a January 2015 ~ zambry.my

Thursday, January 29, 2015

Naiktaraf Tempat Menarik Di Ipoh Sebagai Tarikan Antarabangsa

Tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar Bandaraya Ipoh harus dinaiktaraf untuk menjadikannya sebagai pusat tarikan antarabangsa.
Sebagai contoh kawasan jejak warisan (heritage trail) perlu dinaiktaraf dengan penceriaan lampu-lampu jalan agar pengunjung sentiasa berada dalam keadaan selamat.
Di samping itu, banyak lagi bangunan bersejarah yang boleh dijadikan tarikan pelancongan seperti Masjid Panglima Kinta.
Satu lagi kawasan tarikan yang perlu dipelihara dan dijaga ialah Sungai Kinta di mana kini berlakunya hakisan tebing
Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta mengambil langkah membina benteng bagi mencegah berlakunya kejadian hakisan tebing di sungai berkenaan.
Saya mengharapkan kerjasama orang ramai, ahli-ahli majlis dan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) supaya dapat terus menjaga dan memulihara dengan menjadikan Bandaraya Ipoh sebuah bandaraya yang terbaik.
Ini penting kerana untuk memastikan Ipoh menjadi sebuah bandaraya terbaik, ia amat memerlukan kerjasama semua pihak dan pihak MBI pula perlu sentiasa bersifat dinamik.
Jadi kalau kita mahu menjadikan Ipoh bandaraya kebanggaan kita, maka kita mesti mempunyai semangat untuk memulihara dan menjaganya dengan sebaiknya.

Kerajaan Rugi RM102 Juta Akibat Pemilik Tanah Degil Lunas Cukai Tanah

Kerajaan mengalami kerugian hampir RM102 juta akibat tindakan pemilik-pemilik tanah industri, bangunan dan perniagaan di seluruh negeri ini yang gagal men jelaskan tunggakan cukai tanah mereka sepanjang tahun 2014.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tindakan menyenarai hitamkan mereka dengan CTOS dan CRISS perlu berikutan mereka adalah pesalah tegar.
Menurut beliau, kerajaan menerusi Pejabat Tanah dan Galian mendapati kalangan pesalah tegar ini tidak melunaskan cukai tanah sehingga tujuh tahun lamanya meskipun sudah diberi surat amaran berulang kali.
"Tindakan yang kita maksudkan ditujukan kepada mereka yang sudahpun bertahun-tahun lama tidak mahu membayar cukai tanah sama ada dalam keadaan ekonomi baik ataupun ekonomi tidak, mereka seolah-olah tidak peduli walaupun amaran telah diberikan," katanya.
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak, Datuk Syed Mokhtar Syed Idris yang mendedahkan sebuah syarikat terkenal di negeri ini yang tersenarai di Bursa Saham akan disenarai hitamkan dengan CTOS dan CCRIS kerana gagal menjelaskan tunggakan cukai tanah yang berjumlah RM1.2 juta.
Syarikat terbabit adalah antara 220,720 pemilik yang bakal disenaraikan dengan CTOS dan CCRIS kerana gagal menjelaskan tunggakan cukai tanah bagi tahun 2014 yang berjumlah RM75,222,687 juta.
Dr Zambry turut menjelaskan bahawa tindakan keras kerajaan negeri ini bukan melibatkan dasar baru tetapi sebagai amaran kepada yang pemilik tanah yang liat membayar supaya berbuat demikian secepat mungkin.
Katanya, kerajaan tidak boleh membiarkan sikap melenggah-lenggahkan bayaran cukai tanah kerana ia boleh merencatkan pentadbiran serta pembangunan yang dirancang.
"Sekiranya kita tidak dapat kutip hasil, maka kerajaan negeri tidak akan mempunyai sumber pendapatan yang cukup untuk menampung perbelanjaan mengurus serta membangunkan negeri. Paling penting, kesemua hasil yang dikutip ini akan kita belanjakan untuk projek-projek kepentingan rakyat," katanya.

Monday, January 26, 2015

Kebersihan Ipoh Mendukacitakan, Perlu Kesedaran Sivik

Satu lawatan mengejut di sekitar bandaraya Ipoh dijalankan bermula seawal 8 pagi pada Ahad. Lawatan bermula di stesen Keretapi Tanah Melayu(KTM) dan berakhir pada 1 tengahari itu turut disertai oleh Datuk Bandar Ipoh, Harun Rawi dan beberapa anggota MBI yang lain.

Keadaan di sekitar Ipoh memang amat menyedihkan, lihat sahaja sampah-sarap dan bekas-bekas makanan yang ditinggalkan oleh masyarakat, ini satu perkara yang amat memalukan buat negeri Perak.
Sebagai contoh, stesen keretapi KTM merupakan salah satu pintu masuk dan gateway kepada negeri Perak, bayangkan perasaan pelancong atau sesiapa sahaja yang turun dan melihat sampah yang berselerak di Dataran MBI.
Kesemua pihak harus bekerjasama dalam mengekalkan kebersihan setempat serta memelihara keindahan di bandar Ipoh seperti lukisan mural, deretan Memory Lane dan kedai-kedai lama yang mewujudkan suasana nostalgia kepada yang menggemarinya.
Pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diperingatkan untuk membersihkan dan sentiasa memeriksa semula penyelenggaran sampah-sarap, rumput panjang, longkang dan lampu jalanan yang perlu diperbaiki.
Kesedaran sivik perlu disemai di dalam diri setiap warga Ipoh dalam memastikan bandaraya warisan itu terus menjadi salah satu lambang pembangunan negeri Perak.

Saturday, January 24, 2015

12 Fokus Penjawat Awam Negeri Perak bagi tahun 2015





DALAM perutusan Executive Talk di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada pagi 22 Januari 2015, Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd. Kadir menggariskan 12 perkara yang perlu diberi fokus oleh penjawat awam di Negeri Perak bagi tahun 2015.

Intipatinya adalah seperti berikut:

1. Selesaikan masalah banjir

Kita perlu tangani masalah yang timbul pasca banjir, iaitu masalah kesihatan dan jangkitan penyakit seperti demam denggi dan leptospirosis. Membaik pulih sistem saliran, perparitan dan rumah-rumah yang rosak. Marilah buat kerja bersama-sama untuk selesai masalah ini. Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada hero dan heroin yang tidak didendang tetapi melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan penuh amanah. Tuan-tuan dan puan-puan telah melaksanakan pengurusan banjir yang terbaik dan diiktiraf oleh pemimpin negara.

2. Majlis Bandaraya dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)
Saya ulang peringatan yang diberi pada tahun lalu iaitu beri perhatian kepada lima perkara iaitu rumput mesti dipotong, sampah sarap dibersihkan, longkang perlu dibersihkan, lanskap dan keindahan dipertingkatkan, lampu jalan perlu diceriakan. Bandar perlu ada roh, perlu ada identitinya, Jangan buat perancangan yang akan merosakkan aspek ini. Jangan tebang pokok-pokok besar. Pastikan semua bandar di Perak ceria. Jalan berlopak, sila segerakan pembaikannya. Pembaikan perlu dilakukan 24 jam selepas kita terima aduan daripada rakyat. Ini melibatkan soal nyawa pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.

3. Teruskan Turun Padang

Program 3P iaitu Padang, Perasaan dan Penyelesaian perlu diteruskan dan diaktifkan, teruskan laksana program 3P di setiap daerah. Kita turun padang, rasai masalah rakyat dengan perasaan dan empati, sama-samalah selesaikan masalah mereka. Saya akan turun padang sebagaimana komitmen yang telah saya berikan.

4. Isi kekosongan jawatan
Jika berlaku kekosongan jawatan, segera isi jawatan itu. Jangan sampai berbulan-bulan tidak diisi. Sebagai contoh, jawatan pengarah di jabatan. Kita perlu ketua di pejabat, apabila pengarah tiada, bagaimana kakitangan hendak melaksanakan tugas secara efektif.

5. Semak kualiti kerja-kerja terutama projek infra.
Rakyat sudah semakin pandai menilai kualiti kerja yang dilaksanakan oleh jabatan awam. Contohnya, kita belanja RM7 juta untuk projek jalan kampung di Pos Kemar tetapi sekali kena hujan lebat, jalan tersebut rosak teruk.

6. Cadangan projek-projek untuk RMK-11
YAB Perdana Menteri akan umumkan pada bulan Mei ini. Kita perlu buat persediaan cadangan-cadangan ini. Pastikan Perak ada IPD-IPD yang baru, usaha meningkatkan kualiti infrastruktur di Pulau Jarak, menaik taraf institusi pengajian tinggi (IPT) negeri kepada IPT awam.

7. Bincang dengan kerajaan negeri untuk keutamaan projek-projek negeri.

8. Semak manifesto Barisan Nasional (BN)
Ini janji kita, tolong pantau sama-sama, contohnya kita janji 20,000 unit perumahan mampu milik. Telitikan semua janji-janji ini, kita sangat serius dalam perkara ini.

9. Kurangkan jenayah
Tidak guna negeri maju kalau rakyat kita rasa takut. Bagus dengan adanya indikator yang menunjukkan turun naik jenayah, tetapi kena ingat ketakutan itu berkaitan dengan perasaan yang menghantui rakyat. Mereka akan rasa tidak selamat untuk bekerja dan sebagainya.

10. Perangi dadah
Ini masalah serius yang meresapi anak-anak kita. Dadah sekarang murah dan mudah diperolehi.

11. Kesihatan rakyat
Ambil perhatian tentang kesihatan rakyat - leptospirosis, denggi. Nyamuk tak kenal darjat, SS pun kena denggi. PBT dan jabatan kesihatan perlu bertindak. Jangan ambil mudah demam yang berlarutan.

12. Minta semua jabatan membantu untuk menambah hasil negeri bagi mencapai matlamat pembangunan negeri dan pertumbuhan negeri.


Akhir sekali, semua yang kita cakap tadi terangkum dalam aspek kepimpinan yang terbit dari semangat, dari jiwa sanubari kita semua. Semoga kita dapat digerakkan atas matlamat yang kita mahukan, perlu ada sense of purpose and values, kesungguhan untuk kita buat sesuatu kerja. Itulah nilai komitmen kita. Clarity of our purpose.

12 Fokus Utama Tahun 2015


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggariskan 12 fokus utama untuk dilaksanakan sepanjang tahun 2015.
12 fokus itu ialah:-
1. Menyelesaikan masalah banjir.
2. Majlis Bandaraya dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menumpukan kepada lima isu asas iaitu rumput, sampah, longkang, lanskap dan lampu jalan.
3. Melaksanakan pendekatan 3P (padang, perasaan, penyelesaian).
4. Mengisi segera kekosongan jawatan di jabatan dan agensi kerajaan.
5. Semakan kualiti kerja projek-projek infrastruktur.
6. Persiapan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).
7. Memastikan manifesto Barisan Nasional dilaksanakan.
8. Pengurangan jenayah.
9. Gejala dan ancaman dadah.
10. Kesihatan rakyat.
11. Usaha menambah hasil negeri.
12. Hubungan antara wakil rakyat dan jabatan awam.
Pada Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2015 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan yang bertajuk 'Menuju Matlamat' pada Khamis, Menteri Besar berharap kakitangan kerajaan memahami hala tuju untuk mencapai Gagasan Perak Amanjaya.
Menurut beliau, gagasan itu amat penting, bukannya sekadar wawasan pemimpin negeri tetapi ia digarap dengan teliti setelah mengambil kira denyut nadi majoriti rakyat.
Bagaimanapun, beliau mahu kakitangan kerajaan supaya berani mengakui kelemahan serta kekurangan, realistic serta optimistik dan jangan mengamalkan sikap 'yes sir'.
Dalam ucapannya, Dr Zambry mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan pengurusan banjir kerana telah melaksanakan gerak kerja yang baik sehingga menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.
Beliau juga mahu PBT mengambil perhatian serius terhadap jalan-jalan berlopak dan membaikinya dalam tempoh 24 jam kerana ia boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna, khususnya penunggang motosikal.
Di samping itu, beliau meminta semua kekosongan jawatan, baik di peringkat negeri, mahu pun persekutuan supaya mengisi segera kekosongan bagi melancarkan lagi program pembangunan yang dirancang.
"Saya tidak mahu lagi mendengar cerita terdapat jabatan yang jawatan pengarahnya kosong hingga satu setengah tahun kerana ia adalah keperluan," ujar beliau.
Ketika menyentuh isu kualiti kerja projek infratruktur, Dr Zambry memberi contoh jalan di Pos Kemar di Gerik yang menelan kos RM7 juta, rosak walaupun tidak sampai dua tahun disiapkan.
Dalam pada itu, beliau mahu penjawat awam juga menemak manifesto kerajaan Barisan Nasional (BN) dan memastikan janji-janji yang dibuat di dalam manifesto itu dilaksanakan.
"Kita tidak mahu dilihat sebagai kerajaan yang menipu rakyat, saya harap ini dapat diambil tindakan dan kita sangat serius dalam hal ini," tegas beliau sambil memberi contoh salah satu janji kerajaan BN ialah untuk membina 20,000 rumah mampu milik.

Wednesday, January 7, 2015

3,500 Keluarga Mangsa Banjir Terima Bantuan Keperluan Asas

Biro Kebajikan UMNO Malaysia telah menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada 3,500 keluarga yang terlibat dalam bencana banjir di negeri Perak baru-baru ini.
Bantuan keperluas asas itu yang berupa 2,500 dapur, 2,500 unit tilam dan 4,000 bantal telah disampaikan oleh Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Bangunan UMNO Negeri di Ipoh sebentar tadi
3,500 keluarga yang menerima bantuan itu adalah berupa penerima yang telah mendaftar dan kini berada di pusat-pusat pemindahan banjir.
Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kepada Biro Kebajikan UMNO yang diterajui oleh Datuk Seri Abdul Azeez dan juga pasukan beliau yang bekerja bertungkus lumus bagi memastikan masalah mangsa-mangsa banjir ini dapat diselesaikan selepas banjir berlaku
Keperluan asas yang diberikan ini adalah bagi membolehkan keluarga terbabit memulakan kehidupan mereka selepas banjir.

Tuesday, January 6, 2015

Sesi Persekolahan Beberapa Buah Sekolah Di Perak Tengah Mungkin Ditunda

Sesi persekolahan beberapa buah sekolah di daerah Perak Tengah yang dijadualkan bermula Isnin depan mungkin terpaksa ditunda kerana masih digunakan sebagai pusat pemindahan sementara mangsa banjir.

Ia akan diputuskan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan MARA.

Perkara itu telah dibincangkan secara tidak rasmi dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat Perak baru-baru ini.

Kita akan mendapatkan maklumat lanjut tentang kedudukan semasa dan sekiranya ia masih lagi tidak dapat kita selesaikan, atau mereka tidak dapat pulang ke rumah masing-masing, Jabatan Pendidikan dan pihak MARA sendiri akan mengambil tindakan selanjutnya samada tarikh persekolahan akan dilanjutkan ataupun tidak.

Monday, January 5, 2015

Pembanterasan Jenayah Agenda Utama

Kerajaan negeri bertekad menjadikan pembanterasan jenayah sebagai salah satu agenda utama dalam memastikan kesejahteraan masyarakat setempat, khususnya dari aspek keselamatan dan keamanan di kalangan komuniti.


Pihak polis harus sentiasa mengambil kira perspektif dan perasaan orang ramai dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di dalam mengurangkan peratusan kadar jenayah di negeri ini.
Berdasarkan laporan daripada pihak polis, trend jenayah di negeri Perak telah berkurangan dari segi peratusan dan ini sebenarnya merupakan satu perkembangan yang baik.
Walau bagaimanapun, saya berharap pihak polis dapat melaksanakan agenda pembanterasan jenayah sehingga masyarakat setempat dapat merasa yakin dan selesa dengan tahap keselamatan dan keamanan di kawasan masing-masing, ini sebenarnya yang paling penting.
Menerima kunjungan hormat daripada Ketua Polis Perak yang baharu, Datuk Osman Salleh di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan sebentar tadi. 

Saturday, January 3, 2015

Sultan Nazrin Hadir Sambutan MailudurRasul Peringkat Negeri

Sultan Perak, Sultan Nazrin MuizzuddinShah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Aman Jaya,Meru Raya Ipoh pada Sabtu.
Turut berangkat Raja Muda Perak, RajaJaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja ShaharShah.
Mengiringi baginda, Menteri Besar, DatukSeri Dr Zambry Abd Kadir, anggota exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat danketua-ketua jabatan.
Tema sambutan kali ini adalah 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara'.
Hampir 3,000 umat Islam dari seluruh Perakhadir bagi bersama-sama mengimarahkan lagi majlis tersebut.
Para hadirin turut diperdengarkandengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada qari jemputan.
Pada majlis itu, baginda berkenanmenyampaikan Anugerah Keluarga Mithali kepada bekas Pengarah Pendidikan Perak,Datuk Khairuddin Arshad dan Anugerah Pendakwah kepada Pengerusi Persatuan IndiaMuslim Perak, Mohd Aliah.

Friday, January 2, 2015

DAP Perak Cuba Raih Politik Murahan

DAP Perak cuba meraih politik murahan ketika rakyat mengalami kesulitan dan keresahan kerana banjir.
Kerajaan negeri tidak pernah menolak sumbangan daripada mana-mana pihak untuk membantu rakyat di negeri ini.
Ribuan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali kerana membetulkan kenyataan yang tidak sewajarnya sebelum ini dan mengesahkan bahawa sumbangan itu telah diterima oleh kerajaan negeri Perak
Tuduhan yang dibuat Setiausaha Politik kepada Pengerusi DAP Perak, Chong Ze Min adalah sangat kurang ajar dan cuba mengambil kesempatan ketika rakyat ditimpa kesulitan.
Ini jenis ahli politik yang bankrap, dalam kepala mereka terlalu banyak politik, apa sahaja hendak dipolitikkan.
Rakyat sedang susah, menderita, mereka tuduh saya sombong, tidak ada perasaan. Sudah dua minggu, kita berulang-alik dari Hulu Perak hingga ke Hilir Perak untuk meninjau keadaan banjir dan melihat masalah rakyat
Tumpuan sekarang sepatutnya kepada usaha untuk membantu rakyat yang menjadi mangsa banjir, bukannya untuk mencari kepentingan politik murahan.

Perak Terima RM1.5 Juta Bantuan Mangsa Banjir

Apabila musibah dan bencana banjir berlaku, kita daripada pelbagai latar belakang, tanpa mengira kaum, tampil untuk membantu. Pada saya, tindakan pantas rakyat Malaysia, khususnya di Perak, adalah cukup hebat.
Bantuan tiba bertalu-talu sejak hari pertama dan saya amat berbangga dengan semangat solidariti rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa yang sama-sama menghadapi masalah dan sama-sama menyelesaikan masalah itu
Perak telah menerima kira-kira RM1.5 juta sumbangan daripada sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mangsa banjir di seluruh negeri ini.

Terbaharu, kita menerima sumbangan RM1.1 juta daripada lapan syarikat korporat dan NGO dalam satu majlis khas di pejabat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak di Ipoh sebentar tadi.
Sumbangan-sumbangan itu diterima daripada Felcra Berhad (RM150,000), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (RM130,000), Yayasan Tan Sri Nasimuddin / Naza Corp Holdings Sdn Bhd (RM100,000), Agroto Sdn Bhd (RM100,000), MRCB Bhd (RM50,000), Kinijuara Holdings Sdn Bhd (RM50,000), Datuk Leong Kin Mun (RM20,000) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (RM500,000).




Thursday, January 1, 2015

RM350 Juta Untuk Baiki Sekolah Rosak

Kerajaan menganggarkan sebanyak RM350 juta diperlukan untuk membaiki sekolah-sekolah di seluruh negara yang mengalami kerosakan akibat banjir.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah itu perlu disediakan oleh lain-lain agensi dan tidak termasuk swasta dan sebagainya
Beliau berkata demikian selepas melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lambor Kiri.
Beliau juga mengarahkan semua agensi berkaitan menyegerakan proses pendaftaran kerugian yang dialami mangsa banjir dan pelbagai kemudahan awam.
Katanya, urusan itu perlu dilakukan sekarang memandangkan keadaan banjir di seluruh negara kini semakin pulih.

Lawatan TPM Dan Dr Zambry Ke Pos Kemar