Dewan Belia Perak disifatkan sebagai medan ujian buat generasi muda untuk bersama-sama memikul amanah bagi memastikan isu rakyat terutama berkaitan golongan muda dapat diperbahaskan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tindakan kerajaan negeri untuk menubuhkan Dewan Belia Perak bukan sekadar tayangan atau pameran, tetapi merupakan keazaman untuk membentuk generasi pelapis bagi mencorak kehidupan masa depan.
Menurutnya, platform itu menjadi ruang terbaik untuk belia mengetengahkan cara baharu dalam melihat sesuatu isu, mempamerkan keterbukaan dalam membahaskan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat dan negeri serta memberikan cadangan atau idea yang bersifat di luar kebiasaan.
“Malah melalui Dewan Belia Perak ini diharapkan akan lahirlah gagasan besar serta hala tuju yang jelas, bagaimana rupa wajah negeri dan rakyat pada masa akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Dewan Belia Negeri Perak di sini, semalam.
Zambry berkata, walaupun proses pemilihan bukan seperti pilihan raya, namun ia tidak sedikit pun mengurangkan amanah dan tanggungjawab seseorang individu untuk menjadi perwakilan di Dewan Belia tersebut.
Katanya, soal kaedah pemilihan serta pelantikan adalah sesuatu yang amat luas tafsirannya, malah ada yang berkata tanpa pemilihan melalui pilihan raya, perwakilan Dewan Belia Perak tidak mencerminkan representasi sebenar.
“Sebenarnya, pemilihan perwakilan untuk Dewan Belia telah mengambil kira perwakilan dalam kalangan generasi muda yang terlibat dengan pelbagai pergerakan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Sekitar 20 peratus sahaja daripada 900,000 populasi belia di negeri ini aktif dalam gerakan persatuan dan pertubuhan,” katanya.
Terdahulu, Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Sidang Dewan Belia yang dianggotai 60 ahli Dewan Belia bermula dengan sesi mengangkat sumpah yang dimulakan Speaker Dewan Belia, Salbiah Mohamed dan Timbalan Speaker, Hasnul Fairuz Hushin Amri diikuti semua perwakilan.
Sidang diteruskan dengan ucapan perasmian daripada Zambry yang berharap kesemua perwakilan menggunakan peluang itu untuk berbahas dengan baik dan memberikan idea demi pembangunan negeri ini.
Perwakilan akan berbahas mewakili tujuh jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Ekonomi, Usahawan, Pelancongan dan Pengantarabangsaan; Jawatankuasa Sosial, Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita; Jawatankuasa Pendidikan, Kerjaya, Sukan, Kebudayaan dan Kesenian; Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Modal Insan dan Integrasi Nasional; Jawatankuasa Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia; Jawatankuasa Prasarana, Pembangunan, Kesihatan dan Alam Sekitar dan Jawatankuasa Pencegahan Jenayah, Masyarakat Sivil dan Patriotisme.
Mesyuarat pertama Dewan Belia ini turut mendapat sokongan wakil rakyat BN dan Pas. Antara yang hadir adalah Speaker Dun Perak, Datuk Seri SK Devamany; Timbalan Speaker, Datuk Nasaruddin Hashim; Exco Kerajaan Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Datuk Samsudin Abu Hasaan; Adun Lubuk Merbau, Siti Salmah Mat Jusak, Datuk Aminuddin Md Hanafiah (Hulu Kinta), Maslin Sham Razman (Bukit Chandan), Datuk Mohd Azhar Jamaludin (Changkat Jong), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (Slim), dan beberapa Adun BN yang lain.
Seramai 60 ahli Dewan Belia merakamkan kenangan di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan
0 comments:
Post a Comment