a March 2016 ~ zambry.my

Tuesday, March 29, 2016

Connecting The Unconnected - Capaian Internet Lebih Baik Di Pos Kemar

Dalam usaha menangani masalah gangguan saluran penyampaian maklumat dan perkhidmatan awam yang kurang efektif kepada masyarakat Orang Asli di Perak

Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengaktifkan Program "Connecting The Unconneted" (CTU) .

Ia melibatkan Pos Poi dan Pos Kemar di Gerik.

YAB MB Perak Dato' Seri Zambry Abd. Kadir mengiringi Menteri Komunikasi Dan Multimedia Dato Seri Dr. Salleh Said Keruak merasmikan program tersebut

Wednesday, March 23, 2016

Proton Terus Operasi Di Tg. Malim

Kerajaan negeri telah memanggil proton uituk memberikan taklimat tentang pembangunan seterusnya di kawasan Tanjung Malim, ini kerana kerajaan negeri memberi perhatian utama kepada pembangunan keseluruhan khususnya kepada kawasan daerah baru Muallim. 

Proton yang dijangkakan akan menjadi katalis kepada daerah baru ini diharap dapat memainkan peranan sebaik baiknya.

Proton memaklumkan rancangan pembangunan kawasan tersebut masih berada di landasannya, pihak Proton tidak merancang sama sekali untuk menutup kawasan industrinya khususnya kawasan Proton Tg. Malim

Perjelesan ini memandangkan ada ura-ura yang mengatakan Proton tidak akan meneruskan pengeluaran kereta mereka dan memberi impak yang tidak baik kepada Daerah baru Mualim. 


Berdasarkan penjelasan dan perancangan yang mereka lakukan, Proton berada di landasan projek untuk masa hadapan menjelang 2020. Proton juga menjelaskan mengenai model-model baru yang bakal berada di pasaran dan pengeluarannya di Kilang Tg. Malim.

Friday, March 18, 2016

Kerabat Diraja Palsu. Serah Isu Pada Polis



Kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat individu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kerabat diraja Perak kerana penglibatannya dengan aktiviti penganugerahan darjah kebesaran palsu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya yakin perkara itu dapat diselesaikan sebaiknya oleh pihak polis.

“Saya harap pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan sebaik-baiknya.

“Kelmarin, ke bawah duli Tuanku juga menitahkan akan perkara yang serius ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, semalam.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan seumpama itu diminta supaya memaklumkan kepada pihak polis dalam kadar segera.

“Kita mahu semua orang yang mempunyai maklumat, tampil ke hadapan untuk bantu pihak polis,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pihak polis menghadap dan menyembahkan laporan terperinci berkaitan individu yang mendalangi kegiatan tersebut.

Titah baginda, sekiranya aktiviti berkenaan tidak banteras maka dikhuatiri akan mengakibatkan ramai individu yang memiliki darjah kebesaran palsu.

Maklum Balas Baik Terhadap Program Pemukiman



"Pemimpin di peringkat kebangsaan memberi maklum balas yang baik terhadap program pemukiman anjuran kerajaan negeri di Hulu Perak bulan lepas," kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Bagaimanapun, Zambry berkata, kerajaan negeri akan terus menambah baik program itu dengan melaksanakan pendekatan yang lebih kreatif pada program seterusnya yang bakal berlangsung di daerah Kerian.

"Aktiviti baharu akan dilaksanakan pada program itu termasuk aktiviti yang diadakan oleh Exco kerajaan negeri di setiap kawasan yang telah ditetapkan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Menurutnya tarikh penganjuran program di Kerian akan dimaklumkan kelak.

Mengenai program pemukiman di Hulu Perak yang berlangsung selama lima hari bermula 23 Februari lalu, Zambry berkata, pihaknya telah menjalankan kajian termasuk mengambil kira maklum balas daripada masyarakat terhadap aktiviti yang dijalankan di kawasan itu.

"Kita telah mengenal pasti beberapa isu di Hulu Perak iaitu lapan isu berkaitan isu tempatan dan hampir 20 isu berkaitan pembangunan. Isu yang dibangkitkan di setiap kawasan akan diteliti sebaik mungkin," katanya.

Sebanyak 137 program dilaksana sepanjang tempoh pemukiman siri pertama tahun ini di Hulu Perak yang mana Zambry sendiri turun padang pada sebahagian program untuk melihat dan mendengar aduan rakyat termasuk daripada golongan Orang Asli. - Bernama

Thursday, March 10, 2016

Pelabuhan Terminal Maritim Lumut Siap Sebelum 2020

Projek pembesaran pelabuhan Terminal Maritim Lumut di Kampung Acheh di sini dengan kos RM200 juta dijangka siap sebelum 2020.

Majlis pecah tanah projek itu yang antara lain melibatkan kerja memanjangkan pelabuhan daripada 510 meter sekarang kepada satu kilometer disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini.

Zambry dalam sidang media berkata, projek pembesaran itu selari dengan operasi yang semakin sibuk selain bertujuan menampung keperluan pelabur pada masa hadapan.

Menurutnya, sejak 20 tahun lalu, pelabuhan itu yang dikendalikan Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd mengendalikan lebih 45 juta tan metrik kargo dan kira-kira 7,400 kapal dari seluruh dunia.

"Ia satu perkembangan baik memandangkan pelabuhan ini bukanlah pelabuhan utama berbanding Pelabuhan Klang, Selangor dan Pelabuhan Pasir Gudang, Johor.

"Pihak pengurusan telah mengatur pelbagai perancangan untuk menjadikan pelabuhan ini lebih besar dan seterusnya mengendalikan pelbagai bentuk kargo pada masa akan datang," katanya.

Zambry turut mencadangkan supaya pelabuhan berkenaan mengendalikan 'kargo bersih' seperti makanan berbanding hanya tertumpu kepada 'kargo kotor' sekarang termasuk arang batu, tanah liat dan kapur.

"Selain itu, pelabuhan ini juga mungkin dapat dijadikan tempat kapal mewah berlabuh," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan sesuai untuk mewujudkan satu lagi pelabuhan baharu di daerah Hilir Perak bagi melengkapkan rangkaian pelabuhan di pesisiran pantai di Perak.

Katanya, rundingan dengan pihak berkaitan sama ada dari dalam atau luar negara juga telah diadakan bagi merealisasikan cadangan tersebut.

Mengulas mengenai cadangan untuk membangunkan kawasan baharu dikenali sebagai Manjung 2, Zambry berkata ia perlu memandangkan Bandar Seri Manjung sekarang semakin padat.

"Bandar Seri Manjung sekarang bukan sahaja padat dengan penduduk, tetapi ia turut mengalami kepesatan pembangunan," katanya sambil menambah Manjung 2 mungkin dibangunkan sehingga ke Beruas. - Bernama

Dewan Belia Medan Ujian Anak Muda

Dewan Belia Perak disifatkan sebagai medan ujian buat generasi muda untuk bersama-sama memikul amanah bagi memastikan isu rakyat terutama berkaitan golongan muda dapat diperbahaskan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tindakan kerajaan negeri untuk menubuhkan Dewan Belia Perak bukan sekadar tayangan atau pameran, tetapi merupakan keazaman untuk membentuk generasi pelapis bagi mencorak kehidupan masa depan.

Menurutnya, platform itu menjadi ruang terbaik untuk belia mengetengahkan cara baharu dalam melihat sesuatu isu, mempamerkan keterbukaan dalam membahaskan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat dan negeri serta memberikan cadangan atau idea yang bersifat di luar kebiasaan.

“Malah melalui Dewan Belia Perak ini diharapkan akan lahirlah gagasan besar serta hala tuju yang jelas, bagaimana rupa wajah negeri dan rakyat pada masa akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Dewan Belia Negeri Perak di sini, semalam.

Zambry berkata, walaupun proses pemilihan bukan seperti pilihan raya, namun ia tidak sedikit pun mengurangkan amanah dan tanggungjawab seseorang individu untuk menjadi perwakilan di Dewan Belia tersebut.

Katanya, soal kaedah pemilihan serta pelantikan adalah sesuatu yang amat luas tafsirannya, malah ada yang berkata tanpa pemilihan melalui pilihan raya, perwakilan Dewan Belia Perak tidak mencerminkan representasi sebenar.

“Sebenarnya, pemilihan perwakilan untuk Dewan Belia telah mengambil kira perwakilan dalam kalangan generasi muda yang terlibat dengan pelbagai pergerakan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sekitar 20 peratus sahaja daripada 900,000 populasi belia di negeri ini aktif dalam gerakan persatuan dan pertubuhan,” katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Sidang Dewan Belia yang dianggotai 60 ahli Dewan Belia bermula dengan sesi mengangkat sumpah yang dimulakan Speaker Dewan Belia, Salbiah Mohamed dan Timbalan Speaker, Hasnul Fairuz Hushin Amri diikuti semua perwakilan.

Sidang diteruskan dengan ucapan perasmian daripada Zambry yang berharap kesemua perwakilan menggunakan peluang itu untuk berbahas dengan baik dan memberikan idea demi pembangunan negeri ini.

Perwakilan akan berbahas mewakili tujuh jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Ekonomi, Usahawan, Pelancongan dan Pengantarabangsaan; Jawatankuasa Sosial, Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita; Jawatankuasa Pendidikan, Kerjaya, Sukan, Kebudayaan dan Kesenian; Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Modal Insan dan Integrasi Nasional; Jawatankuasa Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia; Jawatankuasa Prasarana, Pembangunan, Kesihatan dan Alam Sekitar dan Jawatankuasa Pencegahan Jenayah, Masyarakat Sivil dan Patriotisme.




Mesyuarat pertama Dewan Belia ini turut mendapat sokongan wakil rakyat BN dan Pas. Antara yang hadir adalah Speaker Dun Perak, Datuk Seri SK Devamany; Timbalan Speaker, Datuk Nasaruddin Hashim; Exco Kerajaan Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Datuk Samsudin Abu Hasaan; Adun Lubuk Merbau, Siti Salmah Mat Jusak, Datuk Aminuddin Md Hanafiah (Hulu Kinta), Maslin Sham Razman (Bukit Chandan), Datuk Mohd Azhar Jamaludin (Changkat Jong), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (Slim), dan beberapa Adun BN yang lain.

Seramai 60 ahli Dewan Belia merakamkan kenangan di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan