan Simpan Pangkor Selatan bersempena Hari Hutan Sedunia Peringkat Negeri Perak pada Ahad.
Jelasnya, pihak Jabatan Perhutanan akan mengendalikan pengurusan promosi pelancongan di kawasan bukit-bukau yang berpotensi dijadikan tarikan alternatif selain pantai-pantai di sekitar Pangkor yang memang dikenali ramai.
Dr Zambry berkata, pelan pembangunan bersepadu itu turut memberi peluang kepada pelancong untuk menikmati kesegaran udara dan keindahan flora dan fauna di sekitar Pangkor.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat setempat agar menghargai khazanah alam yang semakin dieksploitasi oleh pelbagai pihak pada hari ini.
"Inilah sumber alam kita yang tidak ternilai harganya, jadi janganlah menodainya dengan rakus dan tamak, kita kena memeliharanya untuk generasi akan datang" katanya.
Program yang dijalankan di Arena Square Pulau Pangkor itu disertai kira-kira 600 pengunjung dan pelajar yang terlibat juga berpeluang memenangi hadiah dalam pertandingan mewarna, "spelling-bee" serta kayuhan "Cyclo-Hunt" sekitar Pangkor.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengerusi Jawatankuasa Sukan,Belia, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Datuk Roslan Ariffin.

Sultan Nazrin Meredah Hujan Ketuai Kayuhan Muhibbah

Hujan lebat tidak menghalang Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah untuk turun mengetuai kira-kira 2,000 peserta Kayuhan Muhibbah bersama rakyat di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada malam Sabtu.
Baginda yang diiringi oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim memulakan kayuhan sejauh 8 kilometer tersebut di Dataran MBI dan berakhir di tempat yang sama.
Turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Setiausaha MBI, Mohammad Zakuan Zakaria berkata, program tersebut mendapat sambutan mengalakkan bukan sahaja daripada wakil-wakil rakyat malah masyarakat setempat berbilang bangsa.
"Walaupun terpaksa meredah hujan lebat, Tuanku Sultan Nazrin tetap berkayuh tanpa henti bersama-sama dengan rakyat jelata dan berjaya menamatkan kayuhan sejauh lapan kilometer.
"Daripada pihak pengurusan, program ini ternyata mencapai matlamat untuk merapatkan hubungan pemimpin bersama rakyat dan diharap dapat diteruskan pada masa hadapan" katanya kepada pemberita selepas menamatkan kayuhannya di hadapan lobi MBI.
Menurutnya, kayuhan muhibbah itu turut diadakan bersempena dengan Hari Bandaraya Ipoh yang jatuh pada 27 Mei depan.
Zakuan berkata, program yang diadakan buat julung kali itu turut menganjurkan pertandingan basikal hiasan LED yang menawarkan wang tunai sebanyak RM1,000 bagi tempat pertama, tempat kedua RM750 dan RM500 bagi tempat ketiga.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon, Pengerusi Infrastruktur,Kemudahan Awam,Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan dan agensi dari sekitar negeri Perak.

Monday, April 6, 2015

Enam individu Dari Perak Sertai IS

Seramai enam individu dari negeri Perak telah dikenalpasti kini menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, jumlah itu tidak boleh dikategorikan sebagai serius walaupun ada dakwaan jumlah itu mewakili 20 peratus daripada keseluruhan lebih 70 rakyat Malaysia menyertai IS ketika ini.
Menurut beliau, jumlah bilangan rakyat negeri ini yang menyertai IS ketika ini tidak pasti untuk tafsirkan sebagai besar atau tidak, namun ia perlu diberikan perhatian serius.
"Mereka yang menyertai IS adalah golongan yang mudah terpengaruh dengan ideologi jihad sama ada yang dibaca menerusi media sosial atau melalui pemahaman daripada rakan sebaya," katanya ketika sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin.
Menurut Dr Zambry, kerajaan negeri sentiasa membendung ideologi yang cuba disebarkan oleh kumpulan militan itu menerusi pemantauan dengan kerjasama pihak berkuasa.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan pihak pembangkang supaya tidak menularkan idelogi kebencian di kalangan rakyat kerana dibimbangi akan mencetuskan keadaan huru hara.
Menurut beliau, idelogi kebencian bagaikan magnet yang akan menarik mereka yang sudah terpengaruh untuk melakukan apa sahaja yang mereka tafsirkan sebagai terbaik untuk menukar kerajaan.
"Apabila keadaan kecoh tercetus, adalah sukar untuk diperbaiki, jadi jangan tanamkan kebencian keterlaluan," katanya.

Wednesday, April 1, 2015

Sultan Perak Memang Murka

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mendedahkan bahawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memang murka dengan tindakan wakil rakyat pembangkang mengenakan pakaian hitam semasa perasmian Sidang DUN pada Selasa.
Sehubungan itu, Dr Zambry mengherdik wakil rakyat pembangkang yang masih mempersoalkan kesahihan kemurkaan tuanku dan mendakwa kononnya beliau dan Speaker DUN yang membuat interpritasi sendiri.
"Saya terkejut dengan soalan mereka bertanya apakah tuanku benar-benar murka ataupun tidak, saya nak jawablah, tuanku murka lah, senang saya cerita. Sebab kalau tidak, dalam soalan Dewan tadi kata, tuanku tidak murka langsung," katanya pada sidang media pada Rabu.
Sebelum ini, dalam usaha mempertahankan tindakan mereka berpakaian hitam pada hari pertama Sultan Nazrin merasmikan Sidang DUN sebagai Sultan Perak, wakil-wakil rakyat pembangkang mendakwa bahawa baginda sebenarnya tidak murka.
Sebaliknya mereka menuduh pihak Menteri Besar, Speaker DUN dan wakil rakyat kerajaan menggunakan nama tuanku untuk menutup isu-isu lain.
Dr Zambry berkata, beliau sendiri bersama dengan Sultan Perak semalam dan selepas perasmian tuanku sepatutnya berangkat ke bilik diraja untuk santapan ringkas, kemudiannya turun mencemar duli untuk bergambar bersama dengan wakil-wakil rakyat, seterusnya menerima mengadap dan bersalam setiap wakil rakyat seperti tradisinya.
"Tapi apabila keadaan sebegitu semalam, habis saja titah ucapan, terus tuanku memaklumkan kepada saya, tuanku perlu berangkat pulang.
"Takkan yang itupun kita tidak faham dan ada di antara mereka yang berkata, tuanku tidak murka, takkanlah kita tidak faham apabila tuanku bertindak begitu," ujarnya.
Menteri Besar mengulangi rasa kecewanya dengan tindakan wakil rakyat pembangkang pada hari bersejarah yang akan menjadi lipatan sejarah, termasuk sejarah hitam yang dilakukan pembangkang.
Sambil menyifatkan tindakan pembangkang itu sebagai biadap dan tidak menghormati institusi raja, beliau menempelak mereka kerana masih cuba menegakkan benang basah.
"Saya ingin bertanya, jika mereka benar-benar ikhlas, kenapa dibuat semalam, bukan hari ini. Mereka ada empat hari lain tetapi kenapa pada hari pertama.
"Kalau membantah mengenai GST, kenapa tidak dilakukan hari ini kerana GST dilaksanakan hari in," ujarnya.