a Maklum Balas Baik Terhadap Program Pemukiman ~ zambry.my

Friday, March 18, 2016

Maklum Balas Baik Terhadap Program Pemukiman



"Pemimpin di peringkat kebangsaan memberi maklum balas yang baik terhadap program pemukiman anjuran kerajaan negeri di Hulu Perak bulan lepas," kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Bagaimanapun, Zambry berkata, kerajaan negeri akan terus menambah baik program itu dengan melaksanakan pendekatan yang lebih kreatif pada program seterusnya yang bakal berlangsung di daerah Kerian.

"Aktiviti baharu akan dilaksanakan pada program itu termasuk aktiviti yang diadakan oleh Exco kerajaan negeri di setiap kawasan yang telah ditetapkan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Menurutnya tarikh penganjuran program di Kerian akan dimaklumkan kelak.

Mengenai program pemukiman di Hulu Perak yang berlangsung selama lima hari bermula 23 Februari lalu, Zambry berkata, pihaknya telah menjalankan kajian termasuk mengambil kira maklum balas daripada masyarakat terhadap aktiviti yang dijalankan di kawasan itu.

"Kita telah mengenal pasti beberapa isu di Hulu Perak iaitu lapan isu berkaitan isu tempatan dan hampir 20 isu berkaitan pembangunan. Isu yang dibangkitkan di setiap kawasan akan diteliti sebaik mungkin," katanya.

Sebanyak 137 program dilaksana sepanjang tempoh pemukiman siri pertama tahun ini di Hulu Perak yang mana Zambry sendiri turun padang pada sebahagian program untuk melihat dan mendengar aduan rakyat termasuk daripada golongan Orang Asli. - Bernama

0 comments:

Post a Comment