a June 2015 ~ zambry.my

Wednesday, June 24, 2015

70 Peratus Penagih Dadah Di Perak Melayu

Statistik menunjukkan 70 peratus daripada keseluruhan jumlah penagih dadah di Perak adalah daripada bangsa Melayu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, daripada jumlah itu, kebanyakkannya juga terdiri daripada belia.
“Apa jadi masyarakat umat Islam kalau kita bariskan anak muda dalam kampung daripada 10 orang, tujuh orang itu adalah pengguna dadah.
“Jika kita biarkan ia berlarutan, apa jadi masa depan kita, maka pupus lah satu hari nanti akan umat islam ini, akan hilang kekuatan umat kita ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua-ketua Kampung & JKKK di kediaman rasmi beliau pada Selasa.
Justeru itu, Dr Zambry menyeru semua ketua kampung dan JKKK menjalankan tanggungjawab mereka sebagai ketua komuniti dengan komited dan memerangi najis dadah itu secara habis-habisan.
“Saya nak ambil kesempatan ini dan ingatkan peranan sebagai ketua masyarakat, kita perlu ingatkan diri sejauh mana kita buat tanggungjawab yang diamanahkan?
"Ini adalah antara sebab mengapa kita minta ketua kampung perlu membuat laporan berkala dalam sesi mesyuarat dimasukkan agenda pembasmian najis dadah, kerana statistik itu membimbangkan kita. Apa akan jadi kalau kita tidak bertindak?
“Biarlah tuan-tuan tak suka dan makin hamun saya bila anak-anak kampung kita ditangkap, tetapi mengapa kita buat macam itu?
"Kerana kita sayangkan mereka, kita tidak mahu kehilangan kekuatan umat kita di masa akan datang,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Dr Zambry juga menyeru ketua kampung serta JKKK tidak mengira fahaman politik untuk berusaha memastikan jumlah pegundi di kalangan bangsa melayu meningkat.
Katanya, pada Pilihanraya Umum lalu daripada 57 peratus pengundi Melayu, hanya 48% peratus sahaja yang telah keluar mengundi.
“Ini bukan lagi soal bendera apa yang dibawa tetapi ini adalah soal umat, tuan-tuan perlu berusaha memastikan mereka semua turun mengundi,” ujarnya.
Dalam majlis itu, hampir 300 ketua kampung dan JKKK seluruh Perak telah hadir untuk berbuka bersama Menteri Besar.
Selepas selesai solat terawih yang diimamkan oleh Syeikh Osama Mohamad Ikbal, Dr Zambry telah menyampaikan sumbangan kepada kesemua ketua kampung serta JKKK yang hadir.

Tuesday, June 23, 2015

Dr Zambry Kongsi Nikmat Berbuka Puasa Bersama Lebih 600 Masyarakat Bukan Islam

Lebih 600 masyarakat bukan Islam terdiri daripada pelbagai Pertubuhan Bukan Kerr (NGO) Perak berkongsi pengalaman berbuka puasa dalam satu majlis berbuka bersama Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Majlis yang diadakan di kediaman rasmi dianjurkan Menteri Besar malam tadi bertujuan memberi pemahaman kepada bukan Islam mengenai cara umat Islam berpuasa.
Dr Zambry ketika berucap, berkata beliau berhasrat memberi pencahayaan kepada orang bukan beragama Islam mengenai cara-cara umat islam berpuasa dan juga berbuka.
Kata beliau, setiap agama menuntut penganutnya untuk berpuasa dan majlis itu merupakan peluang untuk menonjolkan keindahan Islam dalam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.
“Kita perlu mengenepikan ketakutan di antara satu sama lain dalam beragama sehinggakan kita tidak berkongsi atau pun bercakap hal keagamaan bersama-sama.
“Sudah tentu masyarakat bukan Islam tidak tahu bagaimana orang Islam berpuasa. inilah keindahan beragama, setiap agama berpuasa dan ini adalah cara Islam berpuasa,” katanya ketika berucap dalam majlis itu.
Menurut salah seorang daripada hadirin yang hadir pada majlis itu, Lok Heng Woon, 53 berkata, majlis berbuka itu sedikit sebanyak telah mengubah persepinya terhadap umat islam dalam menjalankan ibadah puasa.
“Banyak yang saya belajar hari ini, sebelum ini saya ingat Islam puasa hanya tidak boleh minum atau makan tetapi rupanya mereka turut perlu menahan segala nafsu sebagai manusia dan menghindari perkara negatif,” ujarnya.
Majlis pada jam 7 petang itu bermula dengan ucapan ringkas Dr. Zambry diikuti dengan majlis berbuka puasa dengan buah tamar. 
Menteri Besar turut meluangkan masa bergambar dan beramah mesra dengan hadirin yang hadir sehingga masuk waktu solat isyak.

Monday, June 22, 2015

Dr Zambry Berbuka Bersama 3,000 Anak Yatim, Pelajar Tahfiz

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meraikan kira-kira 3,000 anak yatim dan pelajar maahad tahfiz dalam majlis berbuka puasa di kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh pada Sabtu.
Majlis dimulakan seawal jam 6 petang dengan persembahan nasyid, tahlil, doa selamat dan bacaan ayat-ayat suci al - Quran.
Selepas berbuka, majlis diteruskan dengan solat Maghrib, Isyak, Terawih dan Witir yang diimamkan oleh Penasihat Agama Menteri Besar, Datuk Kapt (B) Najmuddin Elias serta seorang pelajar tahfiz.
Selepas selesai solat, Dr Zambry meluangkan masa beramah mesra dengan anak-anak yatim dan pelajar tahfiz.
Ketika ditemui media, Menteri Besar berkata, program seumpama itu telah diadakan di kediaman beliau sejak lebih enam tahun lalu.
Malah, kata beliau, di samping program berbuka puasa, anak-anak yatim dan pelajar maahad tahfiz sering hadir ke rumah beliau setiap Khamis malam Jumaat.
"Mereka pun telah mesra dengan saya, malah menjadikan rumah ini umpama sebahagian daripada rumah mereka," katanya.
Tambahan pula, kata Dr Zambry, kumpulan anak-anak yatim dan tahfiz sudah seumpama sebahagian daripada keluarga besar beliau di negeri ini.

30 Keluarga Sambut Raya Di Rumah Baharu

Sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini sangat bermakna buat 30 keluarga apabila mereka menerima kunci kediaman Pangsapuri Damai, Teluk Dalam.
Pemberian kunci rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat( PPR) itu diserahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di dalam satu majlis di Teluk Dalam, Pangkor pada petang Jumaat.
Dr Zambry berkata, sebanyak RM2.1 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri bagi menampung keperluan subsidi projek perumahan yang disalurkan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
"Pangsapuri 3 bilik ini telah diberikan kepada belia generasi kedua di Telok Dalam yang sudah berkahwin dan sukar untuk mendapatkan kediaman sendiri.
"Diharap dengan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di bawah PKNP ini, mereka mampu tinggal di kediaman lebih selesa dan milik mereka sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci itu.
Menurut Dr Zambry, hasil subsidi kerajaan negeri, harga sebuah unit rumah adalah sebanyak RM42,000 berbanding harga jualan asal bernilai di antara RM55,000 hingga RM81,000 seunit.
Jelasnya, kos penyelenggaraan berjumlah RM 1.8 juta turut ditanggung oleh kerajaan negeri, justeru setiap penerima kediaman hanya perlu membayar ansuran sebanyak RM117 sebulan selama 30 tahun.
"Kerajaan negeri akan sentiasa bekerjasama dengan Bahagian Perumahan Awam, Yayasan Bina Upaya dan PPR dalam merealisasikan azam ,memacu hasrat dalam meningkatkan kadar pemilikan rumah di kalangan rakyat negeri ini menjelang tahun 2018," katanya lagi.
Salah seorang penerima, Sulizah Mat Zain,35 berkata, beliau amat bersyukur di atas pertolongan kerajaan negeri dalam mendapatkan sebuah kediaman untuk seisi keluarganya.
"Projek ini telah terbengkalai sejak sekian lama dan pada waktu itu memang amat risau, namun syukur saya telah mendapatkan kunci dan bakal masuk mendiami rumah pada 1 Julai ini.
"Memang tidak dapat digambarkan betapa gembiranya saya dan keluarga, bukan sahaja harga ansuran amat berpatutan malah keadaan rumah selesa dan ruang cukup untuk kami," katanya.

Jadikan Masjid Tempat Penyatuan Ummah

Umat Islam di negeri ini diminta menjadikan masjid sebagai tempat penyatuan ummah sepertimana yang disarankan oleh agama Islam.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, mereka seharusnya menjadikan masjid sebagai tempat perpaduan ummah dan bukannya tempat memecah-belahkan ummah.
"Jadikanlah masjid sebagai tempat kita berkasih sayang , memantapkan penyatuan dan perpaduan ummah," katanya semasa berucap di Majlis Pengisytiharan Masjid Baru Al-Arfiah dan Mula Diri solat Jumaat di Kampung Batu 3, Segari pada Jumaat.
Pengisytiharan masjid baru berharga RM3.5 juta itu telah disempurnakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Sementara itu semasa bercakap kepada pemberita, Dr Zambry melahirkan rasa puashati dan kelegaannya apabila masjid baru itu dapat disempurnakan dalam bulan Ramadan ini.
"Saya sendiri mengambil perhatian khusus tentang pembinaan masjid ini kerana ia terletak di bawah DUN saya.
"Keindahan dalam masjid ini juga adalah atas usaha saya dan beberapa rakan yang memberi perhatian khusus terhadap aspek senibina dan estitika masjid," katanya.

Wednesday, June 17, 2015

Selamat Menjalani Ibadah Puasa




SAYA ZAMBRY ABD KADIR, MENTERI BESAR PERAK MENGUCAPKAN SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA KEPADA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT KHASNYA PENDUDUK NEGERI PERAK. SEMOGA KITA MENDAPAT LEBIH KEBERKATAN PADA RAMADAN KALI INI.