a Pelabuhan Terminal Maritim Lumut Siap Sebelum 2020 ~ zambry.my

Thursday, March 10, 2016

Pelabuhan Terminal Maritim Lumut Siap Sebelum 2020

Projek pembesaran pelabuhan Terminal Maritim Lumut di Kampung Acheh di sini dengan kos RM200 juta dijangka siap sebelum 2020.

Majlis pecah tanah projek itu yang antara lain melibatkan kerja memanjangkan pelabuhan daripada 510 meter sekarang kepada satu kilometer disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini.

Zambry dalam sidang media berkata, projek pembesaran itu selari dengan operasi yang semakin sibuk selain bertujuan menampung keperluan pelabur pada masa hadapan.

Menurutnya, sejak 20 tahun lalu, pelabuhan itu yang dikendalikan Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd mengendalikan lebih 45 juta tan metrik kargo dan kira-kira 7,400 kapal dari seluruh dunia.

"Ia satu perkembangan baik memandangkan pelabuhan ini bukanlah pelabuhan utama berbanding Pelabuhan Klang, Selangor dan Pelabuhan Pasir Gudang, Johor.

"Pihak pengurusan telah mengatur pelbagai perancangan untuk menjadikan pelabuhan ini lebih besar dan seterusnya mengendalikan pelbagai bentuk kargo pada masa akan datang," katanya.

Zambry turut mencadangkan supaya pelabuhan berkenaan mengendalikan 'kargo bersih' seperti makanan berbanding hanya tertumpu kepada 'kargo kotor' sekarang termasuk arang batu, tanah liat dan kapur.

"Selain itu, pelabuhan ini juga mungkin dapat dijadikan tempat kapal mewah berlabuh," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan sesuai untuk mewujudkan satu lagi pelabuhan baharu di daerah Hilir Perak bagi melengkapkan rangkaian pelabuhan di pesisiran pantai di Perak.

Katanya, rundingan dengan pihak berkaitan sama ada dari dalam atau luar negara juga telah diadakan bagi merealisasikan cadangan tersebut.

Mengulas mengenai cadangan untuk membangunkan kawasan baharu dikenali sebagai Manjung 2, Zambry berkata ia perlu memandangkan Bandar Seri Manjung sekarang semakin padat.

"Bandar Seri Manjung sekarang bukan sahaja padat dengan penduduk, tetapi ia turut mengalami kepesatan pembangunan," katanya sambil menambah Manjung 2 mungkin dibangunkan sehingga ke Beruas. - Bernama

1 comment:

  1. Dato seri..saya warga ayer tawar.nak tanya bila kawasan ni nak naiktaraf talian 4G?

    ReplyDelete