a 810 Ketua Kampung Seluruh Negeri Terima Watikah Pelantikan ~ zambry.my

Friday, February 5, 2016

810 Ketua Kampung Seluruh Negeri Terima Watikah Pelantikan

Seramai 810 ketua kampung di negeri ini menerima watikah pelantikan tugas bagi sesi 2016 hingga 2017.

Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Kampung/Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) negeri Perak kali ini turut menampilkan 91 muka baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengingatkan tugas yang diberikan itu adalah amanah untuk membantu masyarakat.

Menurutnya, peranan itu sangat penting kerana melibatkan pemimpin hingga ke peringkat akar umbi, sekiranya rosak atau gagal serta tidak berupaya, ia turut memberi gambaran buruk kepada kerajaan yang ada kini.

“Ketua kampung bukan sahaja perlu melihat masalah yang ada dalam kawasan termasuk membanteras gejala penagihan dadah di kawasan masing-masing.

“Kita bekerja dalam satu pasukan supaya dapat mengatasi masalah ini kerana bukan hanya melibatkan satu kaum tetapi semua kaum,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan, kelmarin.

Sementara itu, ketua kampung wanita pertama di negeri ini, Esah Ahmad, 55, turut mengakui tugas yang diamanahkan ini adalah tanggungjawab besar malah berjanji akan melakukan yang terbaik bagi memenuhi harapan dan kepercayaan kepadanya untuk memimpin kampung.

“Tiada perubahan pada diri saya. Sebelum ini saya juga menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Wanita, jadi sudah terbiasa dengan kerja-kerja bersama masyarakat.

“Paling penting saya memerlukan sokongan semua orang untuk menjayakan misi dan hasrat kerajaan negeri selain membantu penduduk yang memerlukan,” katanya.a

0 comments:

Post a Comment