a RM100 Kepada Anggota Dun Belia ~ zambry.my

Monday, February 15, 2016

RM100 Kepada Anggota Dun Belia

Kerajaan negeri akan memberikan RM100 sehari sebagai saguhati kepada anggota Dun Belia setiap kali persidangan berlangsung. Saguhati itu adalah tambahan kepada penyediaan penginapan, makanan dan suit kepada setiap peserta bagi menjadikan sidang tersebut seperti keadaan sebenar.

Menteri besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, hasrat penubuhan Dun Belia Perak ini merupakan wadah untuk generasi muda di negeri ini melontarkan idea dan gerak kerja bernas pada masa sama mengasah bakat-bakat baharu sebagai pelapis kepimpinan negeri.

“Sebelum ini kita bergerak melalui Majlis Perundingan Belia yang diadakan setiap tahun. Kini ditingkatkan ke taraf sidang Dun dan mewakili pertubuhan masing-masing untuk berbahas.

“Perak adalah negeri pertama yang membenarkan anggota Dun Belia bersidang di Dewan Negeri yang persidangan pertamanya akan diadakan pada 5 hingga 6 Mac depan,” katanya selepas majlis pelancaran dan penyerahan watikah Majlis Perundingan Pemimpin Muda Perak Amanjaya (MP2MPA), semalam.

Beliau berkata, penglibatan orang muda penting kerana mereka lebih faham perspektif dan pemikiran dalam kalangan belia.

“Saya mengharapkan 60 anggota Dun Belia yang terpilih ini akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebaiknya dalam membahaskan isu-isu demi pembangunan golongan muda,” katanya.

Sementara itu, Speaker Dun Belia, Salbiah Mohamed tidak menyangka dipilih menjadi Speaker wanita pertama memikul tanggungjawab tersebut.

Salbiah yang juga Adun Temengor berkata, pemilihan dirinya menunjukkan bahawa kerajaan negeri mendengar suara wanita selain tidak bercakap kosong dalam usaha mengupayakan wanita. “Saya akan menjalankan tugas ini sebaiknya dan berharap pembahas dapat memberikan pandangan yang mampu memberikan impak kepada kehendak anak muda,” katanya.

0 comments:

Post a Comment